Perkasa menghantar memorandum menggesa Jawi mengambil tindakan mahkamah terhadap penganjur Seskualiti Merdeka 2011.
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersedia melakukan siasatan terhadap program Seksualiti Merdeka dan akan mendakwa di Mahkamah Syariah sekiranya terdapat orang Islam yang terlibat dalam penganjuran program itu.
Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, program itu akan disiasat di bawah Seksyen 35 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) kerana menganjurkan maksiat yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
“Manakala jika terdapat orang Islam yang menyertainya, mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 25 Akta 559 bagi lelaki yang melakukan hubungan sejenis (liwat), dan Seksyen 26 Akta 559 bagi perempuan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Jawi di sini hari ini.
Beliau berkata sedemikian dalam responnya selepas Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) menghantar memorandum menggesa JAWI mengambil tindakan mahkamah terhadap penjur Seskualiti Merdeka 2011.
Perkasa dalam memorandumnya mendesak mengambil tindakan mahkamah melalui satu permohonan ‘deklarasi’ dan ‘injuksi’ bagi menyekat program ini daripada berterusan.
`Locus standi’
“Kami percaya pihak tuan sebagai satu badan yang dibentuk di bawah undang-undang bagi mengawal selia segala hal berkaitan dengan agama Islam dan orang Islam mempunyai ‘locus standi’ bagi membawa prosiding ini ke mahkamah,” katanya.
Perkasa, yang diketuai Timbalannya Datuk Rahman Bakar bersama kira-kira 30 penyokong sebelum itu mengadakan demonstrasi di luar perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat.
Sementara itu di Masjid Negeri Shah Alam kira-kira 15 NGO menyertai demonstrasi membantah program yang menyuarakan hak golongan lesbian, gay,biseksual dan transeksual (LGBT).
Antara NGO itu termasuklah Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Jaringan Islam Malaysia (JIM),Pembela,Majlis Ulama ISMA yang turut menggesa pihak polis untuk memantau aktiviti sedemikian.
Mereka turut menuntut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam meletakkan jawatan apabila gagal mendaulatkan undang-undang, malah membantu mempromosi aktiviti yang sumbang.
Kiblat barat
Presiden Perkid Masridzi Sat berkata aktiviti tersebut berkiblat barat dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh agama.
“Dulu aktiviti zina sekarang LGBT…dulu kes DUMC sekarang hal ini pula yang menyentuh hal-hal sensitif di kala umat Islam nak menyambut hari raya.
“LGBT ini dah menular, banyak remaja lakukan hubungan seks gay dan lesbian. Perkara ini dah menular. Dulu tidak dipromosi sekarang semakin giat dilakukan,”katanya.
Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti penganjur ‘Seksualiti Merdeka’ yang dijadualkan pada 9 hingga 13 November ini.
Beliau berkata polis tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka yang menyertainya malah mereka bertanggungjawab untuk mengekalkan ketenteraman awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan