KUALA LUMPUR — Seorang pemimpin pusat PAS bimbang kontroversi terbaru melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ekoran serbuan ke atas gereja akan memburukkan lagi hubungan antara kaum dan agama di negara ini yang sudah pun agak “dingin”.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa (gambar) berkata, semua pihak wajar mengelak daripada membuat kenyataan provokatif mengenai isu terbaru Jais menyerbu majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utama yang didakwa kononnya bertujuan memurtadkan orang Melayu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, ia perlu bagi menghormati bulan Ramadan daripada bercakap bohong dan menimbulkan fitnah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhajid berkata, “kegagalan kerajaan menangani isu kalimah Allah tempoh hari berpotensi menimbulkan satu polemik baru pula.”
“Semua pihak turut bimbang dengan adanya pulak pihak yang ingin ambil kesempatan untuk kepentingan politik sempit mereka. Memburukkan lagi situasi ialah apabila media diperalatkan untuk menimbulkan provokasi dari kenyataan puak rasis dan fanatik agama,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini.
Malam kelmarin, kira-kira 30 anggota pihak berkuasa Jais dan polis memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya pada pukul 10 malam semasa satu majlis makan malan muhibbah diadakan.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum yang turut dihadiri 15 orang Melayu Islam.
Setelah menerima kritikan hebat, Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali menjelaskan bahawa serbuan itu dibuat kerana pihak Jais menerima maklumat ada usaha mahu memurtadkan umat Islam.
Namun sehingga kini, tidak dapat disahihkan apa bukti yang diterima pihak berkuasa terbabit.
Ekoran itu, Mujahid yang juga Pengerusi Jaringan Antara Agama Asia Tenggara turut menyeru Jais untuk memberikan penjelasan secara jujur motif tindakan mereka kerana ini melibatkan premis ibadat agama Kristian yang mesti dihormati.
“Ada beberapa isu yang perlu diberi penjelasan. Atas alasan apakah serbuan dibuat? Adakah waran dikeluarkan? Apakah sebenarnya berlaku dalam gereja tersebut?
“Kekaburan tindakan dan penjelasan yang tidak memuaskan hanya akan memberi ruang hubungan antara agama semakin meruncing dan sekali gus menimbulkan ketegangan kaum,” tambah beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan