POLIS sudah membuka dua kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini setakat hari ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, ia membabitkan laporan oleh polis berhubung kelakuan penyokong kepada calon bertanding kerana didakwa membuat bising di hadapan pusat penamaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini, Sabtu lalu.
Menurutnya, satu lagi kertas siasatan pula membabitkan laporan oleh seorang calon Bebas yang mendakwa gambarnya disalah guna kononnya mewakili sebuah parti politik yang tidak bertanding pada PRK itu, yang tular di media sosial.
"Kes itu disiasat mengikut Akta Fitnah 1957 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun buat masa ini, tiada tangkapan dibuat dan kita juga menasihatkan semua calon agar dapat terus mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita harap suasana baik yang berlaku dalam beberapa hari pertama kempen dapat diteruskan supaya PRK DUN Chini boleh menjadi contoh kepada pilihan raya akan datang di negara ini," katanya kepada media selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di Kuantan hari ini.
PRK DUN Chini yang ditetapkan pada 4 Julai ini menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, serta Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.
PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun daripada BN akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, Abd Jalil berkata, polis berpuas hati dengan pematuhan SOP pembukaan sekolah di Pahang, berdasarkan kepada pemantauan oleh 197 pegawai perhubungan sekolah (PPS) di semua sekolah yang mula dibuka hari ini.
"Untuk tempoh seminggu pertama, polis akan membuat pemantauan setiap hari sebelum dikurangkan pada minggu seterusnya.
"Kita akan serahkan kepada pihak sekolah sepenuhnya jika kita berpuas hati dengan pematuhan dilakukan mereka," katanya.
Abd Jalil berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa sekolah yang dibuka sudah melakukan simulasi kehadiran pelajar bagi memastikan keadaan hari ini terkawal dan teratur dalam pematuhan SOP baharu termasuk dalam aspek penjarakan sosial dalam kawasan sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan