HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2020

Pendedahan semalam baru permulaan, kata bekas peguam negara

Wartawan MalaysiaGazette
MGF13032017_KOLOKIUM-KEHAKIMAN_14-681x454
Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pendedahannya semalam yang mengaitkan nama bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah permulaan kepada lebih banyak kejutan.

Bercakap kepada sebuah portal berita, Apandi berkata, tulisannya di laman Facebook mengenai Sri Ram hanyalah sebahagian kecil daripada banyak perkara yang akan ditulis dalam memoirnya.

Apandi semalam dalam hantaran di laman Facebook bertajuk ‘A prelude to a chapter in my memoirs!’ mendakwa telah didatangi oleh Sri Ram pada satu petang Januari 2018 di kediamannya atas alasan mahu membincangkan mengenai alasan penolakan permohonan untuk membatalkan pembekuan akaun sebuah firma.

Dalam pertemuan itu, Apandi mendakwa, Sri Ram memberitahu bahawa beliau telah dihantar oleh Dr Mahathir untuk meminta bekas peguam negara itu menangkap Datuk Seri Najib Razak dan segala urusan termasuk melibatkan anggota polis dan perintah reman telah diatur.

“Bab mengenai Sri Ram ini hanyalah sebahagian kecil daripadanya. Banyak lagi perkara, insiden Batu Puteh – mengapa Dr Mahathir menggugurkan kes tersebut walaupun semuanya telah difail dan ditetapkan untuk perbicaraan.

“Banyak, banyak cerita. Banyak yang hendak ditulis, banyak untuk diberitahu,” katanya.

Artikel berkaitan: Bekas peguam negara dedah dikunjungi Gopal Sri Ram suruh tangkap Najib

Menurut Apandi, beliau membuat pendedahan kerana mahu rakyat tahu perkara sebenar dan hanya berbuat demikian sekarang setelah mendapati Sri Ram kini bertindak seolah-olah beliau adalah peguam negara sedangkan beliau bukan memegang jawatan itu.

Apandi juga memberitahu, beliau tidak menyimpan dendam terhadap Sri Ram tetapi rakyat perlu tahu selain beliau juga tidak takut berhadapan segala kemungkinan kerana bercakap benar dan segala-galanya dirakam dan beliau mempunyai bukti CCTV serta pengawal peribadi.

Mengenai tiada rakaman audio pada CCTV, Apandi menjawab: “Semua adalah. Saya mempunyai tujuh pengawal peribadi dan mereka semuanya pegawai polis cawangan khas.

Apandi juga memberitahu beliau tidak bercadang membuat laporan polis sambil menegaskan bahawa beliau tidak takut sesiapa kecuali Allah.

Beliau juga menolak dakwaan pendedahannya itu bermotifkan politik dan tidak mempunyai kaitan dengan UMNO sejak 2003 apabila dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.  – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: