HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Jun 2020

Malaysia ada mudah tunai mencukupi untuk laksana pelan rangsangan, kata menteri kewangan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia mampu menampung
jangkaan defisit kira-kira 5.8-6.0% tahun ini kerana negara mempunyai rekod prestasi
baik menurunkannya daripada 6.7% pada 2009 semasa krisis kewangan kepada kira-kira
3% dalam masa 5 tahun.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menggunakan pinjaman asing untuk membiayai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebaliknya, kerajaan menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan, terutamanya sekuriti kerajaan malaysia (MGS) dan terbitan pelaburan kerajaan malaysia (MGII).

Beliau berkata, jumlah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekarang berada pada 52%, iaitu di bawah had statutori 55%.

“Kuncinya adalah kita perlu memastikan kita mempunyai mudah tunai mencukupi dalam pasaran…yang mana kita ada.

“Jika Malaysia perlu menaikkan had statutori hutang berbading KDNK pada 55%, memandangkan tempoh yang mencabar dan belum pernah berlaku sebelum ini, ia perlu pada asas sementara, dengan fokus menurunkannya kembali dalam tempoh terdekat… 3 tahun rasanya paling sesuai,” katanya.

Zafrul juga optimis Malaysia mampu menampung jangkaan defisit yang diunjurkan pada kira-kira 5.8-6.0% tahun ini, memandangkan negara mempunyai rekod prestasi baik menurunkannya daripada 6.7% pada 2009 semasa krisis kewangan kepada kira-kira 3% dalam masa 5 tahun.

Jangkaan defisit bagi 2020 mengambil kira harga minyak berada pada AS$30 setong (minyak mentah Brent) dan pelaksanaan pelan rangsangan dan pemulihan jangka pendek kerajaan.

Menurutnya, dengan pelaksanaan pakej rangsangan yang cekap, kerajaan menjangka sumbangan kepada KDNK sebanyak 2.8% daripada Prihatin dan 0.6%daripada Penjana.

Sejajar dengan pembukaan semula ekonomi negara secara berfasa, yang menyaksikan 12.7 juta atau 83.5% daripada tenaga kerja kembali semula bekerja setakat ini, Zafrul yakin Malaysia mempunyai persediaan yang lebih baik melaksanakan pemulihan pada 2021.

Beliau juga menekankan tentang kepentingan bagi rakyat untuk membelanjakan pendapatan boleh guna mereka membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan tempatan bagi merangsang permintaan domestik, yang mewakili kira-kira 60% daripada KDNK.

Sementara itu, bagi tempoh jangka sederhana dan jangka panjang, Zafrul berkata, akses internet dan perkhidmatan digital akan terus menjadi fokus utama untuk ditangani kerajaan.

“Kita perlu mempercepat pelaburan dari segi kualiti dan akses internet di negara ini kerana ia menunjukkan betapa pentingnya kemudahan itu kepada rakyat semasa perintah kawalan pergerakan,” katanya.

Selain itu, katanya, keperluan untuk melabur dalam modal insan dan melengkapkan rakyat dengan kemahiran yang sesuai menerusi latihan, latihan semula dan latihan kemahiran semula juga akan menjadi satu lagi fokus utama bagi kerajaan malahan selepas berakhirnya pandemik Covid-19.

Keseluruhannya, kedua-dua pakej Prihatin dan Penjana bernilai RM295 bilion, dengan RM45 bilion dalam bentuk suntikan fiskal langsung.

Tiada ulasan: