KUALA LUMPUR — Kerajaan wajar mempertahankan hak untuk mengadakan sesuatu aktiviti secara aman termasuk program Seksualiti Merdeka selain mengecam segala bentuk diskriminasi dan ancaman bunuh atas nama agama atau sistem kepercayaan, kata penganjur festival itu hari ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, dua hari selepas ia diharamkan oleh polis, penganjur program tersebut juga menekankan pihak berkuasa seharusnya membela hak asasi komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan hak seksual sebagai hak asasi manusia.
“Dengan jelas ini yang dimaksudkan dengan demokrasi,” kata penganjur.
Kenyataan itu menambah, perasaan membenci dan kejahilan yang dipamerkan “ke arah kami dan gesaan agar kami dihalang (daripada mengadakan aktiviti) menunjukkan sebab mengapa kita memerlukan satu ruang dan acara seperti Seksualiti Merdeka.”
Malah menurut kenyataan itu, pengharaman sama sekali ke atas program Seksualiti Merdeka tahun ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana telah menganjurkannya sejak beberapa tahun lalu.
Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pihkanya mengharamkan sebarang majlis yang dilakukan mana-mana penganjur berkaitan dengan program Seksualiti Merdeka demi ketenteraman awam.
Kata beliau, polis telah mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran program itu termasuk Datuk S. Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.
Seksualiti Merdeka 2011, program yang bermula Selasa lalu dan sepatutnya berlarutan sehingga 13 November ini, antara lain membincangkan hak sama rata untuk golongan homoseksual dan transeksual seperti gay, lesbian, biseksual, interseks serta transgender.
Khalid berkata dua laporan polis telah diterima setakat ini yang meminta polis mengambil tindakan terhadap penganjur kerana cuba menganjurkan program yang menganggu gugat ketenteraman awam.
Sehubungan itu, kenyataan hari ini menyebut, demi keselamatan pada peserta penganjur Seksualiti Merdeka tidak akan meneruskan program, tetapi berhasrat mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk menjelaskan objektif program Seksualiti Merdeka.
“Kami juga ingin melahirkan rasa kesal kerana Datuk Ambiga Sreenevasan yang peranannya hanya untuk merasmikan (program Seksualiti Merdeka) atas kapasiti peribadi beliau, telah difitnah oleh pihak yang agresif dan ganas menentang perlindungan, menghormati, menggalakkan dan memenuhi hak asasi komuniti LGBT di Malaysia,” katanya lagi.
Penganjur Seksualiti Merdeka juga berkata pihaknya kekal berkomited untuk mewujudkan persektaran yang boleh membantu mengurangkan situasi permusuhan yang tidak munasabah seperti menghasut ketakutan dan paranoia, yang wujud akibat kurangnya kefahaman mengenai isu-isu seksualiti.
Kenyataan itu menambah, pihaknya juga sedih kerana ramai rakyat Malaysia termasuk wakil rakyat-wakil rakyat secara terus-menerus menganiaya dan mendiskriminasi mereka yang menemui “ruang yang selamat” untuk berdialog dan berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai hak asasi manusia ketika program Seksualiti Merdeka.
“Kami adalah rakyat Malaysia yang dinafikan hak kami kepada identiti dan determinasi diri,” kata penganjur dalam kenyataan mereka sambil menambah, dakwaan-dakwaan tidak berasas dan kenyataan-kenyataan bersifat tidak sihat bagi menghasut kebencian ke atas pihaknya adalah tidak berasas sama sekali.
“Mereka terus meminggirkan satu kumpulan yang telah lama mengalami peminggiran dalam masyarakat,” tambah kenyataan itu.- Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan