Ramai dikalangan ibu bapa yang memilih untuk anak-anak mereka diajar dalam Bahasa Inggeris, dan jika diberi pilihan dan peluang mereka juga akan memilih negara-negara di mana Bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand atau Singapura. Terdapat banyak negara-negara lain dimana pendidikan adalah dalam bahasa Inggeris, seperti India,Pakistan, Bangladesh, Filipina, Afrika Selatan dan banyak lagi negara bekas jajahan British yang lain.
Mengapa Bahasa Inggeris sedangkan bahasa inggeris bukanlah bahasa ibunda rakyat? Secara linguistiknya ini bergantung kepada takrifan perkataan "anak negeri." Terdapat banyak negara di dunia di mana bahasa ibundanya lain tetapi bahasa pendidikan adalah Bahasa Inggeris seperti yang berlaku di Singapura, India dan Pakistan.
Kebanyakan pelajar universiti dari negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Pakistan, Bangladesh, Afrika Selatan, Botswana, El Salvador, Papua New Guinea, Jamaica, Kenya, Liberia, Filipina dan Rwanda yang mengambil ijazah mereka di negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris sering mendakwa bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda masing-masing .
Bahasa Inggeris adalah bahasa yang semakin meningkat popular. Disebabkan oleh monopoli ekonomi Eropah yang kuat sejak beberapa dekad lalu (ini termasuk Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Eropah yang lain), Bahasa Inggeris telahmenjadi bahasa perniagaan, perdagangan antarabangsa dan undang-undang, teknologi maklumat, sains dan komunikasi. Apabila lebih banyak negara-negara dan bangsa yang menerima pakai dan bertutur dalam Bahasa Inggeris, adalah menjadi lebih sukar untuk menentukan sama ada bahasa inggeris adalah bahasa ibunda mereka atau bahasa asli.
Tiada yang lebih penting daripada bahasa Inggeris
Di India, misalnya, pendidikan dilaksanakan dalam bahasa Inggeris dan orang ramai membaca dan menulis dalam bahasa inggeris (atau varian Bahasa Inggeris, secara linguistiknya) walaupun mereka mendakwa Hindi atau beberapa bahasa lain sebagai bahasa ibunda mereka. Kajian Linguistik menunjukkan bahawa bahasa yang paling sering digunakan adalah Bahasa Inggeris dan ia digunakan secara konsisten sedangkan bahasa ibunda mereka jarang digunakan di negara itu baik di peringkat kehidupan tertiary iaitu perniagaan, hubungan antarabangsa dan pendidikan. Malah Bahasa Inggeris juga dipilih dalam penulisan kerana mereka tidak selesa menulis dalam bahasa ibunda disebabkan tiada keperluan vokasional untuk berbuat demikian.
Kejayaan 'Dasar Pendidikan India' ini mungkin boleh disimpulkan dalam kandungan amanat Manmohan Singh,Perdana Menteri India:
"Daripada semua warisan peninggalan Rajah, tiada yang lebih penting daripada bahasa Inggeris dan sistem sekolah moden -tidak termasuk kriket! Sudah tentu, penduduk di sini tidak cam bahasa yang kita tuturkan, tetapi saya memberi jaminan bahawa ia adalah Bahasa Inggeris! Dalam mengasimilasikan Bahasa Inggeris, sebagaimana yang banyak dilakukan di negara-negara lain di dunia, kami telah mencipta bahasa kami sendiri. Pilihan kata depan kami mungkin tidak selalunya sama dengan bahasa Inggeris Permaisuri England; kadang-kadang kita mungkin ubah-suai gaya bahasa itu dan menokok tambah di sana sini. Saya pasti semua orang akan bersetuju bahawa bahasa Inggeris telah diperkayakan dengan kreativiti orang India. Lagipun kami telah berikan anda RK Narayan danSalman Rushdie. Hari ini, bahasa Inggeris di India dilihat sebagai satu lagi bahasa india”.
Menteri Pelajaran yang berpandangan jauh
Pada tahun 2008, 18 buah kolej di sebuah bandar di Pakistan telah merancang untuk membuat "Kolej Model Medium Bahasa Inggeris."Menteri Pendidikan, Shujaat Ali Beg yang berpandangan jauh pernah berkata:
"Bahasa Inggeris dituturkan di seluruh dunia, dan untuk bersaing, Pakistan perlu memperkenalkan penggunaan bahasa inggeris yang banyak dalam semua kolej. Kolej-kolej ini akan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Semua mata pelajaran di kolej, kecuali Urdu dan Islamiyat, akan diajar dalam bahasa Inggeris. Pada peringkat awal usaha ini, kerajaan telah memutuskan untuk mengisytiharkan 18 kolej menggunakan medium Bahasa Inggeris dan dengan peredaran masa, amalan ini akan digunapakai di kolej-kolej lain juga. Amalan ini akan diikuti di sekolah-sekolah kerajaan di daerah lain. Ujian penguasaan bahasa Inggeris akan diwajibkan kepada semua pelajar dan mereka yang gagal untuk melayakkan diri tidak akan dianugerahkan ijazah oleh kolej. "
Kerajaan telah memperkenalkan matapelajaran bahasa Inggeris secara berperingkat kepada semua sekolah di seluruh negara. Mengikut dasar baru ini, bahasa Inggeris diwajibkan dari Kelas-1 dan seterusnya dan, pengenalan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk sains, matematik, sains komputer dan lain-lain mata pelajaran seperti ekonomi dan geografi di semua sekolah.
Malah di Bangladesh, sistem pendidikan dibahagikan kepada tiga cabang yang berbeza. Pelajar bebas memilih sama ada - Bahasa Inggeris, Bengali atau Agama. Dalam sistem bahasa Inggeris, semua kursus diajar dalam bahasa Inggeris menggunakan buku-buku Bahasa Inggeris kecuali untuk Bengali dan Bahasa Arab.
Walau bagaimanapun, di Malaysia ia merupakan satu dasar yang berubah-ubah sejak kemerdekaan. Negara ini mempunyai sekolah-sekolah medium Inggeris sebelum dan sejak kemerdekaan dan ini telah dimansuhkan dalam lewat 60-an. Bahasa Inggeris dikembalikan dalam tahun 2003 dan digunakan untuk mengajar sains tetapi dasar itu tidak diteruskan selepas 2012. Keraguan ini menjadikan Malaysia satu-satunya negara dalam dunia pasca-perang yang tidak mempunyai visi yang jelas dalam dasar pendidikan.
Kita perlu menguasai bahasa Inggeris
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkenalkan PPSMI (Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) pada tahun 2003 mempunyai wawasan yang jelas untuk negara mengenai perkara ini tetapi ia telah gagal menjadi kenyataan selepas hanya 9 tahun pelaksanaan. Baru-baru ini, beliau telah menyebut beberapa perkara penting berhubung dengan penggunaan bahasa Inggeris untuk pengajaran sains di sekolah-sekolah, walaupun beliau telah sedar bahawa bahasa Melayu tidak dapat bersaing dengan bahasa Inggeris dalam domain sains - sungguhpun berada di tampuk pentadbiran selama 22 tahun:
"Kebanyakan ibu bapa mahu bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar sains. Apabila kita mendedahkan pelajar kepada sains dalam bahasa Inggeris, kita tidak mengajar mereka Bahasa Inggeris tetapi membuat mereka menjadi biasa dengan istilah-istilah sains dalam bahasa Inggeris dari muda. Ini akan membantu mereka di peringkat pengajian tinggi.Menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris tidak boleh di samakan dengan menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu sememangnya bukan bahasa untuk sains. Maklumat di seluruh dunia disuap kepada rakyat melalui bahasa Inggeris dan untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu kesemuanya adalah mustahil sebab terlalu banyak. Kita perlukan penterjemahan yang berkemahiran dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Apabila kita tidak mahir dalam bahasa Inggeris, penterjemahan tidak boleh dilakukan. Ironinya, orang-orang yang menentang usaha untuk menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains adalah orang-orang yang belajar sastera dan bukan sains. Untuk menimba ilmu dalam bidang sains dan menjadi berdaya saing, kita perlu menguasai bahasa Inggeris. Apabila Bahasa Inggeris tidak diendahkan rakyat kita akan menjadi kurang kompetitif dan rakyat Malaysia akan ketinggalan. "
PPSMI menelan belanja lebih daripada RM5 bilion wang rakyat dan berakhir dengan pengumuman penarik balikan dasar itu pada tahun 2012 oleh pentadbiran sekarang. Pengkritik boleh katakan bahawa beberapa negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mereka tetap miskin. Tetapi mereka gagal untuk melihat bahawa bukan bahasa yang menjadikan negara-negara tersebut miskin tetapi sistem nilai yang mereka amalkan yang telah membuat mereka tidak banyak mengecapi kemajuan. Walau bagaimanapun,adalah penting kita sedari bahawa negara-negara seperti India, Pakistan dan Filipina telah menghasilkan banyak pakar sains, intelektual dan profesional yang bekerja di serata dunia. Bahasa Inggeris telah sentiasa menjadi aset mereka. Rakyat Malaysia secara amnya tidak dapat menandingi pencapaian mereka ini.
Lupakan sahaja impian melahirkan Steve Jobs atau Bill Gates tempatan
Pengkritik juga boleh katakan bahawa negara- negara ini tidak maju walaupun menggunakan bahasa Inggeris untuk pendidikan. Tetapi negara-negara inilah juga yang telah menghasilkan banyak ekspatriat profesional, pakar-pakar IT dan saintis yang bekerja di negara-negara maju hari ini. Berapa ramai ekspatriat kita yang bekerja di luar negara berbanding rakyat dari India, Pakistan, Bangladesh,Myanmar dan Filipina? Atas sebab inilah, Hong Kong telah mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan. Cina turut menurut jejak langkah ini dan hari ini terdapat kursus-kursus dalam bidang sains yang ditawarkan dalam Bahasa Inggeris oleh universiti-universiti di Cina. Malah, Jepun, Korea Selatan dan Thailand turut memberi fokus kepada penggunaan bahasa Inggeris.
Bagi Jepun dan Korea Selatan, mereka benar-benar dalam kelas yang berbeza. Rakyat Malaysia secara amnya tidak boleh menyamakan diri mereka dengan mereka yang kreatif ini. Mereka sememangnya jenis yang inovatif. Mereka adalah pengeluar dan pencipta, manakala kita rakyat Malaysia secara umumnya adalah pengguna sahaja. Kita hanya merupakan pengguna kepada baranganyang dihasilkan oleh mereka dan kita akan kekal dengan cara ini lebih berpuluh-puluh tahun akan datang. Negara ini tidak boleh menghasilkan enjin kereta sendiri walaupun sudah mempunyai industri kereta nasional selama bertahun-tahun. Kita boleh lupakan tentang melahirkan Steve Job atau Bill Gates tempatan apabila sistem pendidikan tidak liberal dan bukan untuk rakyat dengan pelbagai bakat. Sistem pendidikan kita tidak menekankan kepada pemikiran, kreativiti dan inovasi.Ditambah pula dengan agenda politik pihak tertentu. Kita dididik dan
membesar dengan minda feudal dan untuk menerima sesuatu perkara sebagai sebahagian daripada pisikologi rakyat. Terlalu banyak ketetapan feudal dalam sistem kita yang membuat pelajar-pelajar kita sibuk dengan aktiviti pasif. Mereka tidak digalakkan untuk berfikir,menyoal atau mengkritik. Juga tidak digalakkan pembelajaran secara kritis dan kreatif. Pada masa ini kita tidak boleh menandingi orang Jepun atau Korea apabila bercakap mengenai aspek kehidupan. Kejayaan mereka tiada kena-mengena dengan bahasa yang digunakan dalam pendidikan mereka.
Kelemahan sistem pendidikan kita
70 peratus daripada apa yang kanak-kanak belajar di sekolah hari ini adalah tidak relevan dengan proses pemikiran. Mereka lebih kepada hafalan dan latihan memori untuk lulus peperiksaan dan aspek-aspek emotif dalam hidup. Kebanyakan rakyat Malaysia pergi ke sekolah dengan harapan bahawa mereka akan diambil bekerja oleh orang lain dan kerajaan hari ini telah dapat menetapkan keutamaan untuk mempunyai lebih daripada 1.3 juta rakyat bekerja sebagai penjawat awam. Itu lebih bernilai untuk sistem pendidikan di negara ini. Pelajar-pelajar yang mempunyai kepintaran dalam bidang-bidang tertentu tidak digalakkan dari muda tetapi dikehendaki untuk terus belajar subjek-subjek yang mereka tidak minati. Mereka lebih rela lepas dari sekolah-sekolah dan memasuki domain yang mereka minati. Malah, ramai dikalangan mereka yang berjaya dalam masyarakat kita adalah dikalangan mereka yang tidak tamat persekolahan.
Dengan tidak membenarkan Bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar sains di sekolah merupakan satu lagi halangan dalam sistem pendidikan kita. Pendidikan untuk rakyat bukanlah satu perkara yang boleh disandarkan ke bahu seorang sahaja untuk menentukan hala tujunya. Ahli politik harus responsif kepada permintaan daripada rakyat dan tidak harus membuat keputusan secara berat sebelah mengenai perkara ini kerana kebanyakan ibu bapa dan pelajar menganggap ia amat penting bagi masa depan mereka.Pertimbangan politik mereka tidak seharusnya mengatasi ketandusan rakyat terhadap pendidikan dalam bahasa Inggeris. Ibu bapa atau pengundi mempunyai hak untuk memutuskan apa yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Satu perkara yang perlu diambil perhatian adalah kira-kira 25 peratus daripada pelajar sekolah kita akan akhirnya meneruskan pendidikan ke peringkat tertiari dan mereka adalah orang-orang yang paling memerlukan Bahasa Inggeris. Mereka inilah yang akan pada suatu hari nanti menjadi penggerak utama dalam menentukan perniagaan, politik dan landskap ekonomi negara.
Kajian telah menunjukkan bahawa pelajar-pelajar di Malaysia tidak akan belajar bahasa Inggeris dengan serius jika ia diajar secara berasingan dengan subjek lain yang diajar dalam bahasa Melayu. Apabila Bahasa Inggeris diajar secara berasingan, didapati pelajar kurang motivasi untuk menguasainya.
Berbilion-bilion ringgit dibelanjakan untuk program-program yang mengajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran secara berasingan, seperti menggaji orang asing untuk mengajar bahasa Inggeris dan menambah lebih banyak jam untuk mengajar bahasa Inggeris tetapi ianya tidak berkesan. Cara yang berkesan untuk memahami bahasa adalah dengan menggunakan Bahasa Inggeris dalam seluruh kurikulum atau dengan menjadikan mata pelajaran lain diajar dalam bahasa Inggeris.
Ahli-ahli politik harus berhenti memutarbelitkan fakta kajian
Kajian juga telah menunjukkan bahawa 23 peratus daripada rakyat Malaysia yang terdedah dengan Bahasa Inggeris dan menggunakan bahasa itu di rumah akan menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka. Mereka memerlukan sekolah-sekolah vernakular yang sedia ada dan mahukan anak-anak mereka diajar dalam bahasa Inggeris. Menafikan mereka hak ini adalah tidak adil dan tidak demokratik. Malah, mereka mahu bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan mereka secara keseluruhannya.
Ahli-ahli politik harus berhenti memutarbelitkan fakta kajian mengenai penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar sains. Ini kerana bagi ahli akademik ia adalah satu jenayah intelektual. UNESCO, sebagai sebuah badan yang menjaga sensitiviti penduduk seluruh dunia haruslah menggalakkan penggunaan bahasa ibunda berasaskan pendekatan dwibahasa atau berbilang bahasa dalam pendidikan. UNESCO tidak secara khusus menyebut bahawa hanya penggunaan bahasa ibunda boleh menunjukkan kesan positif ke atas pembelajaran dan hasil pembelajaran. Sebabnya; banyak negara telah mengguna pakai bahasa asing dalam proses pengajaran mereka. Ia berfungsi dan ini tidak mengecualikan penggunaan bahasa Inggeris jika sebuah negara memutuskan untuk memilihnya. Dalam erti kata lain, UNESCO menegaskan bahawa pendekatan dwibahasa atau berbilang bahasa berjaya dilaksanakan di kebanyakan negara. Kajian menunjukkan bahawa ini mempunyai kesan positif ke atas pembelajaran dan hasil pembelajaran – dengan memetik senario yang berlaku di negara-negara di Eropah, India, Pakistan, Filipina, Singapura dan Hong Kong yang telah menerima pakai Bahasa Inggeris untuk menjadi medium untuk mengajar di sekolah-sekolah dan universiti.
Oleh itu berdasarkan pada premis ini, apa yang ibu bapa inginkan sekarang adalah untuk negara ini untuk memberi pelajar-pelajar pilihan untuk mempelajari sains dalam bahasa Inggeris. Keputusan untuk menentukan masa depan anak-anak tidak harus datang daripada seorang sahaja. Dasar pendidikan bukan keistimewaan untuk beberapa ahli politik. Pendidikan adalah hak asasi rakyat, dan mereka telah menyuarakan apa yang mereka inginkan untuk anak-anak mereka.
Negara tidak boleh mempunyai sesuatu bahasa ibunda
Keputusan untuk menukar kembali ke Bahasa Malaysia pengajaran sains bermula tahun 2012 telah mendapat kritikan daripada orang ramai. Ramai merasakan bahawa ia satu langkah yang terbaik dan juga menyebut kepentingan politik telah mengatasi keperluan sebenar rakyat. Bagi mereka yang menyokong langkah ini pula, hujah mereka adalah Bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda rakyat di negara ini.
Sesetengah negara mempunyai lebih daripada satu bahasa rasmi dan Bahasa Inggeris mungkin dianggap sebagai salah satu daripadanya. Persoalannya sekarang adalah benar bahasa Inggeris dituturkan sebagai bahasa asli di banyak negara yang bukan bahasa asalnya Bahasa Inggeris, termasuk Malaysia. Sesebuah negara tidak mempunyai bahasa ibunda, hanya rakyatnya yang boleh mempunyai bahasa ibunda. Orang yang berpendidikan di negara ini menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka (mereka telah terbiasa dari kecil kerana mendengarnya daripada ibu bapa mereka) tetapi ramai orang di negara ini sebenarnya mempunyai beberapa bahasa lahir lain.
Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa ibunda untuk mana-mana negara yang mempunyai manusia yang bercakap bahasa itu. Atas sebab-sebab ini Bahasa Inggeris akan menjadi bahasa ibunda yang praktikal untuk setiap negara di dunia hari ini. Hari ini tidak semua orang Melayu, Cina dan India bercakap bahasa ibunda mereka. Bahasa Inggeris digunakan secara meluas oleh kebanyakan rakyat Malaysia di rumah dan terdapat banyak yang lebih suka anak-anak mereka belajar sains - jika tidak pun semua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris.
Malah mereka lebih suka jika anak-anak mereka benar-benar diajar dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya tiada pilihan, mereka perlu menghantar anak-anak mereka di tempat lain – seperti sekolah-sekolah swasta. Atas sebab ini juga, negara telah membenarkan penubuhan sekolah antarabangsa dan ramai dikalangan ibu bapa lebih suka anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah-sekolah ini. Orang kaya juga mempunyai anak-anak mereka belajar di negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Malangnya, hanya mereka yang mampu berbuat demikian. Ramai yang bercita-cita untuk anak-anak mereka belajar dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak berpeluang melainkan jika mereka mendapat biasiswa. Tidak ramai yang bertuah sebegini.
Nampaknya, ada baiknya jika pelajar diberi pilihan untuk belajar dalam apa jua bahasa aliran yang mereka mahu. Formula politik di negara ini adalah unik dalam erti kata bahawa bahasa vernakular dibenarkan dalam sistem pendidikan.Jika penggunaan bahasa dianggap liberal, mengapa ia tidak termasuk Bahasa Inggeris?
Tidak dapat dinafikan ibu bapa akan mengkritik kerajaan kerana memansuhkan dasar yang membenarkan sains diajar dalam bahasa Inggeris. Mempolitikkan pendidikan tidak memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang. Biarlah ini menjadi satu peringatan kepada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat sebelum mereka mula menghadapi kemarahan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Pendidikan tidak harus dipolitikkan oleh kedua-dua pakatan.
Pengundi mempunyai hak untuk membantah
Di manakah kebanyakan anak-anak menteri kita belajar? Di manakah yang kaya menghantar anak-anak mereka? Di sekolah-sekolah dan universiti-universiti tempatan kebangsaan atau vernakular? Adakah anak-anak orang kaya dan terkenal dididik di sekolah-sekolah swasta dan juga di negara-negara berbahasa Inggeris? Mengapa orang-orang biasa tidak mendapat peluang ini? Mengapa ‘double standard’ berlaku di sini? Adakah kita menggalakkan lahirnya kumpulan elitis di negara ini?
Ibu bapa yang berada tersebut termasuklah menteri-menteri yang menghantar anak-anak mereka ke negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris untuk mendapat pendidikan. Banyak lagi yang lain menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta kerana mereka mempunyai kemampuan kewangan untuk berbuat demikian. Bagi mereka, pendidikan dalam bahasa Inggeris adalah pilihan yang terbaik untuk anak mereka. Bagaimana pula dengan ibu bapa kelas pertengahan dan golongan miskin yang tidak mempunyai kemampuan tetapi mempunyai keinginan supaya anak-anak mereka diajar dalam Bahasa Inggeris? Mereka adalah orang-orang yang akan kecewa dengan dasar pendidikan ini. Akhir kata, pengundi-pengundi di negara ini pasti mempunyai hak untuk membantah.Malaysia Chronicle
Tiada ulasan:
Catat Ulasan