HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2010

Sejarah tak cukup jadikan Rukun Negara subjek khas, kata pakar

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Satu saranan dibuat hari ini yang meminta kerajaan supaya mewujudkan satu jawatankuasa untuk menilai sukatan mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah atau universiti dalam usaha merealisasikan hasrat melahirkan generasi muda yang sayangkan negara.

Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Zainal Keling berkata kandungan silibus subjek Sejarah perlu dirangka dengan teliti berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara agar ia lebih difahami dan bukan untuk para pelajar lulus peperiksaan semata-mata.

“Mata pelajaran Sejarah semata-mata belum cukup untuk menyedarkan rakyat tentang kenegaraan dan kewarganegaraan.

“Jika kita hanya bergantung kepada sejarah sahaja ia tidak mencukupi jadi kita perlu wujudkan satu mata pelajaran yang baru iaitu mata pelajaran Rukun Negara di mana sejarah adalah sebahagian dari komponen tersebut,” katanya.

Zainal berkata generasi muda khususnya perlu memahami sejarah secara menyeluruh bukan sekadar menghafal dan mempelajarinya ketika menghadapi peperiksaan kerana itu bukan cara terbaik bagi melahirkan generasi muda yang cintakan negara.

Beliau berkata untuk membentuk warganegara yang sayangkan negara mereka, pendidikan sejarah harus bermula di peringkat awal hingga ke universiti yang bertujuan memastikan rakyat menghargai perjuangan pemimpin terdahulu.

Seorang lagi tokoh sejarah Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim turut mahukan satu jawatankuasa diwujudkan untuk menilai sukatan mata pelajaran Sejarah agar ia seimbang dan selaras dengan keadaan semasa.

“Kita perlu berhati-hati dengan apa yang diajar kerana sejarah perlu berasaskan penyelidikan. Justeru penerapan aspek penting seperti Perlembagaan dan Sistem Beraja diselitkan dalam mata pelajaran tersebut,” katanya.

Khoo berkata golongan pendidik sewajarnya diberi latihan khusus agar mereka lebih memahami mata pelajaran itu.

“Ini kerana terdapat segelintir guru yang tidak memahami sejarah dengan jelas dan mereka ini harus disiap sediakan dengan latihan yang merangkumi silibus pengajaran yang tepat agar tidak disalahertikan oleh pihak lain,” katanya.

Semasa Perhimpunan Agung Tahunan Umno yang baru berakhir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai subjek wajib lulus bagi memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.

Mata pelajaran Sejarah juga akan dijadikan subjek teras di Sekolah Rendah bermula 2014.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen berkata, langkah Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai wajib lulus dalam SPM boleh membantu mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini.

Datuk Mohamad Aziz (Barisan Nasional-Sri Gading) berkata keputusan itu merupakan langkah terbaik ke arah menerapkan pelajar dengan hal ehwal sejarah negara sejak bangku sekolah lagi.

“Kita nak bina satu bangsa yang tahu sejarah dan kalau rakyat kita tahu sejarah, perkara-perkara yang menentang Perlembagaan (Persekutuan) tidak akan berulang lagi di masa akan datang,” katanya semasa membahaskan pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang juga menyokong keputusan itu berkata anak-anak perlu difahamkan dengan asas pembentukan kemerdekaan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui agar mereka sedar sebagai negara majmuk rakyatnya perlu ada toleransi dan tidak mengungkit perkara sensitif.

“Kita yakin mata pelajaran Sejarah ini akan memberi kesedaran kepada anak-anak kita, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” katanya semasa membahaskan rang undang-undang itu.

Oleh itu katanya, guru-guru yang mengajar mata pelajaran itu juga mestilah berkebolehan dan menggunakan pelbagai kaedah supaya ia menjadi menarik.

“Sekiranya guru-guru tersebut tidak mempunyai kemahiran, berinovasi dan kreatif dalam mengajar mata pelajaran tersebut, maka Sejarah sangat tidak disukai oleh pelajar,” katanya.

Tiada ulasan: