HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2010

Model politik baru Umno ‘mantera’ Najib pulihkan Umno?

THE MALAYSIAN INSIDER


Najib (kanan) berkata perhimpunan agung kali ini adalah titik permulaan kepada model baru Umno. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Dalam temu bual terbaru malam tadi, Nain Presiden Umno Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata Umno tidak boleh lagi bernostalgia dengan kejayaan masa lalu tetapi menumpukan usaha dalam mencari formula baru untuk terus kekal relevan dalam landskap politik yang sedang berubah.

“Saya fikir nostalgia itu tidak perlu diulang-ulang dan pendekatan dengan kaedah baru berhemah dan tatasusila yang boleh diterima,” katanya.

Dipetik Bernama, Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata generasi baru yang juga bakal pengundi baru mahukan formula yang boleh berubah dan relevan dengan minda, sikap dan situasi dalam menghadapi cabaran akan datang dalam parti.

Menyentuh tentang formula baru, Ahmad Zahid berkata komunikasi dengan “orang muda” menerusi laman sosial adalah antara aspek penting dalam pentadbiran Perdana Menteri yang telah membantu beliau dalam mengetahui permasalahan dan bertukar-tukar pandangan dengan rakyat.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata pindaan dalam perlembagaan Umno tahun lepas turut membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai anggota-anggota sayap yang terdiri daripada golongan muda untuk menyuarakan pandangan sekaligus berpeluang memilih pucuk pimpinan tertinggi dalam parti.

Perhimpunan Agung Umno 2010 yang akan dirasmikan Presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak dalam beberapa jam lagi bakal memperlihatkan kepada budaya dan model politik baru Umno untuk lebih terbuka dan inklusif.

Selepas setahun Perlembagaan Umno dipinda, perhimpunan yang disertai 4,907 perwakilan kali ini bakal diisi dengan perubahan daripada segi budaya untuk tindakan seluruh anggota parti.

Malah, dalam ucapan dasar ketiga-tiga pemimpin sayap parti terdiri Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, mereka tegas menekankan mengenai cabaran-cabaran dan transformasi yang perlu dilalui anggota parti.

Walaupun cabaran dan transformasi itu sudah pastinya mengambil masa yang lama, namun Umno perlu bergerak di landasan perjuangan model politik baru yang diilhamkan Najib bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti unggul peneraju negara.

Selepas 64 tahun, perjuangan Umno tidak boleh lagi berkisar kepada pertembungan kuasa semata-mata tetapi ke arah persaingan minda dan pertempuran idea seperti saranan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya semalam.

Menurutnya transformasi politik perlu dilaksanakan dengan serta-merta demi menjamin Umno diterima anggota parti serta rakyat Malaysia.

Khairy berkata antara transformasi politik yang perlu dibuat anggota Umno adalah politik yang berteraskan pemikiran serta idea dan gelanggang politik semasa tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata tetapi juga persaingan minda dan pertempuran idea.

Dalam ucapan penggulungan, kata beliau, sikap suka melihat dan mengambil kesempatan dengan turut sama melontarkan kritikan ketika anggota parti dikritik lawan perlu dikikis dalam Umno, kata Khairy lagi.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab itu perlu dikikis dan dielak dari dijadikan amalan oleh anggota parti kerana perbuatan tersebut tidak selaras dengan model politik baru yang ingin diperkenalkan parti.

Kelmarin, Najib berkata beliau mahu Perhimpunan Agung Umno 2010 menjadi titik permulaan kepada budaya dan model baru politik Umno untuk lebih terbuka dan lebih inklusif.

Perdana Menteri berkata perhimpunan kali ini, selepas setahun Perlembagaan Umno dipinda, perlu disusuli dengan perubahan daripada segi budaya dan tindakan seluruh anggota parti.

“Peranan parti diakar umbi mesti bersifat inklusif dan dapat menunjukkan imej yang disenangi rakyat (dan) sentiasa dekat di hati rakyat (melalui) pelbagai aktiviti, dan kita dapat tunjukkan Umno merupakan pemudah cara dan pelopor kepada segala kegiatan di akar umbi,” katanya selepas majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2010.

Sebagai parti gerakan massa, Umno juga perlu melihat kepada cadangan bahawa sememangnya parti itu memerlukan penglibatan besar daripada anak-anak muda di peringkat akar umbi kerana pertimbangan politik generasi muda amat kritikal sekarang.

Pemimpin dan anggota Umno perlu memikirkan kaedah dan pendekatan yang berkesan untuk menarik golongan muda menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, kira-kira 80 peratus atau hampir tiga juta daripada pengundi baru pada pilihan raya umum akan datang terdiri daripada pengundi muda. Peratus undian mereka dijangka naik daripada 41 peratus pada pilihan raya umum ke-12 kepada 49 peratus pada pilihan raya umum ke-13.

Umno juga, tidak dapat tidak, perlu berubah selari dengan kebangkitan ledakan teknologi maklumat, secara khusus iaitu menggunakan laman web sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai alternatif kepada media massa tradisional, dalam menyalurkan maklumat kepada golongan muda.

Justeru, usaha mendampingi kumpulan muda juga mesti melalui pendekatan berpaksikan pemikiran dan pandangan yang lebih kritis daripada era dahulu dan Umno tidak boleh menyumbat mereka dengan propaganda berat sebelah.

Saranan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga perlu dilihat dengan lebih serius oleh anggota Umno kerana sebagai parti teras Barisan Nasional, Umno perlu berjuang untuk memenangi hati pengundi muda serta semua kaum dan agama di negara ini.

Keperluan untuk menukar minda juga turut disentuh oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam ucapan dasarnya apabila meminta Puteri menjadi perintis trend dan bukan pengikut agar perjuangan sayap Umno dapat diterima generasi muda.

Katanya Puteri amat bersetuju bahawa setiap pihak perlu berubah dan memperkasakan politik sesuai dengan lanskap politik semasa.

“Ini dapat memberi landasan yang lebih jelas tentang hala tuju yang bersifat praktikal dan pragmatik dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, berteraskan tuntutan akar umbi dan dalam masa yang sama mengasimilasikan gagasan 1 Malaysia,” katanya.

Ketiga-tiga sayap yang selesai mengadakan persidangan mereka semalam tidak muncul dengan input jelas harapan mereka daripada model politik baru dimasudkan ketua mereka.

Justeru, perwakilan mengharapkan “mantera” dan “formula” Najib dalam perkara ini.