HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mei 2011

BN masih gagal majukan OKU

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kerajaan BN ternyata gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap orang kelainan upaya (OKU) sehingga menyebabkan golongan itu masih gagal mencapai kecemerlangan dalam hidup.

Realiti itu menyebabkan golongan kelainan upaya di tanah air masih mengalami kerumitan untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberikan peluang oleh pelbagai pihak, walaupun mereka juga mempunyai kebolehan tertentu.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, sehingga kini penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU masih agak mendukacitakan, sehingga mereka hanya dianggap sebagai golongan yang hanya layak diberikan simpati.

Menurut beliau, disebabkan anggapan itu, golongan OKU masih tidak diberikan tempat yang sewajarnya untuk menjawat jawatan dan melakukan pekerjaan tertentu oleh pelbagai pihak terutama oleh syarikat-syarikat perniagaan dan tokoh-tokoh korporat.

Katanya, sedangkan golongan OKU tidak sepatutnya dianggap sedemikian, sebaliknya perlu diberikan peranan seperti golongan normal juga.

"Ini samalah seperti kata orang, yang buta menghembus lesung, yang capek menghalau ayam, yang kuat menumbuk padi, yang menggambarkan kepada kita bahawa semua manusia mempunyai peranan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sidang akhbar itu diadakan susulan majlis perbincangan meja bulat mengenai isu berkaitan orang kelainan upaya bersama pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kumpulan OKU anjuran Suhakam, bermula jam 9.30 pagi hingga 2.00 petang ini.

Menurut Mahmood, untuk mengubah perspeksi masyarakat berhubung perkara itu sememangnya rumit dan ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh bagi memberikan penerangan kepada pelbagai pihak.

Sebelum itu, seorang pembentang kertas kerja pada perbincangan meja bulat itu, Presiden Persatuan Orang Cacat Malaysia, Datuk Mah Hassan turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan kelemahan Kerajaan BN dalam membantu mempertingkatkan pencapaian OKU.

"Macam mana golongan OKU hendak dipertingkatkan pencapaiannya, kerajaan sendiri dah dua tahun tak menggantikan senator dari golongan OKU," katanya.

Sebelum itu, seorang lagi Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Profesor Khaw Lake Tee dalam sesi perbincangan itu menjelaskan, isu-isu mengenai hak OKU di Malaysia telah sering kali diketengahkan dan dibincangkan.

Katanya, walau bagaimanapun, sebagai salah satu kumpulan yang kecil serta yang paling mudah ditindas, hak-hak mereka seharusnya diperjuangkan dan dilindungi.

"Sebagai Negara Ahli kepada kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (United Nations' Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pihak kerajaan bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang yang memberi makna kepada Konvensyen tersebut.

"Malangnya, penguatkuasaan Konvensyen ini masih lagi di tahap yang menyedihkan," katanya kesal sambil menyarankan pihak kerajaan melipatgandakan lagi usaha ke arah mempertingkatkan kualiti hidup golongan OKU di tanah air.

Sementara itu, Cik Yeoh Joo Ai menjelaskan, OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

Beliau yang mewakili Jabatan Pembangunan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia ketika membentangkan kertas kerjanya berkata, WHO menganggarkan kadar peratus populasi OKU di antara 5 peratus hingga 10 peratus dalam sesebuah negara.

"Malaysia tidak mempunyai data komprehensif berkenaan dengan bilangan OKU. OKU berdaftar dengan JKM 325,189 orang sehingga Disember 2010," katanya.

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

I think these OKU should be given more chance to contribute in society. Encourage more companies to hire OKU's that are capable of doing their jobs.

Tanpa Nama berkata...

We should not sideline them, instead we should help them build up their confidence. Hope that the government will set up more training center for disadvantaged people to help them learn a skill.

Jason berkata...

Help should be given to the disadvantaged people.

Jason berkata...

I hope BN will strive hard to help them and make them successful.

azman berkata...

usaha untuk meningkatkan pencapaian OKU perlu sentiasa dilakukan.

Tanpa Nama berkata...

golongan OKU harus dberi perhatian, mereka juga harus diberi peluang untuk maju seperti manusia biasa.

Tanpa Nama berkata...

golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat dan mereka seharusnya tidak dipinggirkan. usaha untuk memajukan mereka juga harus dilaksanakan secara berterusan.

Unknown berkata...

Setahu saya pelbagai kaedah telah dilaksanakan bagi membantu OKU ini. Tapi bukan mudah. antaranya kerajaan mendidik mereka dengan kemahiran seperti membuat barangan kraftangan, urutan dan sebagainya.

Tanpa Nama berkata...

jika kerajaan mengabaikan golongan ini kita tidak akan pernah mendengar kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM 218 juta khas untuk membantu golongan OKU di negara ini. sudah banyak pihak yang dilakukan oleh kerajaan.. kenapa tidak persoalkan peranan kerajaan negeri terutamanya Pakatan?? apa peranan suhakam dalam hal ini? sekadar menuding jari??