| Syed Abdullah Syed Osman, |
|
Lapuran Audit Negara mengemparkan banyak pihak termasuk kakitangan awam itu sendiri. Hal ini kerana ketirisan perbelanjaan, boros dan membazir serta tidak pandai menguruskan peruntukan dan mengambil sambil lewa segala amanah yang dipertanggungjawabkan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di Kementerian dan Jabatan kerajaan yang dianggap telus, cekap dan amanah serta mematuhi segala prosedur dan Perintah Am yang ditetapkan. Kini telah terbongkar diatas kelemahan mereka yang terlibat itu.
Pihak Kementerian dan Jabatan Kerajaan sepatutnya berterima kasih serta sikap terbuka kepada Ketua Audit Negara kerana mendedahkan kelemahannya dan memberikan kesedaran supaya pada tahun-tahun yang mendatang tidak akan berlaku perkara sebegini lagi dan bukannya membuat alasan dan komen yang kadangkala mengelirukan serta kurang bijak itu.
Pada saya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu meningkatkan lagi prestasinya dan mengubah sikap serta mendisiplin kakitangan awam dibawah perkhidmatannya dari masa kesemasa dan jangan hanya mengeluarkan arahan dan surat pekeliling itu dan ini tetapi membiarkan ianya berlalu dan berlaku begitu sahaja tanpa ada pantauan yang khusus terhadap segala apa juga arahan yang diberikan itu.
Sikap acuh tidak acuh Ketua Jabatan yang kadangkala bukan mempunyai berlatarbelakangkan kelulusan yang berkaitan dengan jawatan yang disandangnya adalah salah satu sebab dan punca mengapa pentadbiran kita ini lemah kerana dari segi profesionalismanya atau asas untuk mentadbir disesuatu jabatan yang perlukan pakar didalam bidang-bidang tertentu itu digantikan dengan mereka yang kurang arif dan bukan dari kalangan 'ahlinya' untuk duduk disitu.
Inilah masalah kita hadapi kini kalau dikaji daripada akar umbi mengapa dan kenapa apabila setiap kali dibentangkan lapuran audit jawapan dan masalah yang sama dihadapi setiap tahun. Belajarlah daripada kesilapan dan jangan terlalu ego apabila menghadapi situasi sebegini. Jabatan Audit Negara hanya menjalankan tugas sebagaimana yang diamanahkan dengan jujur dan saksama.
Ambillah contoh sebagaimana negara-negara maju yang lain seperti England. Walaupun penduduknya mencecah 60 juta dan negara mereka agak lebih kecil daripada Malaysia, tetapi disebabkan pentadbiran yang cekap dan berhati-hati serta pegang kepada prinsip menjadikan negara Britain ini diantara salah sebuah negara termaju dan teratur serta bersih didunia. Atau kita boleh ambil contoh Korea Selatan dan Jepun.
Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 hendaklah mengatur segala perancangan dengan lebih effisen dan menepati sasarannya. Patuhi apa yang telah ditetapkan dan dirancangkan dan pastikan tiada berlaku amalan rasuah atau penyelewengan dalam pentadbiran - kerana itu adalah petua utama sekali mesti dipatuhi sebagai persediaan ke arah sebuah negara maju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan