KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan berdepan dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sama ada jika diadakan secara mengejut, ataupun sehingga habis penggal tahun 2023.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Integriti Terengganu (TSIS), Dr. Wan Mat Sulaiman, berdasarkan kaji selidik oleh EMIR Research PH tidak lagi mendapat dukungan majoriti rakyat.
Katanya, kaji selidik melibatkan 2,002 responden di seluruh negara dari 15 Januari hingga 24 Februari lalu menunjukkan tahap sokongan orang ramai kepada PH hanya 30 peratus berbanding sokongan kepada Muafakat Nasional (MN) sebanyak 52 peratus.
“Sebanyak 25 peratus responden berpendapat hala tuju negara di bawah PH berada pada landasan yang salah, manakala 55 peratus tidak pasti. Begitu juga 36 peratus berpendapat ekonomi negara di bawah PH tidak berada pada tapak yang kukuh dan 45 peratus lagi tidak pasti.
“Kaji selidik dari TSIS melibatkan 1,451 responden dalam tempoh itu juga menemukan dapatan yang hampir sama iaitu PH akan mengalami kekalahan dalam sebarang pilihan raya mengejut kerana empat faktor,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Dr. Wan Mat, faktor pertama, rakyat mempunyai persepsi negatif terhadap kerajaan pusat pimpinan PH dengan 67 peratus atau 972 responden tidak puas hati dengan kemampuannya menyelesaikan isu perkauman dan keagamaan berbanding 25 peratus atau 363 responden yang puas hati.
Sebanyak 63 peratus atau 914 responden pula tidak yakin PH dapat menyelesaikan isu pendidikan negara berbanding 28 peratus atau 406 responden yang berpuas hati, manakala 62 peratus atau 900 responden tidak puas hati dengan kemampuan kerajaan PH menyelesaikan masalah ekonomi berbanding 29 peratus atau 420 berpuas hati.
Faktor kedua, katanya, rakyat bertekad untuk meluahkan ketidakpuasan hati terhadap PH dalam PRU-15 dengan tidak mengundinya.
“Kesimpulan ini diperolehi khususnya melalui dapatan bahawa 57 peratus atau 827 daripada responden menyatakan ketidakmampuan PH melaksanakan janji dalam manifesto pilihan rayanya akan mempengaruhi keputusan PRU-15
“Faktor ketiga pula, PN diterima rakyat berbanding PH berdasarkan dapatan 62 peratus atau 900 responden setuju dengan cadangan supaya parti Bersatu segera bergabung dengan MN dan parti politik di luar PH lain.
“Faktor keempat ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan lagi satu faktor dalam politik negara dengan dapatan bahawa walaupun jika PH kekal diketuai Dr. Mahathir, 55 peratus atau 798 responden tetap memilih MN sebagai pakatan yang akan menang dalam PRU-15,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, berdasarkan dapatan kajian itu, nyata PH akan mengalami kekalahan dalam sebarang pilihan raya yang diadakan dalam waktu terdekat kerana dalam pertarungan dengan MN sekalipun, 55 peratus atau 798 responden tetap memilih MN. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan