HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Mei 2011

Soi Lek: Hak istimewa Melayu perlu dihormati




MELAKA — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini menegaskan hak istimewa kaum Melayu dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan beliau hanya memberi respons berkaitan dengan perdayaan Pakatan Rakyat.

Hari ini, Dr Chua (gambar) berkata kenyataan itu telah diambil di luar konteks memandangkan beliau menjawab satu soalan ketika sesi dialog dengan kelab peminat Facebooknya.

“Ada seorang pemuda mengatakan MCA tidak bertindak secukupnya untuk memastikan kesaksamaan dan pemansuhan hak keistimewaan orang Melayu.

“Saya mengatakan dengan mudah bahawa hak keistimewaan Melayu termaktub dalam Perlembagaan, di bawah Artikel 153 dan bagi membuang (perkara itu), anda memerlukan sokongan dua pertiga (di Parlimen) dan anda juga memerlukan perkenan Majlis Raja-raja Melayu jika pun anda mendapat kelulusan Parlimen,” katanya.

Katanya, publik telah dikelirukan oleh janji-janji harapan palsu Pakatan Rakyat.

“Saya mengatakan bahawa mereka telah diperdaya dan pembangkang hanya memberi harapan seolah-olah mereka akan membawa pemansuhan hak istimewa orang Melayu sebab anda boleh melihat setiap hari DAP bercakap mengenai kesamarataan antara kaum.

“Saya mengatakan bahawa jika mereka berani melakukannya, maka kami juga akan menyokong mereka,” katanya lagi.

“Ia harapan palsu,” kata Dr Chua lagi.

Dalam satu mesej menerusi rakaman YouTube baru-baru ini, Dr Chua berkata beliau akan menjadi orang pertama mengundi PKR jika ia sanggup memansuhkan keistimewaan orang Melayu.

PKR salah satu komponen Pakatan Rakyat.

“Jika PKR berani meminda Perlembagaan dan memansuhkan keistimewaan orang Melayu, saya adalah orang pertama akan mengangkat tangan untuk mengundi PKR,” kata presiden MCA itu.

Bagaimanapun kelmarin, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel Dr Chua sebagai seorang pengecut.

Anwar menekankan, Pakatan Rakyat akan mempertahankan setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 153 mengenai hak dan keistimewaan orang-orang Melayu.

“Chua Soi Lek mahu kita bertelagah antara satu sama lain. Anda tidak ada keberanian untuk berhadapan dengan amalan rasuah pemimpin-pemimpin Melayu.

“Pemimpin-pemimpin MCA tiada keberanian. Kami (Pakatan) akan bangun dan lawan kedua-dua pemimpin Melayu dan Cina yang berrasuah,” kata beliau.

Ketua Umum PKR ini berkata perbezaan antara BN dan Pakatan Rakyat ialah perikatannya berjuang untuk menjaga kepentingan Melayu manakala BN pula hanya melindungi kekayaan keluarga masing-masing.

Beliau menambah, sementara Umno mendakwa ia menjadi pelindung hak orang Melayu, mereka terus mengabaikan golongan miskin dan meminggirkan anggota masyarakat sendiri.

“Jangan terperangkap dengan permainan mereka. Kami akan mempertahankan peruntukan-peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: