HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Jun 2020

PH, duit apa yang kamu tinggalkan untuk negara? – Shahril

Wartawan MalaysiaGazette
MGF25082018_PROGRAM-Program-IDEAS-LSEASM02-681x454
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah mengundang pilihan raya umum (PRU), apatah lagi terkinja-kinja mahu meruntuhkan kerajaan dan melakukan perang saraf dengan permainan nombor sokongan majoriti tatkala negara berdepan dengan wabak Covid-19.

Namun, jika pilihan raya umum sudah menjadi ketentuan, UMNO sedikit pun tidak gentar.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP tidak perlu menjadi penganalisis politik yang hebat untuk mendakwa Perikatan Nasional tidak mahu pilihan raya diadakan segera.

Menurutnya, dakwaan pimpinan PKR dan DAP itu sebenarnya menyerlahkan lagi agenda lompat-melompat untuk merampas kerajaan tanpa perlu PRU.

”Mereka takut nak berhadapan dengan rakyat. Berbeza dengan BN dan Pas sewaktu Kerajaan PH jatuh dengan sendirinya, Ahli-ahli Parlimen Muafakat Nasional jelas mengatakan mereka sedia ke PRU tetapi terpulang kepada kebijaksanaan SPB Yang DiPertuan Agong dan terikat kepada peruntukan Perlembagaan.

”Jangan memandai cakap bagi pihak UMNO. Kami tak mengundang pilihan raya tatkala Covid-19, tapi kalau itu ketentuannya, tahu la kami buat kerja. Bukan kami yang terkinja-kinja nak meruntuhkan kerajaan, main psywar konon ada 129 Ahli Parlimen dan sebagainya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Oleh itu, tegasnya, kalau tidak mahu PRU segera, PH diingatkan agar berfungsi pembangkang dengan memberi kritikan membina mengenai dasar kerajaan.

Mengulas kritikan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin yang cuba menggambarkan bahawa segala pakej bantuan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan Kabinetnya adalah hasil kutipan pendapatan kerajaan bawah PH, Shahril mendakwa PH sengaja mahu claim milleage (ambil kesempatan).

Soal Shahril, apa pendapatan yang ada di bawah Kerajaan PH selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dimansuhkan.

Sebaliknya, kata beliau, hutang kerajaan bertambah sepanjang 22 bulan termasuk hutang bon samurai.

”Macam mana YB Sim boleh kata kerajaan sekarang guna pendapatan kerajaan dulu bila data Bank Negara menunjukkan pendapatan bulan Januari dan Februari 2020 (sejurus sebelum jatuh akibat gaduh sendiri) turun berbanding Januari dan Februari 2019? Duit apa yang kamu tinggalkan?” soalnya.

Berikutan itu, katanya, jika PH takut rakyat gembira dengan bantuan kerajaan, itu masalah pembangkang.

”Siapa suruh tak tunai janji manifesto? Kalau takut nak PRU, itu hal anda. Jangan bercakap bagi pihak kami. UMNO tidak meninggi diri tetapi kami tidak gentar dengan sebarang kemungkinan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: