HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2010

Mengapa tiada kaedah tangani defisit fiskal

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Bajet 2010 tidak mampu memacu Program Tranformasi Ekonomi (ETP) kerana tidak menjelaskan kaedah kerajaan untuk menangani defisit fiskal dalam urus tadbir ekonomi negara.

"Atas matlamat mengurang defisit fiskal, nyata bahawa Menteri Kewangan I (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak mensasarkan perbelanjaan untuk mencapai penurunan defisit," ujarnya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Najib, Perdana Menteri turut dikatakan demikian kerana beliau ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hanya memberikan 'janji manis' bahawa defisit pada tahun depan akan berkurang 5.4 peratus dari Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

"(Najib berkata) dengan mengambil kira hasil dan perbelanjaan, defisit kerajaan bagi tahun 2011 dijangka terus berkurangan 5.4 peratus dari KDNK berbanding 5.6 (peratus dari KDNK) pada tahun 2010.

"Hanya begitu saja disebut, nyata bahawa Menteri Kewangan I tidak mensasarkan perbelanjaan untuk mencapai pengurangan defisit, janji-janji manis saja," ujarnya.

Disebabkan itu, katanya para penganalisis umum melihat bajet yang dibentangkan Najib pada 15 Oktober lalu adalah tidak cermat dan tak masuk akal.

Akibat dari urus tadbir ekonomi negara secara pincang, katanya petadbiran Najib, Presiden Umno bakal mengulangi insiden pengucupan pelaburan asing langsung (FDI) ke dalam negara sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion pada tahun 2008 pada RM4.43 bilion pada tahun 2009 kelak.

Berbeza dengan Singapura, katanya kerajaan tersebut mempunyai kaedah yang jelas untuk mencapai sasaran penurunan defisit 2.6 peratus dari KDNK.

Begitu juga dengan Indonesia, katanya kerajaan tersebut mempunyai kaedah yang jelas untuk mencapai sasaran penurunan defisit 1.7 peratus dari KDNK.

"Maka pakar ekonomi dan penganalisis menyindir: 'supaya jangan hairanlah kalau Malaysia tidak menjadi destinasi pelaburan impian dan terbabit'," ujarnya.

Difahamkan, belanjawan negara sehingga tahun ini mengalami defisit 14 tahun berturut-turut.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya cadangan kerajaan membina transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) bernilai RM40 bilion; Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bernilai RM26 bilion; menara Warisan Merdeka 100 tingkat bernilai RM5 bilion dan sebagainya tidak akan menjamin pada pertumbuhan FDI.

"Para penganalisis berpandangan bahawa pihak swasta ini tidak mempunyai kutipan dana dalam pasaran saham dan kewangan yang lain dengan tidak ada jaminan (prospek pelaburan yang sihat) daripada kerajaan," ujarnya.

"Maka, akhirnya ia akan melebarkan defesit apabila projek-projek ini gagal dilaksanakan dan kerajaan menanggung segalanya atas sebab menyelamatkan kepentingan kerajaan."

Tuntas dari itu, beliau menjangkakan bahawa defisit fiskal akan terus melebar sehingga 6 peratus dari KDNK kelak.

Tiada ulasan: