HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2020

Pengamal media juga barisan hadapan Covid-19

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF020420_PC-KKM_04-681x454
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Barisan pengamal media dan wartawan memainkan peranan utama sebagai barisan hadapan dalam memberikan maklumat sahih serta memerangi berita palsu berkaitan Covid-19.

Ini termasuklah tugasan yang dijalankan oleh wartawan, jurugambar, jurukamera di lapangan dan pelbagai petugas di studio misalnya penyunting, petugas media sosial dan sebagainya, akui Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jurubahasa isyarat juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menyampaikan maklumat kepada mereka yang berkomunikasi melalui bahasa isyarat.

“Pelbagai platform media massa, media sosial dan media baharu telah digunakan bagi memastikan orang ramai sentiasa dimaklumkan dengan maklumat dan berita yang tepat, cepat dan sahih mengenai wabak Covid-19.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dalam bidang kewartawanan yang telah memainkan peranan yang sangat besar sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan situasi sebenar Covid-19 kepada masyarakat,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, dalam dunia serba moden ini, penggunaan media baharu dan media sosial semakin meluas malah, kewartawanan konvensional bukanlah satu-satunya kaedah penyebaran maklumat, katanya.

“Kini, semua pengguna media baharu dan media sosial juga adalah ibarat ‘wartawan’ melapor dan menyebar luas maklumat mengenai pelbagai perkara, 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Inilah konsep citizen journalism.

“KKM memuji ramai netizen yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memerangi Covid-19.

“Ramai yang telah menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memuatnaik dan menyebar luas maklumat yang tepat dan sahih mengenai Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan dan pelbagai maklumat berkaitan yang disalurkan oleh Kerajaan,” ujar.

Namun begitu kata beliau, terdapat segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab menyebar maklumat palsu dan fitnah hingga ada juga yang menghasut orang ramai untuk tidak akur kepada peraturan dan nasihat yang diberikan.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan jelas beliau, sehingga 11 Jun, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Sebanyak 30 kes telah didakwa di mahkamah, sebanyak 11 diberikan notis amaran dan sebanyak 18 telah mengaku bersalah.

“Dalam masa yang sama sebanyak 330 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: