HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2010

Bolehkah Pakatan Rakyat Mempercayai SAPP?

Oleh Dzulkarnain Taib

hiewKUALA LUMPUR - Setelah Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di Parlimen semalam bahawa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil Batu Sapi, persoalan berhubung Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga mahukan kerusi tersebut sudahpun terjawab.

Pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Cheu menyifatkan pengumuman tersebut satu langkah yang tepat dan gesaan supaya SAPP memberi laluan satu lagi kekuatan Pakatan Rakyat sebagai gagasan popular yang merentasi kaum, agama dan sempadan.

Bagi Dr Hiew yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, isu yang paling penting sekiranya ada ura-ura Pakatan Rakyat mahu bekerjasama dengan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee adalah samada parti itu boleh diyakini sebagai rakan kongsi politik.

Malah kata beliau adakah SAPP boleh dipercayai?

Pakatan Rakyat katanya perlu mempelajari sejarah dan mengambil iktibar daripada liku-liku perjalanan politik Sabah yang diwarnai dengan segala macam ragam termasuk pengkhianatan sesama parti komponen demi kelangsungan pengaruh dan kuasa politik peribadi.

"Sebelum Pakatan Rakyat terfikir mahu bekerjasama dengan SAPP, fikir dulu masak-masak dan selidik latar belakang SAPP.

"Semasa dalam Barisan Nasional dahulu SAPP digunakan oleh Umno untuk memecahkan undi samada pada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum. Parti itu mendakwa ia adalah parti tempatan walhal hakikatnya SAPP adalah parti dari Sabah yang didaftarkan di Kuala Lumpur, seperti juga parti-parti lain termasuk DAP, PAS dan KEADILAN.

"Mereka juga berdakwa parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah parti Semenanjung. Ini juga tidak benar. Kita adalah parti nasional sementara SAPP sebenarnya 'parti nyamuk'. Umpamanya DAP mempunyai 29 Ahli Parlimen dan 71 Ahli Dewan Undangan Negeri sementara SAPP hanya ada dua Ahli Parlimen dan dua Adun sahaja, itu pun semua di negeri Sabah," terang Dr Hiew.

Payah bagi mana-mana parti politik mahu mengadakan kerjasama dengan SAPP tegas tokoh veteran DAP itu.SAPP

Ini kerana sejarah mengajar bagaimana SAPP dibeli oleh Umno-BN ketika bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai rakan kongsi dalam kerajaan negeri tetapi kemudiannya parti itu mengkhianati PBS dan seterusnya menyumbang kepada kejatuhan pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 1993.

Teck Lee juga bertindak membawa keluar partinya sebagai komponen BN pada tahun 2009 setelah menuduh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi membelakangkan serta menafikan hak negeri Sabah. Kalau beliau buat begitu kepada bosnya, beliau juga boleh berbuat demikian kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.

"Sebenarnya Teck Lee marah sebab beliau tidak dapat jawatan dan permintaannya tidak dilayan oleh Perdana Menteri. Dia juga marah sebab beliau dilantik sebagai Senator tapi perlu menunggu giliran sebab tidak ada kekosongan dalam Dewan Negara. Dulu Pairin adalah bosnya tapi dia khianat, lepas itu Pak Lah jadi bos, dia pun khianat. Saya nak tanya adalah mana-mana parti politik berani menjadi rakan kongsi SAPP?," tanya Dr Hiew.

Dr Hiew tidak menolak kemungkinan langkah SAPP bertegas mahu bertanding di Batu Sapi adalah atas arahan BN malah tidak dinafikan BN juga membiayai segala kempen dan perbelanjaan parti itu di kawasan itu.

Beliau menegaskan Pakatan Rakyat di sabah telah bekerja keras selepas PRU 2008 untuk menarik sokongan rakyat dan hasilnya amat memberangsangkan sekali.

"Kita semua berkorban dan bekerja bersungguh-sungguh untuk membina kekuatan di Sabah. Jangan sia-siakan semua ini kerana mahukan sokongan SAPP. Mereka tidak boleh dipercayai.

"Kalau kita bekerjasama dengan SAPP ini bermakna kita telah menghampakan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terutamanya apabila SAPP berkata berkali-kali bahawa parti itu mahu bertanding di 40 kerusi kerana Yeck Lee mahu menjadi Ketua Menteri.

"Bayangkan kalau Pakatan Rakyat beri 20 kerusi kepada SAPP dan pada hari penamaan calon parti itu isytihar menyokong BN, hilang begitu kerusi kepada BN dan hilanglah impian kita mentadbir serta membawa perubahan di Sabah," hujah beliau.

Sehubungan itu beliau menyeru pengundi Sabah supaya tidak mensia-siakan undi mereka kepada SAPP dan membuat tekad untuk menyokong calon Pakatan Keadilan sepenuhnya.

"Kalau SAPP benar-benar anti-BN, jangan pecahkan undi Pakatan Rakyat di Batu Sapi. Tarik diri dan buktikan bahawa anda betul-betul serius mahu jatuhkan BN. Kalau tidak anda sememang bersekongkol dan menjadi ejen BN," cabar Dr Hiew lagi.

21 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Tidak kira Pakatan Rakyat mempercayai SAPP atau tidak, SAPP tetap bertanding dalam PRK Batu Sapi.

samm berkata...

mana-mana parti pun ada hak untuk bertanding begitu juga dengan SAPP. jika PKR tidak mempercayai SAPP buat apalah PKR mahu bekerjasama dengan SAPP??? bukankah PKR juga mementingkan diri apabila meminta SAPP memberi laluan kepada mereka.

Bujang Senang berkata...

Buat apa PR mahu percaya dengan SAPP. Setiap parti mahu menang jadi susahlah mahu percaya dengan parti lain. PR berjuanglah dengan sendiri dan tidak perlu meminta simpati dari parti lain. Bukankah PR nampak lemah meminta belas kasihan dari SAPP untuk bertanding 1-on-1 dengan BN. Bukankah PR sangat kuat sehingga bermacam-macam isu mereka berikan.

mandau berkata...

biarlah SAPP bertanding, PR tk perlu nk menghalangnya.

Hosie Masie berkata...

SAPP tetap akan bertanding. untuk menjaga maruah mereka. Jadi PR tidak perlulah risau. SAPP akan berjuang di Batu Sapi dengan saingan BN dan PKR. Jadi PR bersedia untuk bertanding. Jangan main kotor tau. Parah jika diketahui.

evan medhousky berkata...

sekarang PR menggunakan tuduhan2 tidak berasas semata2 mahu memaksa SAPP untuk menarik diri. kononnya BN menaja SAPP, bersekongkol dengan agen BN, bla,bla... bukankah tindakan PR ini menunjukkan PR dalam keadaan terdesak dan ketakutan??

evan medhousky berkata...

sebenarnya PR risau, jangankan menumbangkan BN, untuk melepasi undi SAPP pun belum tentu boleh. dengan keretakan demi keretakan dalam PR, populariti mereka semakin menurun, dan kini SAPP menolak permintaan mereka,, semua ini amat memberikan tekanan kepada PR yang teringin mahu merampas kerajaan dan teringin mahu berkuasa di Sabah/malaysia.

evan medhousky berkata...

sebelum rakyat bersetuju dengan PKR, lihat dahulu apa kemajuan yang dikecapi di negeri2 Pakatan. sedangkan parti sendiri tidak terjaga, inikan pula negara..

evan medhousky berkata...

sepatutnya tajuk artikel ini diubah kepada 'Bolehkah SAPP Mempercayai Pakatan Rakyat?'...

belumpun rumput bergoyang, PR sudah membuat tuduhan2 yang tidak berasas kepada SAPP dan BN.. jadi siapa yang menunjukkan khianat? sedangkan SAPP sebenarnya boleh berkerjasama dengan PR.. belum ada tindakan, tapi PR sudah terlebih dahulu menghukum.. jika beginilah sifat PR, bagaimanalah agaknya setelah berjaya merampas kerajaan?? mungkin rakyat juga akan dinafikan, dituduh, ditindas dan macam2..

Jason berkata...

"Bolehkah Pakatan Rakyat Mempercayai SAPP?"

Percaya ka ndak percaya, yang penting SAPP mesti diberi peluang untuk bertanding.

madd berkata...

PKR mengharapkan SAPP tidak bertanding dalam PRK di Batu Sapi, namun SAPP bertegas untuk bertanding. PKR perlu sedar bahawa mana-mana parti pun berhak untuk bertanding dalam PRK ini.

Unknown berkata...

"Kalau SAPP benar-benar anti-BN, jangan pecahkan undi Pakatan Rakyat di Batu Sapi. Tarik diri dan buktikan bahawa anda betul-betul serius mahu jatuhkan BN. Kalau tidak anda sememang bersekongkol dan menjadi ejen BN," cabar Dr Hiew lagi.

Hmm. Ada point di situ. Mungkin juga SAPP dinaung oleh BN. Tapi mungkin juga artikel ini dibuat oleh PKR. Kasihan SAPP, tersepit di tengah-tengah. Tunggu sajalah jumlah undian nanti ya.

Brendan berkata...

bukan kah SAPP & PR sudah berjanji utk tidak menyerang sesama sendiri & hanya fokus kepada BN/PBS sahaja? Mungkin calon boleh dikawal lagi, tapi mcm mana pula dengan penyokong2 calon yg bertanding?bagaimana nak kawal mereka??

langsat berkata...

siapapun nak bertanding di batu sapi, itu hak masing-masing. napa nak persoalkan?

langsat berkata...

PR tu pun bukannya sebuah parti yang ahli-ahlinya berintegriti! paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

langsat berkata...

simpati dengan pkr....ahaks. another member of desperado!

Tanpa Nama berkata...

PR juga tidak mempercayai SAPP..YTL tidak dipercayai oleh pembangkang apatah lagi rakyat sabah sendiri..yang percaya kepada YTL mungkin sudah dibasuh otaknya.

Tanpa Nama berkata...

apa pun, persaingan 3 penjuru di batu sapi amat menarik untuk diikuti perkembangannya.

maya berkata...

"Kalau SAPP benar-benar anti-BN, jangan pecahkan undi Pakatan Rakyat di Batu Sapi. Tarik diri dan buktikan bahawa anda betul-betul serius mahu jatuhkan BN. Kalau tidak anda sememang bersekongkol dan menjadi ejen BN," cabar Dr Hiew lagi.

Inilah masalahnya pemimpin sukar untuk dipercayai. Mestilah ada niat lain yang tersembunyi.

Tanpa Nama berkata...

PR perlu berwaspada dengan SAPP. tidak mustahil SAPP akan mengkhianati PR untuk mengejar matlamat mereka terutama YTL.

maya berkata...

Kalau dilihat cita2 PR adalah untuk mengalahkan BN, tapi yang peliknya ialah kenapa SAPP turut bertanding pada pilihan raya kecil tersebut. Yang pasti PKR dan SAPP sama2 ada keinginan untuk berkuasa di kawasan ini.