PETALING JAYA: Pendirian Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menangguhkan pengumumannya sama ada bertanding jawatan nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecewakan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan cabang di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Sekumpulan penyokong menteri besar itu, berkata Khalid haruslah menghormati suara akar umbi yang mahukan beliau bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR.
Kumpulan lima orang – dua pemimpin pusat dan tiga cabang – juga mendakwa mereka sebagai wakil kepada beberapa pemimpin cabang Lembah Klang dan pusat.
"Tentulah amat merugikan parti, jika Khalid menolak untuk bertanding kerana beliau mempunyai kewibawaan yang terbukti dalam menjalankan tugas sebagai peneraju kerajaan Selangor.
" Khalid harus menghormati suara akar umbi yang telah mencalonkan beliau," kata jurucakap yang enggan mendedahkan identiti kerana mendakwa mempunyai hubungan baik dengan seorang lagi pemimpin PKR Selangor yang akan bertanding timbalan presiden.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dan Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub mengumumkan akan bertanding jawatan nombor dua parti.
Jurucakap tersebut turut mempersoalkan dakwaan Khalid bahawa beliau telah mendapat restu dari Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim dan Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
"Khalid tidak memerlukan restu daripada seorang dua pemimpin kerana yang lebih penting beliau telah menerima ‘restu’ dari ahli-ahli akar umbi jauh lebih ramai yang telah mencalonkan beliau.
"Adakah ini dinamakan demokrasi apabila calon terpaksa menolak restu dari ahli yang lebih ramai disebabkan tidak mendapat restu seorang dua pemimpin ini?" soal jurucakap kumpulan ini.
Menurutnya, matlamat PKR untuk membudayakan demokrasi di dalam parti tidak akan tercapai apabila budaya ‘mendapat restu’ dari pemimpin tinggi untuk bertanding masih diamalkan di dalam parti.
Katanya lagi, inilah peluang Khalid untuk menafikan tanggapan umum bahawa tindakan beliau selama ini dibayangi oleh Anwar termasuk keputusan yang melibatkan dasar-dasar kerajaan Selangor di mana Anwar adalah penasihat ekonomi negeri.
Seorang pemimpinPKR cabang di Gombak mendakwa kesediaan Khalid bertanding jawatan nombor dua parti itu hanya tidak lebih daripada pemecah undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan