HALAMAN SANTAI
Khamis, 27 Jun 2013
Putrajaya boleh tarik diri daripada perjanjian TPPA, kata Mustapa
Putrajaya boleh menarik diri daripada menyertai Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) pada bila-bila masa sekiranya tidak bersetuju dengan hasil rundingan tersebut, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar).
Mustapa ketika sesi perbahasan di Parlimen hari ini menegaskan Malaysia tidak dipaksa dalam menyertai sebarang rundingan dan bebas untuk keluar daripada rundingan TPPA yang kini merangkumi 12 negara dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat.
"Kita tak dipaksa ... kita masuk rundingan atas kehendak kita, kalau Malaysia tak setuju Malaysia boleh tarik diri, kalau tak setuju maka tak jalan," kata Mustapa.
Disebabkan perkara itu, ahli Parlimen Jerai itu menegaskan perbincangan berhubung TPPA itu dibawa ke Parlimen untuk diperbincangkan antara pemimpin wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
"Sebab itu kerajaan mahu ia dibahaskan dan dipersetujui di Parlimen, dengan konsultansi perbahasan di Parlimen, input yang dikumpul memadai demi menjaga kepentingan negara," katanya, yang menolak penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji TPPA berkenaan.
Mustapa juga menjelaskan, Malaysia akan memastikan perunding tidak akan membebankan hak negara menentukan halatuju sendiri.
"Rundingan telah berlangsung sebanyak 17 pusingan sejak Mac 2010 ... Kita ada melakukan kajiam impak sebelum sebarang keputusan menyertai perjanjian dilakukan," katanya.
"Sebelum keputusan sertai rundingan, analisis prospek dilakukan, ia dilakukan bergantung atas keperluan semasa," tambahnya.
Pemimpin pembangkang sebelum ini telah membangkitkan persoalan terhadap beberapa isu dalam TPPA yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia memandangkan perjanjian tersebut tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.
Malah, mereka juga telah membangkitkan agar PSC dibentuk bagi tujuan itu.
"Memang ada yang tidak setuju, kita tahu ada kos setiap tindakan kita, bagi kerajaan yang penting, adalah yang baik jauh lebih banyak daripada buruk," kata Mustapa.
"Perbahasan dalam Parlimen, perjumpaan, sudah memadai," kata Mustapa menjelaskan perkara itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan