HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 November 2011

NGO pro Umno bidas DAP mahu kurangkan pegawai kerajaan

"Politik ugutan oleh DAP kepada kakitangan awam ini memang menjelaskan lagi realiti pakatan pembangkang jika mendapat kuasa untuk memerintah," kata Hamidzun Khairuddin.



PETALING JAYA: Gabungan Anti – Penyelewengan Selangor (GAPS) membidas kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya (Utara) yang mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam.

Tiga hari lepas Tony Pua dilaporkan media sebagai berkata bahawa Pakatan Rakyat akan mengurangkan kakitangan secara berperingkat setiap tahun sekiranya Pakatan diberikan mandat untuk membentuk kerajaan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Presiden GAPS, Hamidzun Kharuddin berkata: “GAPS ingin menempelak hasrat pakatan pembangkang yang rakus, zalim dan tidak berperi kemanusian terhadap perkhidmatan awam sekarang dan pada masa akan datang.

“Negara tidak memerlukan politikus yang hanya berupaya membaiki labu atau menjadi monyet yang mendapat cincin.”

Beliau turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai politik ugutan DAP yang perlu ditolak rakyat.

Politikus chauvanis

“Politik ugutan oleh DAP kepada kakitangan awam ini memang menjelaskan lagi realiti pakatan pembangkang jika mendapat kuasa untuk memerintah.

“Itu sebabnya untuk sekian kalinya kakitangan awam dan rakyat akan menolak dalam PRU 13 kumpulan politikus chauvanis yang semakin mabuk mahu mendapatkan kuasa, yang jika terpilih akan menzalimi rakyat dalam setiap dasar yang mereka bentuk,” kata Hamidzun.

Justeru itu, Hamidzun berkata jentera perkhidmatan awam dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Surahanjaya Perkhidmatan Negeri perlu dibiarkan bebas dan profesional.

“GAPS akan mendokong penuh dan mempertahankan pentadbiran awam yang profesional, berintegriti, cekap dan bebas dari pengaruh politik.”

Beliau turut mengambil kesempatan membidas pentadbiran negeri Selangor yang dikatakan campur tangan dan menghalang pelantikan Setiausaha Kerajaan negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi pada tahun lepas.

Tiada ulasan: