HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 November 2011

Penulis perlu bawa suara rakyat

Oleh Abd Shukur Harun


DALAM suasana kritikal sekarang, di mana jurang miskin kaya demikian meluas, keadilan menjauh dan wujudnya suasana politik yang tidak bersifat manusiawi; kehadiran para penulis yang memperjuangkan aspirasi rakyat semakin diperlukan.

Inilah masanya sangat perlu wujud penulis/sasterawan seperti A Samad Said (Pak Samad), Almarhum Azizi Abdullah dan Almarhum Usman Awang yang menyambung perjuangan Sasterawan Angkatan Sasterawan ’50 dulu yang dipelopori oleh Pak Samad, Kris Mas, Usman dan sebagainya

DALAM suasana kritikal sekarang, di mana jurang miskin kaya demikian meluas, keadilan menjauh dan wujudnya suasana politik yang tidak bersifat manusiawi; kehadiran para penulis yang memperjuangkan aspirasi rakyat semakin diperlukan.

Inilah masanya sangat perlu wujud penulis/sasterawan seperti A Samad Said (Pak Samad), Almarhum Azizi Abdullah dan Almarhum Usman Awang yang menyambung perjuangan Sasterawan Angkatan Sasterawan ’50 dulu yang dipelopori oleh Pak Samad, Kris Mas, Usman dan sebagainya.

Suasana tahun-tahun 50-an dan 60-an memang sangat jauh bezanya berbanding masa kini.

Dulu belum dibangunkan tanah rancangan, lebuh raya belum wujud, bangunan pencakar langit belum memagari kota dan kereta api ringan (LRT) jauh sekali. Tetapi kini semuanya sudah wujud di depan mata.

Ini adalah perbezaan fizikal yang nyata, namun nun jauh di sana jurang miskin kaya semakin meluas, malah menakutkan.

Golongan elit di kawasan mewah yang semakin membesar di bandar-bandar ternama, berbanding dengan penghuni desa terpencil, perkampungan nelayan yang dibelit kemiskinan serta flet-flet murah yang padat isinya yang dihuni oleh golongan berpendapatan rendah adalah manifestasi bahawa jurang kaya miskin semakin ketara.

Di sinilah para penulis yang mampu mengenengahkan suara rakyat sangat diperlukan, sama dengan suasana yang menyebabkan wujudnya Sasterawan Angkatan 50, justeru keperluannya sama dan aspirasinya sama.

Baru-baru ini teman-teman penulis daripada Seniman Paksi Rakyat – Pak Samad, Dinsman, Hasni Abad, Bara Jiwa, Cikgu Azmi Hamid dan yang lain – telah mengadakan pertemuan sederhana di ‘Warung Rakyat’, berdekatan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengenang pemergian Sasterawan Rakyat Almarhum Azizi Abdullah.

Saya terharu bahawa dalam suasana yang sedemikian rupa, masih wujud para penulis yang sangat prihatin dengan hal-hal yang melingkari perjuangan membela rakyat seperti yang pernah dirakamkan dalam karya Almarhum Azizi selama ini.

Ternyata masih wujud sekelompok penulis yang sangat sedar akan ketidakadilan dalam pelbagai bentuk dan wajah yang berlaku sekarang. Ini mengingatkan saya kepada apa yang ditulis oleh sasterawan/ wartawan Indonesia, Mochtar Lubis dalam novelnya Senja Di Jakarta.

Beliau menceritakan dalam novelnya itu bagaimana dalam kekalutan politik korupsi dan ekonomi serta kepimpinan Indonesia yang kalut pada pertengahan tahun 70-an, telah berkumpul sejumlah intelektual, sasterawan dan agamawan untuk membincangkan perihal nasib rakyat Indonesia yang kebanyakannya miskin. Dalam masa yang sama elit politik menimbunkan kekayaan untuk diri sendiri.

Kepincangan dan ketidakadilan dalam masyarkat Indonesia pada waktu itu sangat menggugah hati sekumpulan intelektual, sasterawan dan agamawan.

Kewujudan kumpulan ini, walaupun kecil jumlahnya, ternyata amat berkesan kerana ia menjadi suatu force (kekuatan) yang berpengaruh.

Demikian yang dirakamkan oleh sasterawan/wartawan Muchtar Lubis dalam novelnya itu.

Dalam hubungan inilah saya memikirkan bahawa para penulis, atau sasterawan tidak wajar hidup dalam sebuah bayangan dan terapung-apung dalam khayalan intelektual yang akhirnya terhempas di lembah kekeliruan, tetapi dia mesti menjadi sasterawan yang benar-benar berjejak di bumi nyata, berada di tengah realiti mayarakat dan sekali gus menjadi jurubicara mereka.

Penulis tidak sewajarnya sentiasa berlindung di bawah payung kekuasaan untuk mengelak daripada di bakar matahari, tetapi penulis mesti berdiri sendiri untuk bersama rakyat di tengah-tengah panas matahari.

Pada pendapat saya sudah sampailah masanya, para penulis kini muncul sebagai pembela rakyat melalui karyakarya mereka, seperti apa yang dilakukan oleh penulis-penulis ulung masa lalu – Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam dan kemudian dilanjutkan oleh Shahnon Ahmad, Pak Samad dan ramai lagi.

Para penulis mesti prihatin dengan suasana yang kalut sekarang baik di bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Dia tidak boleh lagi berada di pinggiran, menyaksilkan dengan pasif kebejatan moral, politik dan sebagai yang berlaku sekarang.

Justeru, jika ada sasterawan atau seniman yang memisahkan diri daripada pemikiran politik (bukan politik kepartaian), maka ia bukan sasterawan sejati, bahkan sangat keliru dan naif. Penulis seperti ini bukan jurubicara zaman dan masyarakatnya. Ia hanya penulis yang kakinya tidak berjejak ke bumi dan terawang-awang, individualistik, penuh khayal dan terpisah jauh daripada masyarakatnya.

Sasterawan itu tidak semestinya menjadi aktivis sesuatu parti politik tertentu, tetapi memadai jika ia memberi perhatian kepada perkembangan politik secara umum, justeru kerana politik adalah manifestasi hal-hal yang bergolak di dalam masyarakat. Namun begitu adalah menjadi haknya jika ia mendukung sesuatu parti politik, apalagi jika falsafah perjuangan sesuatu parti politik yang didukungnya itu sehaluan dengan bisikan hati nuraninya sebagai penulis.

Umpamanya, sebagai penulis dia memperjuangkan kemanusiaan, keadilan, hak asasi manusia, golongan tertindas, menentang kezaliman dan penyewengan dan sebagainya.

Oleh itu, jika dia mendapati sesuatu parti politik itu mempunyai wadah perjuangan yang sama dengan bisikan hati nuraninya, maka menjadi haknya untuk menyokong sesuatu parti tersebut.

Di sini saya melihat temanteman di dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sudah mulai memberikan perhatian kepada persoalan yang saya bangkitkan di atas, bedasarkan program yang mereka laksanakan selama ini.

Walaupun Paksi ini hanya kumpulan kecil dan baru beberapa tahun diwujudkan oleh penulis yang sangat sedar akan tanggungjawab mereka, ia sudah menebarkan suatu kemungkinan yang sangat besar untuk memimpin sebuah gerakan penulis rakyat yang amat sedar akan tanggungjawab mereka.

Dalam hal ini hendaknya jangan ada sebarang kebimbambangan bahawa karya yang demikian rupa akan berkompromi dengan nilai-nilai estetika yang perlu ada dalam sesebuah karya.

Saya percaya, hal ini tidak akan terjadi di tangan karyawan bermutu tinggi.

Tiada ulasan: