KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Abdul Rahman Yusoff berkata, banyak keraguan dan kemusykilan dalam pembinaan Projek Lebuhraya Jabor ke Kuala Terengganu.
Abdul Rahman berkata, Projek yang merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pantai Timur – 2 (LPT-2) itu dijanjikan kepada rakyat Terengganu menjelang pilihan raya umum 2004.
Projek itu yang mula dibina pada 2007 dan sepatutnya siap pada tahun lalu, kini melonjak sebanyak hampir RM5 bilion.
Menurutnya, lebuh raya itu dibiayai melalui dana khas menggunakan wang royalti dan hanya sebahagian kecil pengurusan dibayar Kerajaan Pusat.
“Ini bermakna hampir keseluruhan pembinaan LPT-2 dibiayai wang rakyat Terengganu. (Namun) setelah siap projek ini akan diserah kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan tidak (kepada) Kerajaan Negeri Terengganu.
“Negeri Terenganu sedia tanah dan menanggung kos pembinaannya tetapi tidak akan memiliki lebuhraya ini. (Jadi) siapa yang akan mengendalikan dan perolehi hasil kutipan tol ini?,” soal beliau.
Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pembinaan Lebuhraya Jabor yang menelan kos tinggi sehingga melebihi RM2 bilion daripada kos asal.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut mempersoalkan pembinaan Jambatan Sungai Bagus yang dibina di atas daratan dan memerlukan tambahan RM70 juta dari RM174 juta kos asal.
“Kenapa perkara sebegini boleh berlaku? Siapa yang cuai? Konsultant? Kontraktor? Atau Kementerian Kewangan? Soalnya sambil meminta Jabatan Audit dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat perkara itu.
Beliau turut mempersoalkan pakej 8 projek berkenaan di mana Kontraktor asal telah menyerahkan kontrak kepada JKR kerana menghadapi masalah untuk menyiapkan pakej tersebut.
Namun apa yang mengejutkan katanya, selepas ditender semula, kontraktor sama yang merupakan AJK Umno Bahagian Ulu Terengganu, berjaya memperolehi pakej itu semula dengan harga lumayan.
Selain itu Rahman turut mempersoalkan pembinaan Pakej 5A yang berbahaya kerana permukaan tanah yang tidak diselenggara mengikut spesifikasi.
“(Namun) tidak ada halangan dan larangan dari JKR dan bayaran dibuat mengikut jadual kerja,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan