HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Oktober 2011

‘Tiada siapa mahu Adun Bentayan’

"Siapa nak beri 50 ekar tanah kepada Gwee? Nak dapat lima ekar pun susah," kata Ketua Umno Bakri Datuk Abdullah Mohd Ali.



PETALING JAYA: Umno Bahagian Bakri, Johor menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan Gwee Tong Hiang sambil menuduh beliau seorang pembohong dan gila publisiti murahan.

Ketua Umno Bakri Datuk Abdullah Mohd Ali berkata, tidak ada orang yang mahukan Adun Bentayan.

“Siapa nak dia? Tak kan orang BN nak dia? Siapa nak beri 50 ekar tanah kepada Gwee? Nak dapat lima ekar pun susah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Gwee bahawa beliau ditawarkan habuan lumayan jika lompat keluar DAP dan menjadi wakil rakyat bebas.

Habuan itu meliputi ganjaran sejumlah RM150,000, pemberian 50 ekar tanah, elaun tambahan melebihi RM5,000 sebulan serta skuad khas bagi membantu menyelesaikan masalah kawasan Bentayan termasuk isu majlis perbandaran dan agihan tanah.

Semua tawaran ini dijanjikan hanya jika selepas beliau bersetuju untuk keluar DAP dan mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas, serta bertanding menentang DAP dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Abdullah yang juga Adun Bukit Naning dalam Parlimen Bakri yang diwakili DAP mendakwa, Wee mempunyai masalah dengan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa.

“Jadi Gwee membuat semua dakwaan tersebut supaya orang DAP melihat beliau seorang pemimpin yang masih popular dan menjadi rebutan di kalangan parti politik termasuk di kalangan parti Barisan Nasional (BN) tetapi semua kenyataan yang dibuat itu bohong belaka,” tambah Abdullah.

Gwee, Adun penggal pertama Bentayan digantung keahlian oleh DAP selama enam bulan kerana didakwa menyalahguna dana parti.

Mengulas mengenai Dun Bentayan, Abdullah berkata, BN mempunyai peluang untuk merampas semula kerusi berkenaan dalam PRU 13.

Bagaimanapun menurutnya, BN boleh menang jika mempunyai calon yang sesuai untuk kerusi berkenaan.

Tiada ulasan: