KUALA LUMPUR— Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang sebelum ini dikritik hebat dan dikenakan tuduhan bulan lalu berhubung kenyataan menyentuh peristiwa Bukit Kepong, terus berhadapan dengan kecaman 18 persatuan dan kelab bekas anggota tentera dan polis.
Dalam iklan bertemakan “Tegakkan kebenaran, wira Malaysia tidak akan dilupai”, disiarkan dalam Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, akhbar milik Umno hari ini, pemimpin persatuan dan kelab mewakili pegawai dan anggota tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, mereka membantah sekeras-kerasnya kenyataan Mohamad.
“Kami rakan seperjuangan yang terdiri daripada bekas-bekas pegawai dan anggota Tentera Diraja Malaysia membantah sekeras-kerasnya kenyataan Mohamad Sabu yang mengiktiraf Mat Indera, ketua pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 sebagai pejuang kemerdekaan.
“Kenyataan beliau ini menghina perajurit dan keluarga yang terkorban semasa menentang komunis dan boleh mengancam kedaulatan negara, agama dan perpaduan bangsa,” kata mesej 15 persatuan dan kelab anggota tentera.
Mohamad (gambar) yang turut mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” dihadapkan di mahkamah susulan siri laporan polis ke atas beliau sejak akhir Ogos lalu.
Sementara mesej di muka bersebelahan, yang dibawa oleh tiga persatuan bekas pegawai dan anggota PDRM pula berkata, “kami rakan seperjuangan yang terdiri daripada bekas-bekas pegawai dan anggota PDRM yang taat setia kepada raja dan negara serta mencintai keamanan berasa amat marah dan kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Mohamad Sabu, yang menghina pengorbanan anggota polis dalam peristiwa berdarah Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, sambil memuji pengganas komunis sebagai wira.”
Mesej itu juga berkata, kenyataan tersebut adalah dangkal dan tidak berperikemanusiaan.
“Ia telah memperlekek, menghina, mencerca, menjatuhkan maruah dan martabat warga polis yang telah terkorban atau cedera dalam mempertahankan kedaulatan negara dan institusi kepolisan,” kata presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Persatuan Pesara Pegawai Kanan Polis dan Persatuan VAT69 dalam mesej mereka.
Mohamad telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 21 September lalu berhubung tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka pada ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor.
Mohamad, 57, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu.
Beliau didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Bukit Kepong dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka pada 21 Ogos lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan