HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 November 2011

Dr M: ‘Saya tahu pandangan saya masih relevan’

THE MALAYSIAN INSIDER


Dr Mahathir mendakwa pihak-pihak yang mengkritis beliau turut menikmati manfaat DEB. — Foto fail


KUALA LUMPUR — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus popular dengan kritikan mengenai pelbagai isu semasa termasuk dasar-dasar kerajaan sejak bersara pada 2003 menegaskan bahawa pandangan beliau masih relevan walaupun ramai menganggapnya sebagai konservatif dan sudah tua.

“Dalam blog saya ada orang Melayu yang mengatakan bahawa saya ini sudah lama (tua) dan tidak relevan.

“Tapi saya tahu bahawa pandangan saya masih relevan kerana yang berkata itu jika tidak dengan pertolongan, dia tidak akan ada di situ,” kata beliau dengan menekankan pihak-pihak yang mengkritiknya sebenarnya mendapat manfaat daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970.

“Dia ada di situ kerana dia ditolong melalui DEB,” katanya lagi menjawab soalan dalam Mingguan Malaysia hari ini bahawa pendapat dan pandangannya dilihat sudah tidak lagi relevan dan terlalu konservatif.

Dalam ulasannya itu Dr Mahathir yang mempunyai blog chedet.cc berkata, “kita tidak ambil semua harta orang Cina.”

Bekas perdana menteri ini juga dilabel sebagai rasis ekoran kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini.

“Melalui dasar ini, kita bagi separuh kepada orang Melayu dan orang Cina kita bagi juga.

“Tapi orang Melayu tidak berani kata sekarang yang dulu kita bagi juga pada orang Cina,” kata Dr Mahathir.

Sejak melepaskan jawatannya lapan tahun lalu, Dr Mahathir pernah mengecam teruk penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Malah sejak kebelakangan ini beliau juga dari semasa ke semasa menyuarakan pandangan lantangnya berkenaan dasar-dasar pengganti Abdullah, Datuk Seri Najib Razak.

Baru-baru ini beliau mengesyorkan agar pentadbiran Najib mengadakan referendum berkenaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang dimansuhkan.

Dasar itu diperkenalkan oleh Dr Mahathir beberapa bulan sebelum bersara.

Dalam temu bual ini, Dr Mahathir juga berkata Umno sudah rosak dengan teruk apabila Abdullah mengambil alih kepimpinan.

“Ini kerana beliau mengutamakan keluarganya dan macam-macam lagi pertuduhan rasuah dan pelbagai lagi.

“Lepas itu orang tahu tentang penglibatan menantunya,” katanya sambil menambah, “sekarang ini Umno yang rosak ini diwarisi oleh Datuk Seri Najib untuk beliau perbaiki.”

“Umno memerlukan banyak masa supaya ia boleh diperkuatkan. Tapi beliau pun sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup.

“Pemimpin-pemimpin Umno yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru,” katanya lagi

Tiada ulasan: