Jiwi Kathaiah
Selepas 10 bulan dan 56 surat atau memorandum diserahkan kepada kerajaan untuk menarik balik novel 'Interlok' daripada digunakan di sekolah, Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) bercadang berarak pula ke Isyana Negara.
Pengerusinya, Datuk Thasleem Mohamed berkata kumpulan itu merancang untuk mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agung, Sultan Selangor dan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan, untuk mendapatkan campur tangan diraja supaya buku teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM itu ditarik balik.
Pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, semalam, Thasleem berkata salinan petisyen itu juga akan dihantar kepada perdana menteri dan timbalannya, dan kandungannya akan diumumkan kepada orang ramai dalam masa terdekat.
Turut hadir pada sidang media itu adalah Lim Teck Ghee, yang mengetuai Pusat Inisiatif Dasar (CPI). Katanya, isu itu membabitkan semua rakyat Malaysia kerana sistem pendidikan negara melibatkan mereka dan skopnya berbilang budaya.
"Buku ini tidak layak untuk digunakan sebagai buku teks kerana ia adalah berat sebelah, bersifat rasis dan berbahaya kepada pelajar-pelajar dan masyarakat umumnya.
"Bantahan terhadap penggunaannya yang telah dibangkitkan oleh pendidik, pelajar dan lain-lain.
"Namun (semua) rayuan untuk ia ditarik balik tidak dilayan,” katanya.
"Sekarang (isu itu) ia terpaksa dibawa ke peringkat kebangsaan. Petisyen kepada Agong adalah suatu perkara yang serius dan ini usaha terakhir kita untuk mengeluarkan buku itu."
Menegaskan berulang kali bahawa isu itu bukan hanya mengenai masyarakat India, Thasleem mendakwa bahawa lebih banyak badan-badan bukan kerajaan Cina, Melayu dan Islam telah tampil untuk menyokong supaya penggunaan buku itu ditarik balik.
"Kami juga ada (sokongan) NGO dari Sabah dan Sarawak," katanya.
Petisyen berkenaan, menurutnya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi 12 November ini. Manakala kepada sultan Selangor akan dilakukan pada 19 November dan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan pada 26 November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan