PAS bidas Umno guna platform pendidikan untuk memburukkan Pakatan Rakyat. Kementerian Pendidikan turut terkena tempias selaku penganjur.
PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan Tantawi hari ini membidas tindakan Umno yang begitu terdesak sehingga mengubah seminar guru kepada seminar memburukkan Pakatan Rakyat.
“Apakah Umno telah kehabisan ruang media mereka untuk memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat? Apakah Umno kini sangat terancam apabila menyedari rata-rata warga cerdik seperti para pendidik tidak lagi menyokong mereka?
“Atau Umno telah hilang kewarasan dan tahap profesional mereka sehingga secara langsung mengheret dan memerangkap warga pendidik dengan seminar pemantapan warga pendidik, sebalik digunakan sebagai Bengkel Pemerkasaan Umno?”, soal Nasrudin dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Menurut beliau, Seminar Pemantapan Warga Pendidikan Negeri Pahang (Zon Timur) diadakan pada 28 Sept 2011 di Hotel Vistana, Kuantan membariskan dua penceramah iaitu Profesor Datuk Dr Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa dan Timbalan Menteri Pendidikan Fuad Zarkashi berubah menjadi seminar Umno untuk membelasah PAS, PKR dan DAP.
Penceramah seminar turut menggesa para guru memberi sokongan kepada Umno dalam pilihan raya umum akan datang dan semua guru diminta mengenal pasti guru-guru lain yang disyaki menyokong pembangkang agar dipengaruh sehingga mereka menyokong Umno, dakwa Narudin.
Ekoran itu, Nasrudin turut membidas Kementerian Pendidikan yang disifatkan sebagai tidak profesional dalam menjalankan tugas, memalukan kementerian dan menyalahgunakan kuasa.
“Dewan Pemuda PAS melihat tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia bukan sahaja tidak profesional dan menyalahgunakan kuasa tetapi sungguh memalukan kementerian tersebut apabila bertindak sedemikian bodoh, membohongi warga cerdik untuk kepentingan Umno yang jelas terdesak untuk meraih sokongan dari kalangan warga pendidik.
“Dewan Pemuda PAS menganggap ini sebagai satu penyalahgunaan kuasa bahkan ia sebagai satu pengkhianatan kepada negara dan rakyat,” tegas Nasrudin.
Justeru itu beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan agar segera ‘menghentikan tindakan tidak bijak’ sebegini dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan