KUALA LUMPUR — Felda memperoleh penghakiman ingkar tanpa kehadiran dalam kes saman fitnah RM200 juta terhadap penerbit dan pencetak akhbar Suara Keadilan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusoff membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar keterangan peguam Felda, Fairuz Hussein Jamaluddin.
Penerbit akhbar itu ialah Pelita Koridor Sdn Bhd manakala syarikat pencetaknya ialah Percetakan NPK.
Dipetik Bernama, Fairuz Hussein memberitahu wartawan bahawa jumlah kerosakan masih belum dinilai dan kosnya juga belum ditetapkan.
Pada 16 Ogos Felda dan syarikat pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, memfailkan satu saman RM200 juta terhadap presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan lima lagi kerana menfitnah agensi itu menerusi artikel yang disiarkan Suara Keadilan.
Selain Wan Azizah, turut dinamakan Felda sebagai defendan ialah Naib Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd, Percetakan NPK Sdn Bhd, editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib, dan Rusnizam Mahat, yang menulis artikel itu.
Dalam penyataan tuntutannya, Felda selaku plaintif, mendakwa akhbar itu menerbitkan artikel pada 22 dan 29 Jun lepas yang mengandungi fitnah terhadap Felda.
Felda mendakwa artikel pertama bertajuk “Felda Bangkrap” dan artikel kedua berserta gambar bertajuk “Kontroversi” dan “Bina Bangunan RM662juta Hanya Libatkan Tiga Individu” berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.
Felda turut mendakwa pihak defendan dengan sengaja menerbitkan artikel berunsur fitnah itu dengan tujuan untuk memusnahkan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda sekaligus menyebabkan kerugian yang besar kepada lembaga itu.
Selain menuntut ganti rugi RM200 juta, termasuk ganti rugi keterlaluan dan teladan, plaintif juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula perkataan fitnah secara lisan di media cetak atau internet.
Felda juga menuntut pihak defendan memohon maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah, kos dan relif lain yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah.
Bagi lain-lain responden, Fairuz Hussein berkata saman itu masih diteruskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan