BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Seorang pemain gitar kumpulan rock era 90-an ditahan polis selepas cubaannya untuk memecah masuk rumah rumah jiran di Pangsapuri Flora Damansara, di sini awal pagi semalam disedari penduduk lain yang kemudian bertindak memberkasnya.
Sebelum ditahan kira-kira jam 2.30 pagi itu, suspek berusia 30-an dikatakan berlegar-legar di sekitar lokasi kejadian dipercayai untuk melihat keadaan sekeliling sebelum bertindak memecah masuk rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata tindakan pantas penduduk yang menyedari perbuatan lelaki itu menyebabkan suspek berjaya ditahan lebih awal sebelum melarikan barangan berharga. “Ketika kejadian, suspek sedang membuka pintu rumah jirannya dan penduduk yang menyedari perbuatan itu berpakat sebelum menahan lelaki terbabit dan menghubungi polis.
“Polis yang tiba kira-kira 15 minit kemudian menemui dua paket dadah dipercayai syabu dan ganja bernilai kira-kira RM3,000 dalam poket seluar suspek,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Arjunaidi berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek turut terbabit dengan beberapa kejadian pecah rumah di sekitar kawasan sama sejak dua minggu lalu.
“Polis masih menjalankan siasatan terperinci terhadap suspek termasuk kemungkinan turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah selepas beberapa paket syabu ditemui bersamanya. Kita juga menyiasat sumber bekalan dadah suspek,” katanya.
Lelaki terbabit kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan