HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2010

Masyarakat India Kelantan tidak merungut - DHPP

Muhammad Yusri Amin

GUA MUSANG: Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Balasubramaniam Nachiappan mendakwa masyarakat India termasuk di Kelantan tidak mendapat perhatian sewajarnya dari Barisan Nasional (BN) khususnya MIC yang menjadi komponen BN sejak lebih 50 tahun lalu.

Bagaimanapun, Bala yang sebelum ini berjuang dalam Kelab Penyokong PAS dan berpengalaman sebanyak 11 kali dalam mendepani pilihan raya berkata, sejak 20 tahun lalu masyarakat India khususnya di Kelantan tidak pernah merungut berada di bawah pemerintahan kerajaan negeri yang dipimpin ulama yang diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya sudah banyak kali datang ke Kelantan dan saya lihat rakyat dari kalangan India tidak pernah merungut mengatakan Tok Guru Menteri Besar tidak membuat apa-apa.

“Saya melihat di Kelantan, Tok Guru sudah 20 tahun memerintah negeri ini dan beliau melayan rakyat dengan adil tanpa mengira kaum, agama serta fahaman politik,” katanya kepada media ketika melakukan lawatan kerja di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Galas dekat sini, semalam.

Turut serta Ketua Penerangan dan AJK DHPP Pahang, P Kanagarajah dan S Vadivelu.

Bala menyifatkan Pilihan raya Kecil N.45 Galas pada 4 November ini petanda baik bagi PAS kerana pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu rakyat di Galas telah memilih calon PAS.

“Pilihan Raya Kecil Galas, bagi kami sangat mudah membantu kempen, ini kerana kami berpengalaman termasuk bagaimana cara menjalankan kempen dan bersama dengan pengundi-pengundi termasuk pengundi India yang seramai 185 orang.

“Di Kelantan khususnya di Galas, orang India tidak banyak masalah, ini kerana kebanyakan permasalahan yang dihadapi mereka telah berjaya diselesaikan Kerajaan PAS Kelantan,” katanya yang akur bahawa masyarakat India di negeri ini mendapat keadilan dan kebajikan di bawah kerajaan yang ada.

Selain itu, menurut Bala, Tuan Guru Menteri Besar faham kehendak rakyat dan melaksanakannya menurut peraturan ditetapkan Islam.

“Jadi atas kepercayaan itu, kami memang menyokong, bahkan kini orang India sudah pun faham dasar Islam yang memudahkan kami menangani pengundi-pengundi pada PRK Galas nanti,” katanya.

Tiada ulasan: