IPOH— Kerajaan mengarahkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) agar mengkaji langkah membantu golongan berpendapatan di bawah paras RM3,000 untuk berdepan masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata keputusan itu diambil pada perbincangan Kabinet baru-baru ini, yang berpendapat satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membantu golongan tersebut.
“Sehingga kini Pemandu sedang memperincikan kajian ini untuk dirumuskan dalam satu pangkalan data menerusi sebuah makmal khusus yang ditubuhkan bagi tujuan ini,” katanya dipetik Bernama Online.
Makmal itu akan mengemukakan rumusan kajian dalam tempoh dua minggu, dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebelum diperincikan semula untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2012.
Katanya, apa yang penting, inisiatif itu akan mencapai matlamat membantu golongan sasar mengurangkan beban mereka, dan kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana Kabinet mendapati rakyat berpendapatan di bawah RM3,000 menerima kesan besar ekoran kenaikan harga barang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan