NGO Jerit dan sekutu cadang 200 unit elektrik diberi percuma.
KUALA LUMPUR: Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan dua badan bukan kerajaan (NGO) yang lain hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri menggesa kerajaan mengkaji semula tarif bil elektrik yang membebankan pengguna oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain Jerit, dua NGO itu ialah Persatuan Kebajikan dan Pembangunan India (PKPI) dan Memacu Arus Perjuangan (MAP). Seramai 15 wakil NGO tersebut menyerahkan memorandum itu.
Penyelaras program Jerit, S Nagenteran berkata: “Sejak tarif baru diperkenalkan dalam bulan Jun, 100 unit elektrik membazir begitu saja kerana kaedah sistem tarif baru.”
Memorandum yang ditandatangani ketiga-tiga NGO di atas mencadangkan agar kerajaan memberi subsidi untuk 200 unit elektrik yang pertama dan agar kadar tarif elektrik dikurangkan ke tahap yang tidak membebankan rakyat jelata.
Berkenaan isu tarif elektrik, kumpulan NGO tersebut mewajarkan 200 unit elektrik diberi secara percuma kerana penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin meluas oleh golongan pelajar.
Sejumlah 400 kWj berikutnya dicadangkan agar dikenakan bayaran sebanyak 21.8 sen seunit untuk penggunaan domestik.
Penggunaan elektrik di antara 601 hingga 1000 kWj pula dicadangkan dikenakan bayaran sebanyak 33.4 sen seunit manakala penggunaan melebihi 1000 kWj ke atas dikenakan harga 45.4 sen seunit.
Selain itu kumpulan tersebut turut menggesa kerajaan agar memansuhkan sistem bil anggaran kerana ia tidak menunjukkan jumlah elektrik yang digunakan secara tepat.
Kerajaan turut menerima tempias kerana mengutamakan TNB dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dalam isu pemberian subsidi yang tinggi jumlahnya.
“Syarikat TNB dan empat syarikat IPP terus mengaut keuntungan, tetapi beban untuk subsidi TNB dan IPP diletakkan atas bahu rakyat!
Adakah tindakan ini wajar?,” soal Nagenteran yang menambah bahawa sokongan terhadap TNB dan IPP jelas menentang prinsip rakyat didahulukan yang dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam memorandum tersebut, kumpulan NGO tersebut turut membandingkan harga tarif elektrik negara ini dengan Thailand.
“Negara jiran kita, Thailand mengenakan caj yang lebih rendah daripada negara kita (walaupun kita pengeluar bahan bakar), tarif elektrik negara itu jauh bezanya, di antara 22% hingga 48%,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan