Kemelesetan ekonomi yang sedang kita hadapi akibat pandemik Covid-19 bukan saja menyebabkan peningkatan kadar pengangguran, tetapi juga mendorong pertambahan kes jenayah.
Walaupun kadar kes jenayah menurun sebanyak 46.7% sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), pakar memberi amaran angka itu boleh meningkat dalam beberapa minggu akan datang.
Hal ini disebabkan peningkatan kadar pengangguran akibat Covid-19, di mana ia akan menyebabkan ramai orang terdesak mencari wang dengan kadar segera dan bertindak melanggar undang-undang.
Berkemungkinan seseorang itu cenderung melakukan jenayah setelah dihentikan kerja kerana mereka perlu melakukan sesuatu untuk memenuhi keperluan ekonomi mereka.
Malah, kesan emosi yang mereka alami setelah dihentikan kerja tanpa alasan kukuh sangat mengecewakan, lalu mendorong mereka memilih cara salah bagi mengurangkan tekanan yang mereka hadapi – dengan melakukan aktiviti jenayah.
Lebih-lebih lagi apabila kekerapan sekatan jalan raya dan rondaan polis tidak lagi seperti dahulu bagi mengawasi orang ramai, terutamanya di kawasan tumpuan semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Justeru, proses untuk melakukan aktiviti yang salah di sisi undang-undang menjadi lebih mudah.
Satu kajian mendapati kemelesetan ekonomi bukan saja memberi kesan negatif jangka pendek kepada pasaran buruh, tetapi akan melahirkan kelompok individu dikenali sebagai “penjenayah kerjaya” yang memperoleh pendapatan melalui kegiatan jenayah.
Dengan kata lain, peluang yang semakin tipis di sektor pekerjaan menjadikan aktiviti jenayah kelihatan lebih menarik, terutamanya dalam melakukan jenayah harta benda seperti mencuri kenderaan bermotor.
Jenayah seperti ini agak popular di kalangan penjenayah memandangkan wang dapat dijana dengan lebih cepat.
Biasanya, kenderaan yang dicuri akan dijual ke “kedai potong”, iaitu garaj haram yang membeli kenderaan curi dan menjual bahagian kenderaan tersebut untuk mengaut keuntungan.
Selain jenayah harta benda, teori ekonomi meramalkan kemelesetan ekonomi global mungkin akan meningkatkan kes jenayah siber seperti penipuan, pancingan data dan penipuan dalam talian, memandangkan penggunaan ruang siber pada masa ini meningkat.
Jika kita lihat kembali krisis ekonomi pada 2008 hingga 2009, beberapa kajian menunjukkan hubung kait pengangguran dan jenayah siber, di mana penipuan di internet meningkat sebanyak 33% ketika itu.
Nampaknya, trend pada 2008 hingga 2009 akan berulang tahun ini memandangkan kita sedang menghadapi situasi hampir sama – tetapi dengan tahap ancaman keselamatan siber baru dan lebih berbahaya berbanding sebelumnya.
Tambahan, dengan lambakan penganggur yang mahir dalam bidang komputer, cubaan melakukan serangan siber semakin mudah, apatah lagi beratus-ratus tutorial dan manual digital mengenai jenayah siber dapat diperolehi terus dari internet.
Baru-baru ini di Amerika Syarikat, ketika berjuta-juta orang di seluruh negara itu bergegas mendapatkan faedah pengangguran dan pengeluaran melalui “Federal Cares Act”, Perkhidmatan Keselamatan AS melaporkan satu cubaan penipuan oleh penjenayah Nigeria yang menuntut faedah pengangguran menggunakan identiti rakyat negara itu yang dicuri.
Perkhidmatan Keselamatan AS memberi amaran Washington boleh kerugian ratusan juta dolar hasil daripada penipuan itu.
Ternyata, aktiviti menggodam program bantuan kerajaan ketika ini ialah tindakan kejam kerana ia akan menjejaskan peluang orang lain yang betul-betul memerlukan bantuan.
Di England pula, organisasi dikenali sebagai “Action Fraud” melaporkan kerugian sebanyak £5 juta (RM26.47 juta) akibat sindiket penipuan berkaitan koronavirus sejak Februari lalu, dengan lebih 2,100 laporan diterima.
Salah seorang pelanggan mereka yang berusia 50-an dari barat laut negara itu menerima ganti rugi sebanyak £102 (RM540) selepas menjadi mangsa penipuan di rumahnya sendiri.
Seorang penipu menawarkan perkhidmatan membeli-belah kepadanya, namun penipu itu mengeluarkan sejumlah wang menggunakan kad bank pelanggan tanpa persetujuannya.
Simon Blackburn, ketua dewan komuniti Persatuan Kerajaan Tempatan berkata: “Masyarakat perlu berhati-hati. Sekiranya sesuatu perkara kelihatan tidak betul atau kedengaran terlalu baik, jangan ragu-ragu menamatkan panggilan telefon, abaikan sebarang surat, padam e-mel atau tutup pintu”.
Cara mencegah jenayah
Pada zaman digital ini, setiap individu, masyarakat dan perniagaan boleh menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencegah dan mengesan sebarang aktiviti jenayah.
Idea di sebalik projek ini agar jenayah dapat diramal, kita boleh mengguna pakai data jenayah pada masa lalu untuk meramal jenayah pada masa depan menggunakan teknologi AI.
Ini dapat dilakukan dengan memantau perubahan tingkah laku seseorang atau sebarang tindakan mencurigakan dan mengelakkan kegiatan jenayah berpotensi.
Bukan itu saja, lokasi di mana kegiatan jenayah akan dilakukan juga boleh dikesan terlebih dahulu menggunakan teknologi ini.
Sebagai contoh, dengan mengguna pakai sejarah sesuatu kes kecurian, polis dapat meramal di mana kejadian serupa yang mungkin berlaku pada masa akan datang.
Ini sudah tentu dapat memudahkan kerja polis dalam memutuskan kawasan mana yang memerlukan rondaan lebih kerap.
Dalam konteks keselamatan siber, teknologi AI akan membolehkan komputer mengenal pasti kes penipuan wang dalam talian yang berpotensi dengan lebih tepat dan cepat berbanding manusia.
Ini dapat dilakukan dengan memerhatikan aktiviti di dalam sistem perbankan sedia ada. Jika ada sebarang aktiviti tidak normal, pegawai bertugas akan diberikan “amaran” untuk melakukan tinjauan lebih lanjut.
Ternyata, dalam masa mencabar ini, mengenal pasti aktiviti mencurigakan sebelum melakukan sebarang transaksi sangat penting bagi mengelakkan kerugian.
* Nurafifah Mohammad Suhaimi ialah pembantu penyelidik Emir Research.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan