HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Februari 2011

Melayu: BTN diminta olah semula kurikulumnya

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Biro Tata Negara (BTN) agar mengolah semula kurikulum yang selalu mengasak para peserta kursusnya agar bimbang dan takut bahawa bangsa Melayu akan hilang kuasa politik di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika menyertai forum 'Masa Depan Kepimpinan Melayu' di Putra Word Trade Centre (PWTC) lewat petang semalam berkeyakinan penuh kuasa Melayu akan kekal sekurang-kurangnya 50 tahun lagi.

Saranan ini dikemukakan Mustafa di hadapan lebih 1,000 peserta Simposium Dilema Melayu yang dianjurkan oleh lepasan pelajar pro Aspirasi yang didokong sepenuhnya oleh Umno.

Turut menjadi penal adalah Tan Isa Samad (Pengerusi Felda) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah bekas Ketua Pengarah BTN, Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Turut berada di dewan ketika itu adalah Pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali serta Datuk Seri Shahidan Kasim, bekas Menteri Besar Perlis di samping lain-lain pemimpin Umno.

Media telah dilarang masuk ke program ini namun wakil Harakahdaily yang mengiringi Mustafa telah dibenarkan masuk.

Menurut Mustafa, cara BTN memberikan indoktrinasi kepada para pelajar kononnya jika Melayu tidak bersatu di bawah Umno, kuasa Melayu akan hilang adalah tidak benar.

"Jika Melayu tidak bersama Umno, mereka akan bersama PAS, iaitu masih kekal di tangan orang Melayu," katanya di majlis itu yang disambut tepukan gemuruh dari para pelajar universiti yang menjadi peserta program itu.

Mustafa berkata, dengan kerusi Melayu sebanyak 112 dari 222 kerusi semuanya, tidak ada sebab untuk kuasa Melayu di negara ini hilang kecuali Umno sebagai pihak yang berkuasa sekarang terus mengecilkan kerusi orang Melayu sebagaimana yang dibuatnya pada tahun 2003.

Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003, kerajaan yang dikuasai Umno tidak menambah sebarang kerusi Parlimen untuk negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis iaitu negeri-negeri yang ramai orang Melayu.

Padahal negeri-negeri lain telah mendapat penambahan kerusi Parlimen yang sangat ketara.

"Apabila saya, ketika itu mewakili PAS yang memimpin kerajaan negeri Terengganu, berbincang dengan SPR, mereka kata akan menambahkan sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen untuk Terengganu.

"Tetapi apabila ia dibentangkan di Parlimen, tidak ada satu pun kerusi Parlimen ditambah di empat negeri orang Melayu tersebut.

"Alasannya Umno bimbang kalau-kalau kerusi-kerusi itu dimenangi oleh PAS, ia akan merugikan Umno. Ini semua berlaku kerana Umno berfikir dari segi kepentingan politiknya semata-mata (bukan Melayu sebagaimana yang dikatakannya)," kata Mustafa.

Dalam seminar itu juga, Mustafa mengajak semua peserta simposium itu yang semuanya orang Melayu agar kembali kepada Islam kerana Islam penuh dengan nilai yang akan menaikkan kualiti orang Melayu.

Tun Mahathir paling berani

Beliau bersetuju, antara pemimpin yang paling berani di negara ini adalah Tun Dr Mahathir, namun bagi beliau Mahathir berani tidak bertempat.

"Kalau orang tanya saya, siapa PM yang paling berani mengkritik Amerika, barat, Israel dan lain-lain pihak, saya akan katakan Tun Dr Mahathir," kata Mustafa dengan diiringi tepukan gemuruh para hadhirin kerana pemberi ucap utama di konvensyen itu adalah Mahathir.

"Namun," kata Mustafa, "Mahathir berani tidak bertempat. Pada tahun 1999, apabila PAS menang di Terengganu, dia bersama dengan Tun Daim selaku Menteri Kewangan telah merampas hak royalti rakyat Terengganu dari negeri itu.

"Dia berani langgar semua prinsip keadilan, perjanjian dengan Petronas bahkan prinsip demokrasi...ini perlu diperbetulkan semula (kalau mahu bercakap tentang Melayu)," kata Mustafa dengan diikuti bunyi bising di belakang membantah kenyataan Mustafa ini.

Pengerusi forum ini, Dr Nordin Kardi ketika memberikan kata-kata ketika menutup forum ini berkata, selepas mendengar hujjah-hujjah Mustafa, beliau bersedia untuk mengambil borang menjadi ahli PAS namun kerana ia datang dari orang politik, ia telah membantutkan hasrat itu.

9 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Bagi pendapat saya, program BTN perlu diubah supaya lebih relevan.

zam berkata...

jika ada keperluan ia memang wajar diolah, jika kurikulumnya sudah sedia sesuai tidak perlulah untuk diubah.

elia berkata...

Mungkin adalah lebih baik mengolah semula kurikulum, jika ramai yang meminta demikian.

elia berkata...

Jika berlaku pengolahan itu, diharap ianya adlah sesuatu yang membawa kepada kebaikkan bersama. Disamping memajukan belia2 yang mengikuti program BTN.

evan medhousky berkata...

Perlaksanaan BTN harus diperkemaskinikan supaya ianya sejajar dengan aspirasi untuk menyatu padukan rakyat, serta bertanggungjawab untuk memupuk kasih sayang dan rasa hormat sesama bangsa di negara ini.

Tanpa Nama berkata...

Wa ekslusif HD dapat cerita ni.. Media lain sia-sia saja datang. hehehe

Tanpa Nama berkata...

Setiap perkara yang diutarakan harus diberi perhatian sewajarnya dan buatlah apa yang patut. Paling penting ketepikan sikap win-lost kerana hanya dengan mengamalkan win-win barulah semua hal boleh berjalan lancar:)

Hosie Masie berkata...

Bagi saya, BTN ini baik untuk semua. tapi haruslah diperkasakan lagi. Jika boleh biarlah releven dengan rakyat kita ini.

tombolo berkata...

program latihan BTN harus diperkasakan lagi dan sebaikya jgn libatkan unsur politik dalam BTN.