KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Selangor mengumumkan penubuhan Institut Produktiviti dan Perhubungan Perusahaan Selangor (InPPP) sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.
Dalam perutusan Hari Pekerjanya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, InPPP merupakan sebuah pertubuhan bersifat sukarela dan bebas dengan keanggotaan terdiri daripada majikan swasta, wakil kesatuan sekerja dan ahli akademik.
Antara misi InPPP ialah bertindak sebagai wadah bagi mengeratkan perhubungan antara pekerja, majikan dan kerajaan untuk membolehkan dasar dan usaha bersama yang lebih selaras, kata Khalid dalam kenyataan dikeluarkan di sini.
Kata beliau institut tersebut juga akan membantu usahawan dan golongan pekerja dengan memperkenalkan cara pengurusan, latihan dan teknologi terkini yang lebih berkesan untuk mempertingkat produktiviti dan menaikkan mutu hidup pekerja dan rakyat Selangor.
“Buat sementara waktu, satu jawatankuasa protem ditugaskan untuk melaksanakan kerja penyediaan dalam tempoh enam bulan,” katanya lagi.
Kata Khalid, beliau yakin InPPP dapat memperjuangkan hak para pekerja dalam hal menikmati limpahan kekayaan ekonomi yang sejak puluhan tahun hanya dinikmati oleh segelintir dan meminggirkan majoriti rakyat terutama golongan pekerja.
Pekerja-pekerja Malaysia menyambut Hari Pekerja buat kali ke-32 hari ini dengan cuti umum buat julung kali diperkenalkan oleh bekas timbalan perdana menteri Tun Dr. Ismail Abdul Rahman kira-kira empat dekad lalu.
Selain Malaysia negara-negara lain yang turut menyambut Hari Pekerja hari ini ialah Argentina, Austria, Belgium, Jerman, Norway, Itali, Korea Selatan, Perancis, Singapura, Sepanyol, Sweden, Thailand dan Vietnam.
Kanada dan Amerika Syarikat menyambut Hari Pekerja pada 2 September; New Zealand (28 Oktober) dan Britain (6 Mei) manakala Jepun, yang mengenalinya sebagai Hari Terima Kasih Pekerja menyambutnya pada 23 November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan