HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 November 2011

AGM: Antara isu boleh selamatkan Umno dan Najib sebagai PM



ANALISIS — Sejak sehari dua hari ini pemimpin-pemimpin kanana Umno cuba memberi panduan bagaimana sesuatu itu harus dibawa. Ini termasuklah nasihat bekas presiden mereka dan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antaranya mereka diingatkan jangan sampai menyinggung kaum lain.

Secara tradisi, pelbagai isu menarik dijangka menjadi topik perbahasan sepanjang tiga hari Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung minggu hadapan.

Penganalisis politik menyifatkan perhimpunan agung kali ini amat penting dalam menentukan masa depan Umno yang akan dinilai rakyat setelah menang pilihan raya pada tahun 2008. Kali ini BN mahu mandat yang baru berikutan peralihan jawatan perdana menteri dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak (gambar) dua tahun lepas.

Bagi Prof Datuk Dr. Mohamad Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perwakilan sepatutnya menyentuh mengenai sejauh mana transformasi yang diperkenalkan Najib telah diterima rakyat. Adakah konsep 1Malaysia telah difahami dengan jelas? Ini penting bagi Umno untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal tiba tidak lama lagi.

Katanya lagi, adakah Umno sudah bersedia menerima transformasi yang diperkenalkan Najib? Sejauh mana perubahan yang dibuat oleh Umno telah menyerap di kalangan ahlinya?

“Tahun lepas Najib berkata jika Umno tidak berubah, Umno akan rebah. Oleh itu adakah perubahan Umno ini diterima oleh ahli terutamanya di kalangan akar umbi,” katanya lagi.

Prof Dr. Yusof Mohamad dari Universiti Islam Antarabangsa pula berkata calon boleh menang akan dikupas oleh para perwakilan. Mereka akan menyentuh siapa yang wajar dikatakan sebagai calon boleh menang. Tidak semestinya orang muda yang boleh menang, malah calon kitar semula pun boleh diletakkan sebagai calon.

“Adakah Umno bersedia meletakkan orang luar sebagai calon jika calon itu boleh menang?Ini yang perlu diberi perhatian serius oleh para perwakilan,” katanya lagi.

Isu perpaduan orang Melayu turut menarik perhatian para perwakilan. Menurut penganalisis dari Kelantan, Dr Nik Yahya Nik Abdul Rahman, perpaduan orang Melayu macam telur di hujung tanduk.

“Saranan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) agar PAS dan Umno berpakat dalam isu tuntutan royalti minyak di Kelantan perlu dilihat sebagai satu usaha untuk merapatkan kembali saudara yang sudah lama berpisah. Ia mungkin mustahil tetapi seperti kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria demi kepentingan agama dan bangsa, apa salahnya Umno dan PAS kembali berganding bahu,” kata beliau.

Beliau juga kesal kerana ada ketua bahagian tidak menggunakan peruntukan ‘mayang’ yang diberi kepadanya untuk kepentingan parti sebaliknya digunakan untuk mempertahankan kedudukan dalam pertandingan bahagian tahun hadapan.

Bagi aktivis politik, Datuk Zahidi Zainol Abidin, isu ekonomi akan mendapat tempat di kalangan para perwakilan. Mereka perlu mencadangkan kaedah untuk meningkatkan lagi pendapatan orang Melayu terutamanya di luar bandar.

Dalam pada itu, usaha Bank Negara untuk memperketatkan pinjaman perumahan dan kereta kepada rakyat mulai 1 Januari depan akan menyusahkan lagi rakyat untuk membeli rumah dan kereta. Tentu ada perwakilan yang akan menyentuh isu ini terutamanya golongan muda yang baru bekerja lebih sukar untuk mendapat pinjaman perumahan. Apatah lagi harga rumah di bandar besar semakin mahal.

Pembentangan Bajet 2012 akan dikupas juga oleh perwakilan bagaimana Umno telah lama menjalankan kerajaan kebajikan berbanding dengan kerajaan PAS. Pelajar sekolah menerima RM100 seorang serta rakyat berpendapatan kurang dari RM3,000 akan menerima RM500.

Apa juga isu yang akan dibincangkan nanti seperti seksualiti merdeka, pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, pemansuhan ISA, akta baru perhimpunan aman akan dikupas oleh para perwakilan. Seperti kata Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, para perwakilan bebas menyentuh apa sahaja isu termasuk isu sensitif. Perwakilan sudah tentu akan menegur Hishammuddin sebagai menteri amaran yang tidak berani ambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan Bersih 2.0

Setiap tahun para perwakilan bebas membicarakan isu yang berkaitan dengan hak orang Melayu yang dianggap oleh bukan Melayu bahawa parti Umno adalah parti rasis. Seperti kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Mansor minggu lepas, bila Umno bangkitkan isu orang Melayu, Umno dianggap rasis sedangkan MCA dan MIC dalam kongres tahunan mereka turut membangkitkan isu-isu yang menyentuh tentang kepentingan kaum mereka.

“Benda yang sama dibincangkan dalam kongres MCA dan MIC tetapi oleh kerana ia tidak disiarkan secara langsung oleh Asto, orang ramai tidak tahu bahawa semua parti adalah rasis,” kata Tengku Adnan lagi.

Sejauh mana perwakilan bebas berucap dalam perhimpunan agung Umno? Adakah teks perbahasan mereka disemak oleh pucuk pimpinan terlebih dahulu? Jika disemak sudah tentu meeka tidak berani mengkritik para pemimpin. Ia terbukti tidak benar di mana pada perhimpunan agung Umno 1987 perwakilan dari Johor berani mengkritik Dr Mahathir yang berada di atas pentas. Inilah kebebasan Umno walaupun Dr Mahathir tersinggung dengan krtikan terbuka perwakilan tersebut.

Biar apa pun isu yang diperkatakan oleh para perwakilan nanti, yang penting matlamatnya sama iaitu melihat Umno terus relevan di masa hadapan. Adakah dengan teori “RAHMAN”, maka Umno akan berkubur pada pilihan raya umum akan datang dengan Najib sebagai Perdana Menteri? Ini yang menimbulkan tanda tanya kepada kita.

Tiada ulasan: