HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Ogos 2011

Orang miskin ke gereja bukan untuk murtad

Moaz Nair, Malaysia Chronicle


Orang-orang bukan Kristian yang berkunjung ke gereja di seluruh dunia selalunya adalah wanita dan kanak-kanak yang miskin. Ramai daripada mereka begitu terdesak sehinggakan mereka sanggup meminta bantuan dari mana-mana organisasi yang boleh membantu mereka. Salah satu prinsip mulia agama Kristian adalah berorientasikan amal. Bukti anekdot dan penyelidikan sosial telah mendedahkan bahawa orang- orang Kristian hari ini bukanlah jenis menghukum atau memandang serong apabila mereka dari agama lain datang kepadanya. Bagi pihak paderi, mereka tidak akan menghina atau memperkecilkan agama lain dan tidak pula akan memaksa orang lain untuk memeluk agama Kristian. Kepada semua, mereka akan sedaya upaya membantu biarlah mereka sendiri memutuskan apa yang mereka mahu percayai.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa setiap orang Kristian yang baik dan mampu akan menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatannya kepada organisasi gereja. Mereka beriman dan percaya kepada "karma" bahawa perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang setimpal. Dengan adanya bantuan kewangan yang banyak ini, organisasi Kristian di seluruh dunia mampu untuk mengendalikan rumah untuk orang-orang tua dan anak-anak yatim, membina hospital, sekolah dan universiti, menyediakan pendidikan percuma, perlindungan dan makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin tanpa bantuan terus dari kerajaan. Ia adalah dengan peluh dan inisiatif mereka sendiri dan mereka melakukannya atas nama iman.

Terdapat banyak hospital yang dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan Kristian di Amerika Syarikat dan Eropah. Terdapat hospital Kristian di negara-negara yang kurang bernasib baik tanpa mengira kaum, kepercayaan dan agama. Perkhidmatan diberi percuma jika pesakit tidak mampu untuk membayar. Jika ada malapetaka seperti banjir, tsunami, gempa bumi atau kebuluran, pertubuhan-pertubuhan Kristian akan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa. Tanpa mengira siapa, ramai doktor-doktor Kristian dan pekerja-pekerja sosial yang membantu golongan miskin di Afrika, orang- orang miskin dan mangsa negara peperangan termasuk di negara-negara Islam. Ramai yang berkhidmat dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sanggup mengharungi kepayahan dengan meninggalkan keselesaan hidup dirumah.

Kes-kes daripada beberapa kajian

Di Malaysia - seperti di kebanyakkan negara lain – terdapat ramai golongan miskin termasuk Melayu, India dan Cina. Masalah sosial di negara ini menjejaskan semua kumpulan etnik. Selain kemiskinan, perceraian sudah menjadi satu wabak dalam masyarakat Islam dan bukan Islam. Keutuhan intitusi perkahwinan semakin goyah. Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, sebanyak 180, 172 kes perceraian dikalangan umat Islam telah dilaporkan di negara ini. Kadar perceraian di kalangan bukan Islam pula meningkat daripada 2 peratus kepada 8 peratus dalam tempoh 10 tahun sejak tahun 2000 dan juga dijangka akan mencapai angka sebanyak 7,000 kes.

Satu penyelidikan sosial menunjukkan bahawa di Malaysia,kebanyakkan kaum ibu tunggal adalah mereka yang sama ada telah kematian suami, ditinggalkan atau diceraikan. Di kawasan luar Bandar, merekaselalunya mempunyai lima anak atau lebih. Untuk meneruskan kehidupan, ada juga ibu tunggal yang terjebak dalam pemerdagangan seks. Dalam kes-kes lain, akibat tidak mampu menjaga anak-anak ditambah pula ahli keluarga yang lain, semakin ramai ibu-ibu tunggal terpaksa bergantung kepada bantuan dari kerajaan yang tidak seberapa untuk menyara keluarga mereka.

Kebebasan kewangan adalah sesuatu yang sukar untuk dikecapi oleh ibu tunggal. Mereka selalunya tiada wang simpanan. Kurang berpendidikan, mereka berkahwin pada usia yang sangat muda dan selalunya hanya bergantung sepenuhnya kepada suami mereka untuk dalam hal-hal kewangan. Apabila mereka menjadi ibu tunggal, satu beban yang berat berada pada bahu mereka. Ramai dikalangan suami, setelah bercerai tidak mahu membayar nafkah untuk anak-anak. Bergantung kepada badan-badan kebajikan atau agensi-agensi yang lain di negara ini adalah satu proses yang rumit akibat sistem birokrasi yang diamalkan.

Apabila mereka gagal untuk mendapatkan bantuan daripada bangsa mereka sendiri, saudara seagama atau saudara mara yang dekat, mereka akan pergi kepada orang-orang yang boleh membantu mereka tanpa mengira siapa diri mereka selagi dapat mencari sesuap nasi untuk anak-anak. Kajian ke atas ibu tunggal menunjukkan mereka sanggup menghadapi apa jua cabaran untuk memastikan anak-anak mereka tidak berlapar.

S. Mariamah yang tinggal di estet Mantin di Negeri Sembilan kehilangan suaminya dalam kemalangan. Mariamah telah ditinggalkan dengan 5 orang anak-anak yang masih kecil. Ibu bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 21 tahun, satu tahun selepas perkahwinannya. Beliau tidak mempunyai apa-apa simpanan. Semua anak-anaknya masih bersekolah ketika itu dan dia mempunyai hasrat untuk melihat semua anak-anaknya mendapat pendidikan yang terbaik. Tanpa ada sesiapa untuk bergantung harap, dia menghampiri sebuah gereja di bandar kira-kira 50 kilometer dari rumahnya. Pihak gereja memberi sokongan dan bantuan kewangan kepada Mariamah. Mereka juga memastikan pendidikan anak-anaknya dijaga. Hari ini kesemua anak-anaknya telah membesar dan berjaya dalam hidup. Mariamah memastikan agar semua anak-anaknya terus menderma kepada gereja untuk membantu pula mereka yang kurang bernasib baik. Tiada seorang pun anak-anak Mariamah mahupun dirinya sendiri memeluk agama Kristian. Pihak Gereja tidak memaksa mereka berbuat demikian. Tetapi, kehidupan Mariamah dan anak-anaknya telah berubah kerana sifat keprihatinan dan kemanusiaan pihak gereja.

Ditinggalkan tetapi iman masih teguh

Di Port Dickson, seorang wanita bernama Soon Kiat tinggal di kawasan setinggan berdekatan stesen kuasa TNB yang lama. Ditinggalkan suami selepas 15 tahun tinggal bersama, ia merupakan perkahwinan atas dasar cinta yang tidak berakhir dengan baik. Dia ditinggalkan dengan 6 orang anak tanpa tempat tinggal mahupun wang simpanan. Soon telah melakukan pelbagai kerja untuk menyara anak-anak, membayar sewa bilik dan membeli keperluan asas dan pendidikan untuk anak-anaknya. Bendapatan kira-kira RM200 sebulan, dia melakukan pekerjaan dan pada masa yang sama terpaksa menjaga keenam-enam orang anaknya. Seluruh ahli keluarganya seramai 7 orang tinggal di sebuah bilik kecil yang disewakan kepada mereka oleh seorang wanita Cina yang miskin. Apabila dia didiagnosis dengan barah payu dara, dia kehilangan semua harapan untuk hidup. Tuan rumah yang berbangsa Cina telah berhenti mengutip sewa dari beliau dan menawarkan pertolongan untuk membantu anak-anaknya. Dia adalah seorang Kristian yang benar-benar ikhlas membantu keluarga miskin itu. Soon Kiat mula pergi ke gereja berhampiran dengan harapan agar anak-anaknya akan dijaga oleh gereja apabila ketiadaanya kelak. Dengan nasib yang baik, beliau berjaya mendapat bantuan dari pihak gereja. Kesemua enam orang anaknya telah berjaya meneruskan pengajian mereka. Mereka yang terlibat dalam perniagaan hari ini tidak lupa kepada gereja yang telah membantu mereka di masa susah. Mereka sering menderma kepada gereja untuk memastikan bahawa mereka yang kurang bernasib baik akan dapat menjalani kehidupan seperti orang lain. Soon Kiat meninggal dunia pada tahun 1999 sebagai penganut Buddha. Kebanyakkan yang menghadiri pengebumian beliau adalah dari kalangan orang Kristian.

Terdapat satu lagi kisah sedih seorang muallaf Cina di negeri pantai timur. Kerana cinta dia meninggalkan ibu bapanya untuk memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Muslim. Selepas melahirkan tiga anak, dia ditinggalkan oleh suami. Dia dikurniakan 3 orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan. Suaminya terus ghaib dari kehidupan mereka selepas perceraian. Anak-anaknya masih kecil pada masa itu. Dia tidak kembali kepada ibu bapanya kerana malu dan dengan perasaan serba salah serta kurang pendidikan, dia terpaksa melakukan kerja-kerja biasa. Anak lelakinya yang berada di sekolah rendah, terpaksa menjual ikan di pasar pada waktu petang demi menambahi rezeki keluarga. Walau bagaimanpun, dia bernasib baik kerana anak-anaknya pintar-pintar belaka. Apabila dia mempunyai masalah untuk menyara hidup dan mendidik tiga orang anaknya, beliau telah dibantu oleh beberapa orang guru yang meminta bantuan kewangan daripada gereja tempatan untuk memastikan bahawa pendidikan kanak-kanak itu tidak terganggu dan makanan cukup untuk mereka. Kerana beliau seorang Muslim, adalah agak sensitif untuk membawa mereka ke gereja tetapi bantuan tetap disalurkan kepada keluarga melalui guru-guru tersebut. Si anak lelaki membesar menjadi seorang profesor di salah sebuah universiti tempatan. Kedua-dua anak perempuannya telah menjadi guru. Tiada seorang pun daripada mereka menerima agama Kristian sebagai agama mereka. Sehingga hari in, mereka masih lagi umat Islam.

Iman datang dari hati

Malangnya, orang-orang yang paling miskin di negara-negara miskin dan membangun adalah wanita dan kanak-kanak. Ramai daripada mereka, tiada pilihan. Mereka pergi ke gereja untuk mendapatkan bantuan. Ia tidak bermakna mereka yang terjebak ke dalam gereja dan kemudiannya dipaksa untuk menerima agama Kristian. Di Mesir misalnya, terdapat tidak kurang daripada 200,000 ibu tunggal yang papa. Mereka boleh dilihat membawa anak-anak mereka merayau-rayau di jalan-jalan. Kita melihat fenomena yang sama di hampir semua negara-negara miskin, Islam dan bukan Islam.

Jangan terlalu cepat untuk melatah apabila orang-orang Kristian sanggup membantu golongan-golongan ini. Tidak ramai orang yang mahu mengorbankan keselesaan dan wang mereka untuk membantu golongan miskin. Hari ini, terdapat banyak tokoh-tokoh agama yang duduk di atas kerusi empuk dan ber pendapatan tinggi dibayar melalui wang pembayar cukai. Mereka duduk di pejabat berhawa dingin dan lebih berminat untuk mencari kesalahan pada orang lain tetapi gagal untuk mencari punca mengapa golongan miskin terpaksa mendapatkan bantuan dari sesiapa sahaja yang sanggup membantu mereka. Mereka mesti sedar bahawa tidak banyak pelaung retorik agama yang mahu turun padang untuk membantu golongan yang memerlukan.

Akal fikiran harus diguna pakai dan kita harus menghormati mereka yang sanggup menghulurkan bantuan kepada yang miskin. Sebagaimana yang kita sedia maklum, iman datang dari hati dan bukan melalui retorik sahaja atau cuma membahaskan isu-isu sosial yang dihadapi oleh golongan miskin tetapi diri sendiri tetap enggan berganjak untuk melakukan sesuatu bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. - Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: