Tony Pua berkata ia digantikan dengan sistem persaingan jika Pakatan Rakyat memerintah selepas pilihan raya umum akan datang (PRU13).
AMPANG: Dasar sistem monopoli yang diamalkan pemerintahan Umno-BN dikenal pasti sebagai antara punca harga barang tidak menentu dan semakin meningkat, kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata beberapa sektor ekonomi yang dimonopoli kroni Umno-BN seperti pembekalan elektrik dan beras mengaut keuntungan berlipat kali ganda apabila berkuasa menentukan harga barang, namun dalam masa yang sama menikmati pemberian subsidi oleh kerajaan.
“Bayangkan jika sistem barangan cukai dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan, rakyat yang rata-ratanya berpendapatan sederhana dan
ke bawah akan lebih merana,” katanya dalam perbincangan meja bulat GST dan Inflasi di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini malam tadi.
Beliau merujuk kepada satu-satunya pengimport dan pengedar beras, syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang dulunya milik kerajaan tetapi kini dikuasai syarikat swasta yang juga kroni Umno, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Begitu juga industri bekalan elektrik yang dimonopoli pihak Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), antaranya TNB Janamanjung di Perak, Genting Sanyen Power Sdn Bhd, Port Dickson Power Bhd dan Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd yang mengaut keuntungan melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).
Oleh itu, Pua berkata sistem monopoli sebegini akan dihapuskan dan digantikan dengan sistem persaingan jika Pakatan Rakyat memerintah selepas pilihan raya umum akan datang (PRU13).
Tender terbuka
Katanya, melalui tender terbuka harga barang mampu dikawal dan lebihan wang itu nanti boleh dikembalikan kepada rakyat atau digunakan untuk perbelanjaan lain.
“Dasar Pakatan ialah akan mengadakan tender terbuka dengan dengan mana-mana syarikat yang akan mampu menurunkan harga beras akan diberi untuk menguruskan beras di negara ini dan lebihan wang dari sistem ini akan dikembalikan kepada rakyat dan boleh diguna pula untuk perbelanjaan lain.
“Ini caranya Pakatan turunkan harga barang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata sistem GST tidak adil kerana cukai empat peratus itu hanya menjejaskan dalam
peratusan kecil rakyat bergaji tinggi manakala pendapatan boleh guna rakyat semakin berkurang.
“Kerajaan mendakwa GST terpaksa dilaksanakan untuk mendapatkan wang tambahan dalam perbelanjaan.
“Hakikatnya perbelanjaan kerajaan boleh ditambah dengan mensifarkan rasuah, tiris, dan bocor dalam pentadbirannya.
Kempen anti GST
“Sampai kiamat pun, selagi pendapatan rakyat kekal rendah kita tidak akan laksanakan GST,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu kempen anti-GST ini dipergiatkan disetiap peringkat dan disampaikan dalam bahasa yang paling mudah supaya rakyat setiap lapisan mampu memahaminya.
Katanya, Pakatan melalui pasukan petugas pemantau GST (Anti-GST Task Force) sudah mula turun padang dan akan memberi penerangan di 21 tempat seluruh negeri sebelum PRU13.
Turut dalam perbincangan itu Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Parlimen dijangka mendengar bacaan kali kedua rang undang-undang GST pada Mac tahun depan, dan akan akan dilaksanakan 18 bulan selepas itu.
Kerajaan menjangka peroleh tambahan sebanyak RM1 bilion setahun selepas setahun perlaksanaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan