Idea perpaduan Melayu telah dibincangkan secara ketara pertengahan tahun ini dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sedia menjadi orang tengah ke arah mewujudkan perpaduan antara Umno dan PAS.
Khairy melahirkan pendirian tegas beliau ini berdasarkan perkembangan sejarah membabitkan orang Melayu dan dua parti politik Melayu utama negara ini sejak enam dekad yang lalu.
Bagaimanapun Khairy menegaskan beliau tidak menentang penyatuan politik orang Melayu.
“Malah Pemuda Umno pernah mengalu-alukan muzakarah yang dicadangkan antara Umno dan PAS.
“Tetapi saya juga sedar bahawa telah terpahat dalam sejarah yang Melayu itu jarang sekali bersatu,” kata beliau dalam ucapannya pada Persidangan Pergerakan Pemuda Umno di sini hari ini.
Ia ucapan kedua beliau selaku Ketua Pemuda Umno. Tahun lalu beliau menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Idea perpaduan Melayu dibangkitkan atas tanggapan bahawa orang Melayu sudah mula hilang kuasa selepas BN dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan lima kerajaan negeri pada Mac 2008.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) menekankan bahawa dalam lipatan sejarah moden, kecuali dalam penentangan terhadap Malayan Union dan perjuangan kemerdekaan, orang Melayu acap berpecah terutama dalam pemahaman dan ideologi politik.
Beliau menimbulkan perkara itu dengan menekankan naratif perjuangan Umno khususnya Pergerakan Pemuda tidak hanya terhad kepada agenda ekonomi bangsa.
Pendekatan baru yang lebih progresif juga melahirkan orientasi politik yang baru, kata Khairy.
Kata beliau, kerisauan bangsa mutakhir ini juga menyentuh soal kuasa politik.
“Ada yang berpendapat Melayu akan hilang kuasa politik kerana kebangkitan orang bukan Bumiputera sebagai kuasa penentu pilihan raya.
“Kumpulan ini mencadangkan agar Melayu bersatu untuk menjamin kuasa di tangan bangsa pribumi,” kata beliau lagi.
Bagaimanapun menurut beliau, apabila ada sahaja cadangan penyatuan itu dibangkitkan, ia disambut dengan sinis oleh pihak lain termasuk PAS.
“Malah dalam soal asas agama dan bangsa pun, PAS sanggup menolak tangan yang kita hulurkan dengan ikhlas kerana ketaksuban mereka kepada kuasa — sehingga yang haram menjadi halal, yang mungkar menjadi ma’ruf,” katanya.
Khairy berpendapat walaupun berpandangan demikian tidak bermakna beliau menolak kemungkinan orang Melayu bersatu semula.
“... tetapi kita harus menerima realiti hari ini bahawa undi orang Melayu itu sudah berpecah.
“Tidak ada parti Melayu – baik Umno mahupun PAS – yang boleh mendapat seratus peratus undi Melayu. Di kebanyakan kawasan, perpecahan politik orang Melayu adalah 50 peratus di satu pihak dan 50 peratus di pihak yang lain.
“Ini bermakna siapa sahaja yang mahu menang mestilah menang dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Oleh itu tegas Khairy lagi, kalau Umno mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, “kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi Parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas.”
“Inilah hakikat dan realitinya,” kata Ahli Parlimen penggal pertama ini.
Sehubungan itu Khairy menambah, ahli-ahli Umno harus belajar dari keputusan pilihan raya umum lalu di mana jelas Umno hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu.
Oleh itu jelas beliau, jika Umno masih lagi berkhayal bahawa boleh menang tanpa sokongan mereka, 50 kerusi Parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya.
“Sekiranya tidak ada usaha untuk mengamal kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang umpama pepatah Melayu bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi,” katanya.
Bagaimanapun Ketua Pemuda BN ini tidak menolak hakikat bahawa tanggungjawab utama menarik sokongan bukan Melayu terletak atas bahu parti-parti komponen tertentu.
Justeru katanya, segala kelemahan yang ada perlu diatasi dengan segera dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
“Tetapi dalam arena politik semasa – apatah lagi dengan gagasan 1 Malaysia menjadi pegangan bersama – rakyat Malaysia mahu melihat semua parti BN mengamalkan pendekatan yang muhibbah, adil dan saksama.
“Kita tidak mahu menjadi pemimpin politik sesumpah sebagaimana yang wujud di pihak lawan, yang cakapnya tidak boleh dipegang.
“Lafaz janji yang hari ini ditutur kepada orang Melayu tanpa segan silu dipusing ceritanya bila ditutur kepada orang bukan Melayu,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan