HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Mei 2011

Masalah Perumahan Pekerja Ladang di Selangor: Kami meminta rumah sahaja

Yuvarajan Subramaniam

Selamat sejahtera tuan- tuan dan puan- puan. Sebenarnya saya ingin memulakan ucapan saya dengan mengucapkan Selamat Hari Mei kepada semua yang hadir di sini. Tetapi melihat keadaan pekerja ladang yang masih merayu untuk sebuah rumah selepas berpuluh-puluh tahun megerah peluh di ladang, sebenarnya saya berasa sangat berat hati untuk mengucapkan "Selamat Hari Mei".

Sebelum memulakan ucapan saya ingin menyampaikan sebuah cerita. 25 tahun yang lalu, saya tinggal bersama datuk dan nenek saya di sebuah ladang yang dikenali Scarboro bahagian empat sekitar Sungai Petani, Kedah. Di ladang saya ada seorang ketua kesatuan pekerja. Pada setiap Hari Mei, beliau akan mengumpul semua pekerja ladang dan mengibarkan bendera malaysia selepas nyanyian "negara ku". Selepas itu beliau akan memberi gula-gula kepada kami dan akan menyampaikan ucapan mengenai keperitan pekerja ladang. Setiap kali ucapan beliau akan diakhiri dengan nada yang lesu. Saya terlalu muda untuk memahami kepiluan beliau mengenai kesusahan pekerja. Apa yang saya boleh buat pada masa itu ialah hanya makan gula-gula diberi.

Nenek saya pernah bercerita tentang beliau. Beliau bernama Periannan. Beliau seorang yang sangat jujur dan selalu bersedia untuk menolong pekerja ladang tersebut pada masa kesusahan dan masalah. Kejujuran beliau sangat terserlah sehingga tidak meminta pokok muda untuk isteri beliau sendiri yang biasanya akan diperuntukkan untuk pekerja ladang yang lama. Beliau takut akan disalah erti oleh rakan sekerja kalau beliau berbuat demikian.

Pada suatu hari, saya melihat beliau bercakap dengan kawan-kawan dengan sedih. Beliau baru balik dari Perjumpaan Kesatuan Pekerja di Sungai Petani. Tetapi kegelisahan beliau pada hari itu masih segar dalam ingatan saya. Beliau tidak berpuas hati dengan keberkesanan Kesatuan pekerja ladang masa itu. Beliau tidak bersetuju dengan pekerja hanya diberi ganti rugi berupa wang untuk meninggalkan ladang ke bandar. Beliau rasa mereka perlu diberi lebih daripada itu. Mereka perlu diberi tanah atau rumah sebagai ganti rugi. Beliau rasa persatuan pekerja ladang menggadai hak asasi pekerja ladang dengan menurut kehendak pengurusan ladang begitu sahaja. Sebenarnya beliau bukanlah orang lain tetapi datuk saya sendiri yang telah meninggal dunia dua tahun lalu.

Lebih 20 tahun sudah berlalu selepas mendengar rintihan datuk saya. Sudah sebelas tahun berlalu selepas abad yang ke-21 ini, tetapi pekerja ladang masih terpaksa melaung sekuat hati untuk gaji bulanan. Mereka diusir keluar dari ladang atas sebab pembangunan. Adakah pekerja perlu diberi rumah murah sebagai ganti rugi keluar daripada ladang? Tepuk dada tanya selera.

Selepas bekerja di ladang untuk empat generasi marilah kita berfikir sejenak kalau ada-apa usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk pekerja ladang selepas mengecapi kemerdekaan?

Polisi Perumahan Sendiri Pekerja Ladang- Abdul Razak-1973

Pada tahun 1973 Perdana Menteri Kedua, Abdul Razak telah memperkenalkan Skim Perumahan Sendiri. Di bawah skim ini, majikan sesuatu perladangan harus menyediakan perumahan sendiri untuk pekerja-pekerja mereka yang rata-ratanya hidup dalam kemiskinan.

Di bawah skim ini, tiga buah ladang telah membina rumah sendiri untuk pekerja-pekerjanya iaitu, Ladang Tennamaram-Sime Darby Sdn.Bhd (1976) Selangor- 108 rumah, Ladang Batu Pekaka, Kedah-230 rumah, Ladang Dovenby Perak-110 rumah. Melalui skim ini, pekerja-pekerja ladang tersebut telah membeli rumah dengan membayar ansuran yang sedikit untuk satu tempoh masa tertentu.

Polisi Perumahan Sendiri Pekerja Ladang - Lim Ah Lek- 1995

Pada tahun 1995, Bekas Menteri di Kementerian Sumber Manusia, Lim Ah Lek telah menyatakan bahawa pemilik ladang harus menyediakan perumahan kepada pekerja ladang kalau ladang dijual atau dimajukan. Ini kerana pekerja ladang telah berkhidmat untuk empat generasi dan mereka tidak mempunyai tempat lain untuk pergi jika rumah mereka dirobohkan. (The Star: 6/4/1995)

Justeru itu, semua Kerajaan Negeri diminta memastikan supaya pekerja ladang tidak diusir sebelum isu perumahan mereka sendiri selesai. Beberapa buah negeri seperti Negeri Selangor dan Johor mempunyai polisi memastikan pekerja ladang diberi perumahan sebelum ladang dijual manakala di negeri kelantan pula kerajaan Negeri telah memberikan lot tanah kepada para pekerja ladang.

Polisi Kerajaan Negeri Selangor

Sejak 1991 kesemua ladang di Selangor diwajibkan mengimplementasi Skim Perumahan Sendiri untuk pekerja ladang sebelum ladang dimajukan atau dijual. Adalah menjadi kewajipan pihak majikan atau pemaju ladang untuk menempatkan para penduduk ladang ke rumah tetap yang kekal sebelum sesuatu ladang itu hendak dibangunkan. Menteri Besar Muhammad Taib pada tahun 1991 telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri patut memberikan rumah alternatif kepada pekerja ladang yang telah diusir keluar daripada ladang.

Tetapi adakah ini perkara sebenar dalam realiti negara kita? Sebenarnya nasib pekerja tidaklah seperti yang digambarkan oleh ahli-ahli politik kita? Apa yang kita melihat dalam kejadian sebenar ialah pekerja-pekerja ladang diusir keluar oleh majikan tanpa menghiraukan masa depan mereka.

Artikel ini akan memberi fokus kepada masalah -masalah perumahan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja ladang di sekitar Selangor dalam kebelakangan 15 tahun ini.

1. Ladang Semenyih

Pekerja-pekerja di ladang ini telah menetap dan bekerja di ladang selama lebih daripada 50 tahun. Pengurusan ladang ini telah memberi notis pada 1 April 2004. Semasa pemberian notis seramai 16 keluarga tinggal di ladang ini. Selepas notis pemberhentian kerja ini diberi, hanya dua mesyuarat telah diadakan di antara pihak NUPW dengan Golden Hope Plantations Bhd sejak 2004 dan yang terakhir enam bulan yang lalu. Pada bulan Februari 2008, pihak majikan telah mengusahakan satu mesyuarat untuk membincangkan masalah dewan dan gereja di ladang mesyuarat tersebut tidak dapat dijalankan atas ketidakhadiran pihak gereja.

2. Ladang Glengowrie

Masih lagi 9 buah keluarga tinggal di ladang ini dan bekerja di sini lebih kurang 50 tahun. Notis untuk keluar dari ladang telah diberikan pada bulan Januari 2005 tetapi sehingga hari ini Golden Hope Plantations Bhd telah gagal untuk mengadakan apa-apa rundingan yang berjaya dengan penduduk ladang ini. Pihak majikan pada Julai 2007 telah berjanji untuk menyediakan rumah kepada kos rendah, kuil dan pampasan sebanyak RM7000 tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang perkembangan atau perundingan yang disediakan oleh pihak majikan.

3. Ladang Dunedin

Seramai 16 keluarga masih lagi tinggal di sini dan notis keluar daripada ladang belum lagi diberikan. Pekerja ladang di sini tinggal di ladang ini lebih dari 70 tahun. Pada tahun 1997, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja ladang Denudin telah menuntut pihak pengurusan mengimplimentasi Skim Perumahan Sendiri Pekerja. Pada 3 April 1997 pihak NUPW ladang telah meminta mengadakan satu rundingan mengenai janji yang dibuat oleh pihak syarikat tentang perumahan kekal. Tetapi, sehingga hari ini tidak ada apa-apa maklum balas.

4. Ladang Abaco

Pekerja di ladang ini telah menetap dan mengeruh peluh lebih 70 tahun. Masih 10 keluarga tinggal di sini dan notis keluar ladang belum diberikan. Pada 16 April 2001 apabila Samy Vellu lawat ladang ini telah menyarankan dan janji:

• Pekerja ditawarkan rumah kos rendah di projek perumahan Tasik Kesuma.
• Samy Vellu akan mendapatkan rumah kos rendah di kawasan Rinching dengan menghubungi pihak NLFCS dan menyarankan bantuan kewangan dari kementerian Perumahan dan EPF, manakala pihak majikan diminta bayar pampasan RM20,000 kepada setiap pekerja untuk pembayaran awal rumah. Seperti biasa tidak ada maklum balas tentang perkara ini hingga hari ini.

5. Ladang Bangi

Pekerja-pekerja ladang di sini telah mendapat notis keluar dari ladang pada tahun 2000. Seramai 28 keluarga masih lagi menetap di sini. Pada tahun 2001, pekerja ladang telah menang kes di mahkamah perusahaan dan majikan Golden Hope Plantations Bhd telah membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Namun mahkamah telah putuskan pampasan ex-gratia patut diberikan kepada para pekerja yang diberhentikan kerja.

Pada tahun 2007, Pejabat Daerah Kajang telah mengadakan mesyuarat dengan wakil - wakil ladang dan berjanji untuk membina sebanyak 44 buah rumah dan sebuah kuil di Bangi untuk penduduk ladang. Sehingga hari ini tidak ada apa-apa maklum balas.

6. Ladang Tumbuk

Ladang ini terletak sekitar Banting dan di bawah pengurusan Maika Holdings. Pekerja-pekerja di sini telah menetap lebih 30 tahun di sini. Notis untuk keluar telah diberikan pada tahun 2006. Notis ini telah diberi kepada pekerja-pekerja selepas ladang ini dibeli oleh pihak lain yang dikenali G-Team. Sebenarnya, semasa diberi notis ini, pihak pengurusan telah berjanji untuk membina rumah baru untuk mereka. Tetapi, selepas sahaja diambilalih oleh pihak lain, mereka diugut untuk keluar dari ladang dengan hanya wang pampasan sahaja. Pekerja di sini telah membuat laporan polis mengenai ugutan oleh pihak tertentu terhadap mereka.

7. Ladang Bukit Jalil

Sebelum diusahakan untuk pembangunan seperti Stadium Bukit Jalil, Padang Golf dan Pangsapuri mewah Ladang Bukit Jalil seluas 1800 hektar sebelum itu. Tanah yang tinggal sekarang hanyalah 26 hektar sahaja. Daripada 26 hektar itu penduduk Ladang Bukit Jalil hanya meminta 4 hektar sahaja untuk mengekalkan rumah mereka yang sedia ada. Apakah masalah untuk DBKL untuk memperuntukkan 4 hektar itu untuk pekerja-pekerja ini? Tiada siapa pun tahu.

Seperti kita ketahui, pada tahun 80-an getah dan kelapa sawitlah menjadi sumber rezeki yang utama untuk Negara kita. Keperitan dan kesungguhan pekerja-pekerja inilah yang menjadikan pengurusan ladang mendapat keuntungan yang lumayan. Tetapi, apa yang tinggal untuk pekerja-pekerja ini ialah hanya kemiskinan dan berada keadaan diusirkan dari tempat tinggal mereka.

Berikut adalah alasan-alasan yang diberi oleh pihak kerajaan untuk menidakkan peruntukkan tanah kepada pekerja-pekerja Ladang Bukit Jalil :

i. Kebanyakan penduduk ladang ini sudah pun berpindah ke pangsapuri murah yang disediakan oleh kerajaan.
ii. Agak tidak munasabah untuk memberi tanah di Kuala Lumpur.
iii. Ini bukanlah contoh yang baik.

Aruthchelvan, setiausaha PSM memberi penjelasan mengenai sebab -sebab yang tidak munasabah ini :

i. Kebanyakkan penduduk ladang ini sudah pun berpindah ke pangsapuri murah yang disediakan oleh kerajaan.

Dalam sebuah sidang pemberita, Menteri Wilayah Nong Chik telah mengakui daripada 71 penduduk Ladang Bukit Jalil yang keluar untuk berteduh di pangsapuri murah, hanya 10 orang sahaja pekerja Ladang Bukit Jalil. Selebihnya ialah penduduk setinggan sahaja. Baki 39 pekerja Ladang Bukit Jalil masih tinggal di Ladang Bukit Jalil dan berusaha keras untuk mendapatkan hak mereka.

Ini sangat mencerminkan kebenaran bahawa majoriti pekerja Ladang Bukit Jalil masih menaruh keyakinan untuk mendapatkan tanah mereka. Sebenarnya seorang Timbalan Menteri sedang mengapi-apikan masalah untuk mengecai perpaduan pekerja di sini. Timbalan menteri ini menghasut pekerja yang sudah pun keluar daripada Ladang Bukit Jalil hanya akan dapat wang pampasan, jikalau, semua pekerja keluar daripada ladang. Keadaan ini menyebabkan ketegangan dikalangan pekerja-pekerja di ladang itu.

ii. Agak tidak munasabah untuk memberi tanah di Kuala Lumpur.

Apakah tidak munasabah untuk memberikan hanya 4 hektar tanah daripada 26 hektar tanah?

iii. Ini bukanlah contoh yang baik.

Kenapa pula contoh yang tidak baik? Adakah salah memberi tanah kepada pekerja ladang untuk membina rumah? MIC meminta penduduk diberikan rumah sebagai pampasan dalam isu Kampung Buah Pala sedangkan tanah itu milik persendirian. Tetapi, tanah Ladang Bukit Jalil adalah milik kerajaan. Kenapa MIC tidak menuntut perkara yang sama dalam isu Bukit Jalil.

Dengan maklumat yang kita dapat daripada isu ini mengatakan kerajaan lebih rela memperuntukkan tanah 4 hektar ini untuk membina kubur untuk orang Islam. Kalau betullah maklumat ini, maka, saya hanya ada satu soalan sahaja untuk pihak pentadbir? Kenapa anda lebih rela menghormati hak orang yang sudah meninggal berbanding orang yang masih hidup dengan segala kesusahan dan kepayahan?

Dalam situasi ini saya mengenang tentang gula-gula yang diberi selepas menyayikan lagu "negaraku" pada hari 1 Mei dahulu. Pekerja-pekerja ladang yang sudah lama bertungkus lumus untuk membangunkan negara ini juga sentiasa diberi "gula-gula janji" oleh ahli politik kita pada setiap kali pilihanraya. Selepas 60 tahun kemerdekaan kita baru faham makna "gula-gula janji" ini. Ahli politik kita hanya akan memberi gula-gula ini untuk kesetiaan pekerja-pekerja ini bukannya segenggam tanah.

Terima kasih untuk rujukan :

1. Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML-JERIT).
2. S. Arutchelvan ( Setiausaha kehormat, PSM)
3. E. Nalini (SUARAM)

*Kertas pembentangan oleh Yuvarajan Subramaniam, BSc(Hons)(Physics,UM) dalam ceramah "Dilema dan Kebangkitan Kaum India di Malaysia" yang bertajuk "Masalah Perumahan Pekerja Ladang Di Malaysia-Kami Hanya Meminta Rumah Sahaja".

Program ini dianjurkan bersama Pusat Pembangunan Budaya Lim Lian Geok (Jawatankuasa Perhubungan Johor Bahru), Jaringan Rakyat Tertindas Negeri Johor (JERIT Johor), Persahabatan Semparuthi dan Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram Negeri Johor, bermula pada jam 2 petang, 1 Mei 2011(Ahad) di dewan kuliah Sekolah Menengah Foon Yew Johor Bahru.

Tiada ulasan: