HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Ogos 2011

Kerajaan negeri didesak tidak terima pelarian

"Kewujudan pusat transit pelarian seumpama ini tidak selaras dengan strategi tersebut”, jelas Kamarul Baharin.



TELOK KEMANG: Tindakan kerajaan negeri membenarkan Port Dickson menjadi transit kepada pelarian dari Australia dilihat bertentangan dengan semangat menaikkan imej Port Dickson sebagai pusat dan destinasi pelancongan kata, Ahli Parlimen Telok Kemang, Kamarul Baharin Abbas.

“Mereka akan ditempatkan di Rumah Cycle Carri dan di Cresent Peak (bekas hotel) sebagai penempatan pelarian.

“Saya melihat situasi ini tidak memberi manfaat kepada rakyat Port Dickson daripada aspek pembangunan, keselamatan dan pelancongan. Dasar negeri tidaklah harus membenarkan Port Dickson menjadi pusat transit pelarian warga asing.

“Secara peribadi saya melihat bahawa kerajaan negeri tidak boleh menjadikan Port Dickson sebagai tempat lambakan perkara negatif kerana ini bertentangan nilai dengan salah satu daripada strategi pembangunan kerajaan negeri iaitu ‘Mempelbagaikan produk pelancongan dan memperbaiki kemudahan infrastruktur untuk menarik kedatangan pelancong serta menggalakkkan penyertaan sektor swasta dalam pelaburan pelancongan’.

“Kewujudan pusat transit pelarian seumpama ini tidak selaras dengan strategi tersebut,” jelas Kamarul Baharin.

Keselamatan penduduk

Beliau juga menyatakan kebimbangan beliau terhadap keselamatan penduduk setempat dan pelancong yang mungkin terganggu dan tergugat dengan kewujudan pusat transit pelarian ini.

“Membiarkan Telok Kemang dan Port Dickson menjadi lokasi lambakan projek-projek seperti Pembuangan Sisa Pepejal, loji-loji Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), Loji-loji Penapisan Petroleum dan juga sebagai tempat pelupusan sistem kumbahan ke laut, sudah cukup untuk mencemarkan nama pantai ini sebagai salah satu tempat pelancongan yang unggul di negara ini.

“Saya mendesak agar kerajaan negeri membuat ketetapan untuk tidak membenarkan Port Dickson menjadi pusat transit pelarian warga asing bagi menjaga imej bandar Port Dickson sebagai pusat pelancongan,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: