HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 November 2011

Pemuda PAS dakwa MAS punca tanah Melayu Kg Baru terlepas

"Justeru, kami mendesak agar MAS kembali kepada perjuangan asal bagi memastikan jawatankuasanya lebih proaktif dan menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ penduduk Kampung Baru," kata Mohd Shahir Abu Hassan.



PETALING JAYA: Pemuda PAS Titiwangsa mendakwa Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) gagal membela pemilik tanah Kampung Baru sehingga tanah terlepas ke tangan orang lain.

MAS sejak akhir-akhir ini tidak memainkan peranan dalam membela tanah orang Melayu di kampung warisan tersebut, kata timbalan ketuanya Mohd Shahir Abu Hassan.

Beliau mahu MAS berperanan sama seperti Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB).

“Kami merasa sedih kerana sejak ura-ura Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru hendak dibentangkan dalam bacaan kali pertama tahun 2010, sehinggalah ia dibentang dan diluluskan di Parlimen bulan Oktober 2011, MAS tidak langsung membantah isu ini, bahkan menyokongnya pula.

“Lebih memeranjatkan apabila MAS turut ‘bersubahat’ dengan cuba menafikan peranan Menteri besar Selangor dan Kerajaan Selangor untuk membantu menyelamatkan hak penduduk Kampung Baru.

“Sepatutnya MAS berterima kasih kerana keprihatinan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang cuba sedaya upaya memastikan Kampung Baru dimiliki oleh penduduk asalnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

SPKB lebih lantang

Sebaliknya SPKB yang diterajui oleh Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi pula bangkit membela nasib penduduk Kampung Baru.

Rakyat, tambah beliau khususnya penduduk Kampung Baru melihat SPKB lebih berperanan aktif dan lantang dalam memastikan isu Kampung Baru diperjuangkan sebaiknya.

Dalam hal ini, kata Mohd Shahir Pemuda PAS mengingatkan MAS, jangan sampai rakyat melupai jasa dan sejarah panjang MAS sehingga menjadi bahan cemuhan malah sebaliknya mengangkat saudara Ahmad Zamri dan SPKB sebagai ikon baru Kampung Baru.

“Justeru, kami mendesak agar MAS kembali kepada perjuangan asal bagi memastikan jawatankuasanya lebih proaktif dan menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ penduduk Kampung Baru,” kata beliau.

Pemuda PAS Titiwangsa meminta agar setiap rancangan atau cadangan pembangunan Kampung Baru dibincangkan dahulu dengan penduduk Kampung Baru dan dapatkan persetujuan mereka, dan tidak dibuat secara melulu.

Selain itu mengharapkan MAS akan mengutamakan kepentingan penduduk lebih daripada menuruti nafsu sesetengah pihak yang gelojoh mahu meratah tanah ‘emas’ warisan orang Melayu itu.

Tiada ulasan: