HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 November 2011

Homoseksual bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

Ong Vic Kee


Peguam tidak menyetujui kenyataan dua menteri bahawa "homoseksual bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan", menyifatkannya sebagai hujah yang tidak logik, malah mengelirukan. Pengamal undang-undang ini khuatir kenyataan sedemikian dipergunakan untuk terus mendiskriminasi mereka yang mempunyai orientasi seks yang berlainan.

Ketika dihubungi MerdekaReview, bekas Presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh berkata, adalah tidak logik dan tidak masuk akal untuk menteri memetik seksyen 377 dalam Kanun Keseksaan dan mendakwa "homoseksual bercanggah dengan perlembagaan". Sementara peguam hak asasi manusia, Edmund Bon menganggap kenyataan dua orang Menteri itu mengelirukan, kerana perlembagaan merangkumi setiap bahagian dalam hidup seseorang, "include anything in human nature", dan ia tidak harus ditafsirkan secara sempit.

Homoseksual bercanggah dengan perlembagaan di Malaysia?

Dalam satu temuramah bersama Utusan Malaysia sebelum ini, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom (gambar atas), yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam berkata, homoseksual adalah bercanggahan dengan perlembagaan Malaysia dengan memetik seksyen 377 (a), (b), (c) dan (d) Kanun Keseksaan yang merujuk kepada persetubuhan di luar tabii yang melanggar kejadian semulajadi. Bagaimanapun, menurut laporan The Malaysian Insider pada 22 November, Jamil Khir Baharom mendakwa kenyataan dirinya disalah petik (misquoted), beliau tidak menyebut "homoseksual bercanggah dengan perlembagaan", sekadar menyebut "homoseksual melanggar seksyen 377 (a), (b), (c) dan (d) Kanun Keseksaan".

Selain itu, Menteri Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz (gambar kanan) yang menjaga bahagian Hal Ehwal Undang-Undang menyahut kenyataan Jamil Khir Baharom, mendakwa homoseksual bercanggahan dengan perkara ketiga dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Islam sebagai agama persekutuan. Bertitik tolak daripada itu, seandainya sesuatu tingkahlaku itu tidak konsisten dengan Islam, maka ia tidak bersesuaian untuk Malaysia, menurut Nazri Aziz.

Edmund Bon meluahkan kekecewaannya terhadap kenyataan menteri, dengan kekhuatiran ia dipergunakan sesetengah golongan untuk terus mendiskriminasi golongan yang berlainan orientasi seksnya. Beliau menegaskan bahawa perlembagaan seharusnya melindungi golongan minoriti dan golongan yang terpinggir, bukan digunakan untuk menekan mereka sebaliknya. Oleh itu, beliau menganggap kenyataan menteri tidak masuk akal (not make sense).

Merujuk kepada petikan seksyen 377 dalam Kanun Keseksaan, Edmund Bon (gambar kiri) berkata undang-undang tersebut pada hakiktnya telah menjadikan aktiviti tertutup sebagai jenayah. Beliau mengambil contoh, undang-undang sedemikian telah diumumkan sebagai bercanggah dengan perlembagaan di Singapura dan India, tetapi masih kekal dalam Kanun Keseksaan kita. Untuk pihak berkenaan, mana-mana tingkahlaku yang melanggar undang-undang adalah bercanggahan dengan perlembagaan.

Di samping itu, Yeo Yang Poh berkata, seandainya Menteri memetik seksyen 377 Kanun Keseksaan, ia bukan hanya terbatas kepada homoseksual, malah banyak lagi yang bercanggah dengan perlembagaan. "Selain sodomi, oral seks juga melanggar undang. Sudah banyak... Malah terdapat video perlakuan oral seks (bekas) Menteri, bagaimana?"

Yeo Yang Poh menganggap kenyataan menteri saling bertentangan dengan memetik seksyen 377 Kanun Keseksaan, dan kita diperlihatkan bagaimana tindakan diambil terhadap mereka yang dituduh peliwat, tetapi tiada tindakan terhadap mereka yang memperlakukan seks oral.

Secara terus-terang Yeo Yang Poh (gambar kanan) berkata, seksyen 377 Kanun Keseksaan adalah undang-undang yang sangat "ketinggalan zaman". Jikalau ia digunakan, haruslah tindakan diambil secara konsisten terhadap semua perlakuan seks di luar tabii.

Pada tahun 2008, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim dituduh di bawah Seksyen 377B, melakukan seks di luar tabii, dan perbicaraan berlangsung sehingga sekarang. Presiden MCA sekarang, Chua Soi Lek pula didapati melakukan oral seks bersama seorang wanita ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kesihatan. Rakaman video itu disebarkan, Chua Soi Lek mengakui dirinya pelaku dalam video, tetapi tidak didakwa dalam mahkamah.

Yeo Yang Poh turut menyanggah kenyataan Nazri, dan mendakwa bahawa ia tidak semestinya bercanggah dengan perlembagaan persekutuan seandainya tidak selari dengan Islam. "Kalau 'tidak selari dengan Islam' dikatakan bercanggah perlembagaan, maka adakah makan babi itu melanggar undang-undang?"

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 22 November 2011.

Tiada ulasan: