KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Kanak-kanak istimewa yang mengalami kecatatan Cerebral Palsy (CP) berhak mendapat pendidikan seperti kanak-kanak yang lain, kata Naib Pengerusi NGO Pertubuhan Anak Cerebral Palsy (Hope2Walk), Mohamad Affandi Ramli.
Menurutnya, di Malaysia tiada sekolah khas bantuan penuh kerajaan untuk anak-anak CP yang dikategori sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) terlantar.
Katanya, ia berbeza di negara Scandinavia seperti Sweden, Norway, Denmark dan Findland, selain United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia, yang menyediakan sekolah khas percuma bagi kanak-kanak berkenaan.
Kemudahan tersebut tambahnya, lengkap dengan sukatan pelajaran dan kaedah sistematik beserta tenaga pengajar serta pembantu terlatih.
“Bayangkan anak-anak yang tidak mampu menguruskan diri ini dijemput dengan kenderaan, diberikan tumpuan penuh oleh guru dan pembantu di mana nisbahnya setiap seorang anak OKU diberikan seorang guru dan seorang pembantu dan pulang ke rumah dihantar.
“Ibu bapa jika pun tidak diberi elaun masih boleh bekerja seperti ibu bapa yang lain,” ujarnya dalam memorandum yang diserah kepada beberapa kementerian sempena Hari Cerebral Palsy Sedunia di parlimen semalam.
Memorandum tersebut disampaikan kepada Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, ahli parlimen dan Ketua Pembangkang Malaysia.
Bapa kepada Annur, 10 yang turut mengalami kecacatan CP itu berkata, disebabkan tiada pendidikan dan latihan khas, ramai kalangan kanak-kanak tersebut meninggal dunia kerana kualiti kesihatan yang merosot.
Ini disebabkan penyakit seperti kekejangan sendi, tulang belakang membengkok, gangguan saraf hingga diserang sawan berbahaya dan jangkitan kuman terhadap paru-paru dan orak.
“Amatlah kejam apabila anak-anak CP terus dinafikan hak mendapat pendidikan seperti kanak-kanak yang lain. Anak-anak CP di dalam kecemasan dan sangat memerlukan pembelaan segera. Mahukah kita melihat Malaysia menjadi sebuah negara pembunuh nombor satu bagi kanak-kanak CP?,” ujarnya.
Dianggarkan seramai 17 juta penduduk dunia mengalami kecacatan CP atau kelumpuhan otak. Di Australia kajian menunjukkan setiap seribu kelahiran, terdapat dua kanak-kanak mengalami kecatatan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan