HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Oktober 2011

Politik bersih, Umno kotor!

Martin Jalleh


Kegelapan sedang menyelubungi negeri bernama Bolehland. Corak pemikiran ahli politik UMNO yang bermain politik cetek, terlalu cetek sehingga terpaksa menggunakan politik keji yang paling hina tidak pernah berlaku sekerap ini.

Umnoputra sangat terdesak. Mereka meronta-ronta kepanasan. Dr. Mahathir telah memberikan amaran “…jika pilihanraya umum diadakan sekarang, UMNO akan kalah teruk…” kerana amalan politik sempit mereka sendiri.

Pengaruh dan kekuatan mereka mula menghilang. Ada kemungkinan mereka akan dihumban keluar dari Putrajaya selepas PRU-13 nanti. Sanggup mengenepikan soal kesopanan dan kesusilaan, demi mempertahankan benteng mereka.

Mereka yang terdesak ini turut dikepalai oleh seorang Presiden yang sama terdesak, yang mana pada mesyuarat UMNO tahun lalu, riak mengumumkan ‘biar badan hancur remuk, nyawa melayang dan pembantaian kaum berlaku’ sekiranya status quo tidak dijaga.

Talam dua muka dan lidah bercabang

Yang sebenarnya, Najib agak gementar. Beliau yang talam dua muka dan bercakap bak ‘lidang bercabang’. Beliau dan parti politiknya terpaksa mencari akal untuk terus memerintah. Bagi mereka Pembangkang harus dilenyapkan dan caranya tiada batasan – sebagaimana hina sekalipun caranya.

Masih dalam dunia penuh penafian, UMNO sebenarnya telah lama muflis moral dan politik. Untuk terus memegang kuasa, populariti, jawatan-jawatan dan keistimewaan, para hulubalang UMNO telah melahirkan ahli politik yang tiada prinsip dan jatidiri.

Fitnah terbaru yang dibuat tanpa sebarang bukti sahih oleh blogger pro-UMNO ialah tentang anak remaja Lim Guan Eng, satu petunjuk jelas mereka terdesak apabila mengheret ahli keluarga pemimpin Pembangkang ke dalam gaung politik hina mereka.

Ketua Pemuda UMNO turut ikut menyebar fitnah ini dengan melontar komen dan kemudiannya mempertahankan diri sendiri dan menjustifikasi perbuatan terkutuknya – satu bukti yang UMNO memang tiada perasaan malu atau rendah diri.

Sebuah parti yang kononnya mempertahankan Islam dan nilai-nilai murninya telah mempergunakan cara yang paling jahat hanya untuk menewaskan musuh politiknya, memperlihatkan muslihat dan hipokrasi melacurkan agama.

Kejahilan, penghinaan dan…

Lemas dalam kejahilan dan penghinaan, UMNO menjadi bahan lawak dengan cerita-cerita perlakuan seksual mereka. Ini bukan sebab Pembangkang tidak boleh tumbang, tetapi kerena UMNO semakin hari menjadi semakin mengarut!

Ditambah pula dengan sebuah drama sedih-jenaka mereka sebagai jaguh orang Melayu selama 61 tahun bangga melahirkan penerbit dan pengarang professional, pembekal dan pedagang pornografi!

Skrip seterusnya yang ditulis UMNO untuk memperbaiki imej buruknya boleh diramal dan agak menyedihkan. Tidak terlalu sukar untuk menafsir atau menebak arah merbahaya mana yang mereka tujui untuk terus berkuasa:

· Menghapuskan orang yang paling merbahaya untuk UMNO – Anwar Ibrahim, dengan melancarkan serangan satu demi satu terhadap beliau antaranya kes liwat II, video seks dan menggunakan pakar bodek dan kaki kelentong.

· Merosakkan kredibiliti dan ketelusan para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dengan mengada-adakan khabar angin terus menerus sambil memperlekehkan kejayaan negeri-negeri di bawah Pembangkang…cuba memporak-perandakan integrasi gabungan itu.

· Memperlekehkan gabungan itu atas bantuan pembelot, pengkritik dan pemimpin PR yang bermasalah, mendedahkan pelbagai cerita-cerita rekaan demi menjayakan niat buruk mereka.

· Mencela, mencaci, menghina, merendah-rendah malah mengecam sesiapa yang meminggir atau mengkritik UMNO dan kerajaan serta sesiapa sahaja yang berani bergerak ke hadapan untuk satu reformasi politik tulen.

· Mengalih perhatian rakyat dari kegagalan kerajaan pimpinan UMNO yang terus menerus menggadai negara kepada kaum pemodal, menjadikan kita contoh terbaik sebuah “demokrasi penuh kepura-puraan”.

· Memesong perhatian rakyat jelata dari keringnya hasil bumi dijarah Umnoputra. Menipu rakyat dengan lakonan Najib dan slogan-slogan meraih simpati. Memutar-belit kebenaran tentang keadaan ekonomi negara.

· Pecah dan perintah negara ini menggunakan jalur perkauman dan agama, membenarkan akhbar milik UMNO menerbitkan tuduhan dan tohmahan liar tanpa bukti sahih guna menyemarakkan rasa syakwasangka dan perselisihan.

· Mengheret Raja dan kerabatnya sebagai buah catur di dalam permainan politik kotor mereka (UMNO dan Najib mempergunakan istana untuk meneruskan agenda dan kepentingan peribadi mereka).

Akhir sekali, apakah yang telah dihasilkan oleh Najib, UMNO dan Barisan Nasional setakat ini – sebuah negara yang bercerai-berai, institusi-institusi yang mereput, ekonomi yang kusut serta hutang yang menimbun, seorang Perdana Menteri yang terpalit pelbagai dakwaan salahlaku dan penghijrahan keluar rakyat Malaysia pada kadar yang merunsingkan!

Memang benar kata Tengku Razaleigh yang UMNO sudah “hilang harga diri” dan”‘cenderung mengapi-apikan perasaan perkauman sambil memperkudakan institusi-institusi awam untuk terus berkuasa. Ini adalah satu “pusaran kematian”.

Sesungguhnya UMNO telah memilih jalan untuk kehancuran diri sendiri. Ia telah menjadi satu keaiban untuk bangsa dan agamanya sendiri. Ia akan menuai niat jahatnya yang penuh dengan kekebalan hukum. Dan akhirnya akan menemui ajal seperti yang telah dijanjikan.

Martin Jalleh ialah penggiat politik terkemuka dan pembaca portal Malaysia Chronicle= - Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: