HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Oktober 2010

Chua: Mungkin timbulkan sedikit kontroversi...

BERNAMA


Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berpendapat soal kontrak sosial tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana ia mempunyai sensiviti tertentu.

Jika ia tidak seharusnya dibincangkan walaupun telah termaktub dalam perlembagaan negara, soal itu mungkin menimbulkan sedikit kontroversi kerana generasi muda berpendapat, sebagai rakyat Malaysia mereka seharusnya diberi ruang untuk berbincang dan berbahas mengenainya, katanya.

"Tetapi pada pandangan saya, walaupun awak hendak bahas, bincang, dia seharusnya lebih dalam forum tertutup kerana mempunyai sensitiviti tertentu," katanya ketika diminta mengulas ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam ucapannya, Najib yang juga Perdana Menteri antara lain berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta "terkunci kemas" dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Chua berkata ucapan Najib itu jelas mengingatkan semua rakyat negara ini supaya hidup bersatu padu bagi menjamin kestabilan politik dan sosial yang dijadikan sebagai asas pembangunan negara.

Beliau juga berkata semua rakyat tanpa mengira agama perlu menyahut ingatan Perdana Menteri itu serta mengambil kira kepentingan dan tuntutan semua kaum bagi memastikan kestabilan dan perpaduan yang dikecapi hari ini akan terus terpelihara.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan ucapan Perdana Menteri sebagai permulaan yang baik dalam menyuntik semangat perjuangan, namun pelaksanaannya perlulah jujur bagi memastikan ia berkesan.

Beliau berkata Perlembagaan Malaysia juga perlulah dipandang secara seimbang, merangkumi hak-hak semua kaum serta tidak hanya melibatkan fasal-fasal tertentu bagi memastikan perspektif yang seimbang.

"Apa yang penting beliau (Najib) menegaskan bahawa kita berkongsi nasib masa hadapan yang sama berdasarkan Gagasan 1Malaysia dan itulah satu aspek yang harus kita terus usahakan untuk menyampaikan mesej yang positif dan membina untuk semua golongan dan lapisan," katanya.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata ucapan dasar presiden Umno itu bukan sahaja memberikan inspirasi kepada Umno, malah menanamkan semangat baru untuk bekerja di kalangan parti-parti komponen BN.

"Dan pada akhirnya kita boleh menunjukkan kepada parti pembangkang bahawa Barisan Nasional masih kuat dan akan menjadi lebih kuat lagi," katanya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr M. Kayveas berkata ucapan yang disampaikan Presiden Umno adalah sesuatu yang holistik dan menyeluruh bukan hanya untuk perwakilan Umno tetapi juga buat seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, penegasan yang dibuat Perdana Menteri bahawa segala apa yang dilakukan sejak perdana menteri pertama sehingga sekarang adalah sama demi kebaikan semua kaum, adalah amat dihargai.

Bagaimanapun, katanya, rakyat masih menerima beberapa perubahan yang dibuat kerajaan kerana sedar tentang keperluannya berlandaskan perubahan masa dan teknologi.

"Namun kita faham, semasa kita ingin mempertahankan hak kaum masing-masing, dalam masa yang sama juga kita perlu mempertahankan hak seluruh rakyat Malaysia berteraskan konsep 1Malaysia," katanya.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ucapan Perdana Menteri itu adalah sangat memberangsangkan terutama dalam mengingatkan kaum Melayu bahawa mereka perlu mempertingkatkan daya saing dan bukan sahaja hanya melaung-laungkan dan menekankan hak sesuatu kaum.

"Di Malaysia ini kita perlu lihat yang kerjasama antara kaum itu penting dan bagaimana kekuatan orang Melayu itu juga penting untuk memastikan negara terus maju dan mantap. Saya yakin dengan adanya kata-kata semangat ini, negara kita akan terus harmoni, bersatu padu dan berdaya saing," katanya.


Tiada ulasan: