HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Ogos 2011

UMNO Selangor bidas sikap biadab Abdul Khalid


SHAH ALAM - UMNO Selangor membidas sikap biadab Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menggunakan nama Sultan Selangor untuk mengumumkan penubuhan majlis penasihat syura bagi menyelesaikan isu pemeriksaan gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.

Setiausaha Perhubungannya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, tindakan Menteri Besar yang kemudiannya menukarkan nama majlis penasihat syura itu kepada gerak kerja pendengaran selepas mendapat teguran baginda, tidak membawa sebarang makna kerana fungsinya tidak jelas.

''Ia hanya helah Abdul Khalid untuk mengelak daripada menangani isu sebenar iaitu kewujudan usaha memesongkan akidah umat Islam yang semakin serius di negeri ini demi menjaga kerusinya sebagai Menteri Besar.

''Majlis penasihat syura adalah majlis perundingan dan gerak kerja pendengaran pula ahli jawatankuasanya hanya duduk mendengar. Ia tidak akan menyelesaikan masalah. Sepatutnya beliau menggunakan undang-undang yang ada bagi menangani perkara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang mengulas tindakan Abdul Khalid kelmarin yang menggunakan nama Sultan Selangor dengan mengumumkan penubuhan majlis syura itu tetapi akhirnya dinafikan pihak istana semalam.

Beliau berkata, apa yang sebenarnya ingin diketahui rakyat adalah sama ada pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 atau sebaliknya.

''Hasil siasatan terhadap tindakan JAIS berhubung peristiwa itu yang perlu diumumkan seperti yang Abdul Khalid janjikan.

''Jika siasatan menunjukkan terdapat unsur ancaman terhadap akidah umat Islam, Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri beragama Islam wajib mengambil tindakan, bukan meneruskan agenda tersembunyi dengan penubuhan gerak kerja pendengaran," kata beliau.- Utusan

Tiada ulasan: