KUALA LUMPUR - Calon Majlis Tertinggi Umno seharusnya menekankan isu  melibatkan rakyat dan aspek  tertentu kepentingan orang Melayu dalam kempen mereka, kata bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam.

Sebaliknya, kata beliau calon didapati lebih menumpukan isu kepentingan Melayu yang berbentuk emosional dan secara umum.

“Semenjak proses pemilihan Umno ini berjalan, nampaknya perbahasan ataupun debat atau perbincangan, isu-isu menunjukkan seolah-olah Umno belum dapat fokus kepada isu-isu yang penting kepada negara.

“Ada banyak perkara harus diambil berat kepada mereka ini, perbahasan harus ditumpukan kepada isu nasional. Adapun isu-isu yang dikatakan kepentingan Melayu yang dibangkitkan, cuma merupakan isu-isu emosional sahaja.

“Kalau ada yang kata untuk kepentingan Melayu, tidak ada perbahasan yang betul-betul mengenal pasti matlamat seperti ke manakah Melayu hendak pergi?

“Apakah erti kata kepentingan Melayu, bagaimanakah orang Melayu hendak menghadapi dunia moden, bagaimanakah orang melayu hendak menghadapi rakyat jelata daripada keturunan lain?” katanya kepada Bernama.

Veteran Umno itu berkata, pemilihan pucuk pimpinan Umno bukan terhad kepada kepimpinan orang Melayu atau anggota Umno sahaja tetapi proses pemilihan dalam parti ini ialah proses pemilihan pucuk pimpinan negara Malaysia.

“Sebagai parti  terbesar dan terpenting, kita tidak boleh lagi dengan ‘generalities’. Saya lebih kecewa lagi sebab isu yang timbul dan ditimbulkan oleh rakyat jelata keseluruhannya, tidak timbul langsung (dalam kempen mereka),” kata beliau.

Musa berkata isu kebimbangan rakyat seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa serta keselamatan peribadi perlu diambil kira dan dijadikan tumpuan bagi calon bertanding jawatan tertinggi   dalam parti.

“Persoalan seperti ini harus dikemukakan terutama kepada mereka yang nak jadi ‘top leaders’. Rakyat pasti mahu dengar apa pendapat mereka dan bagaimana mereka mahu mengatasinya," kata beliau.

Kira-kira 146,000 anggota akar umbi akan menentukan saf kepimpinan tertinggi parti dalam pemilihan hari ini.

Sebanyak 71 calon bertanding untuk merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan.

Musa sebelum ini dilapor menyarankan agar keenam-enam calon naib presiden dipertemukan dalam sebuah program pendebatan televisyen.