SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia mungkin mengeluarkan dua lesen bank Islam mega di bawah projek Wilayah Kewangan Antarabangsa KL (KLFID).
Gabenor bank pusat Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini berkata, yang BNM berharap dapat mengumumkan sekurang-kurangnya satu bank Islam mega lewat tahun ini.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita di luar acara Forum Kewangan Islam Global (GIFF) yang sedang berlangsung di sini.
Mengulas mengenai persediaan BNM terhadap cadangan projek KLFID, iaitu projek hartanah mega mewah bernilai RM26 bilion yang termasuklah pembangunan hab kewangan berkelas dunia, beliau berkata ia akan meliputi kawasan seluas 34.4 hektar dan akan diterajui oleh 1Malaysia Development Bhd.
Kerja-kerja ke atas projek dijangka bermula pada pertengahan tahun depan.
Sementara itu, mengenai ekonomi negara, beliau berkataa yang persekitaran luaran kemungkinan menjejaskan ekonomi domestik yang kukuh pada masa ini.
"Bergerak ke hadapan, tahun ini akan kekal kukuh pada laluan pertumbuhan pemulihan walaupun kita mungkin lihat beberapa penyederhanaan ... jika ia diurus dengan baik, kita boleh mencapai pertumbuhan tujuh peratus pada tahun 2011," katanya.
Terdahulu, Zeti membentangkan laporan mengenai "Kestabilan Kewangan Islam dan Kewangan Global April 2010" di hadapan lebih 200 peserta di GIFF termasuklah ahli akademik Islam, penganalisis industri dan peserta industri.
Sementara itu menyentuh mengenai penerbitan kertas jangka pendek pertama di bawah Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa (IILM), beliau berkata terbitan pertama ialah pada separuh pertama tahun depan.
"Kami kini dalam proses menubuhkan perbadanan, melantik ketua pegawai eksekutif dan lain-lain. Mereka dari sektor korporat sepenuhnya sementara pihak lembaga terdiri daripada pengawal selia," kata beliau.
Terbitan pertama mungkin berdenominasikan dalam mata wang rizab antarabangsa kerana ia bertujuan memudahkan pengurusan mudah tunai sempadan bersilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan