HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2010

Kerugian RM1.45 bilion cerminkan ketidakcekapan pengurusan KTMB

MERDEKA REVIEW

Konsensus Bebas bermengkal hati apabila membaca kerugian berjumlah RM1.45 billion yang ditanggung oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009. Hakikatnya, kerugian ini ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibiayai oleh wang dan dana rakyat. Begitu teruk sekali situasi KTMB, sehinggakan Ketua Audit Negara melaporkan bahawa prestasi kewangan KTMB "mengecewakan".

Secara ringkasnya, kerugian ini berpunca dari kos operasi yang naik mendadak, dan secara keseluruhannya, mencerminkan ketidakcekapan pengurusan KTMB.

Satu contoh ketidakcekapan pengurusan KTMB yang boleh dilihat umum adalah laman web rasmi KTMB. Sebagai sebuah entiti perniagaan yang berurusan dengan orang ramai di abad ke-21, laman web adalah satu keperluan asas. Bagaimanapun laman web KTMB yang tidak mesra pengguna selalu tidak berfungsi atau tidak dikemaskini. Pengguna-pengguna sering hampa apabila ingin mendapatkan maklumat atau berurusan dengan KTMB melalui internet.

Interaksi pihak pengurusan KTMB dengan pengguna-pengguna di stesen-stesen keretapi juga amat menghampakan dan langsung tidak menunjukkan mutu perkhidmatan yang mesra pengguna. Mutu perkhidmatan KTMB ketara tidak berdaya saing, ditambah dengan kakitangan KTMB yang tidak bermotivasi. Dalam tinjauan rambang di stesen-stesen keretapi, para pengguna terpaksa menghabiskan masa yang lama hanya untuk membeli tiket di kaunter. Mesin tiket yang tidak berfungsi adalah perkara biasa. Maklumat penting seperti jadual perjalanan, harga tambang dan sebagainya tidak dipamerkan di lokasi yang strategik, malahan maklumat tersebut akan berubah tanpa pengetahuan atau maklumat yang secukupnya diberikan kepada pengguna. Tahap pengawasan penumpang yang sangat lemah menyebabkan banyak penumpang dapat mencuri naik keretapi dengan percuma.

Pengguna juga sering berhadapan dengan masalah kerosakan koc-koc semasa perjalanan. Penyelenggaraan koc-koc jelas dalam tahap yang tidak memuaskan; sering terdapat pintu-pintu kompartmen yang rosak, tandas yang kotor dan tidak berfungsi, lantai yang bersepah dengan sampah dan sebagainya. Stesen Komuter yang malap pula mengundang bahaya dan jenayah di waktu malam. Keselesaan dan keselamatan pengguna nampaknya bukan lagi keutamaan pengurusan KTMB.

Secara tradisinya, perkhidmatan keretapi merupakan tunggak utama sistem pengangkutan awam. Sistem keretapi adalah alternatif yang lebih murah, mudah dan selamat untuk rakyat berbanding sistem pengangkutan jalanraya yang kian sesak, baik di dalam atau ke luar bandar. Sebagai pilihan popular rakyat, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana, KTMB mesti menyediakan perkhidmatan yang selamat, selesa dan dengan kos yang berpatutan. Untuk tujuan tersebut, pengurusan KTMB mestilah mengambil pendekatan yang lebih proaktif.

Kerugian RM1.45 billion ini adalah terlalu besar dan sudah tentu amat mengecewakan rakyat. Konsensus Bebas menggesa pihak pengurusan KTMB supaya bertindak dari sekarang untuk memperbaiki mutu perkhidmatan, penyelenggaraan, keselesaan dan keselamatan terhadap pengguna perkhidmatannya.

Konsensus Bebas juga menggesa kerajaan untuk membuat siasatan segera mengenai perkara ini. Menteri serta kementerian yang terlibat hendaklah memberi penjelasan terperinci kepada rakyat umum dan Parlimen Malaysia bagi menjawab permasalahan-permasalahan yang dibangkitkan terhadap KTMB.

*Kenyataan media oleh Konsensus Bebas, yang terdiri daripada Zahrain Mohamed Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru), Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Zulkifli bin Noordin (Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai).

Tiada ulasan: